Pages

Thursday, January 27, 2011

400: Ringkas

Salam Alaik...

Sesungguhnya aku mahu menjadikan entri yang ke-400 aku nie satu entri yang panjang, membosankan dan dipenuhi fakta yang bagi sebahagian orang bermanfaat. Tapi memandangkan aku mempunyai masa yang terhad jadi, aku hanya menggunakan kesempatan ini untuk menulis secara ringkas.

Secara ringkasnya, aku berada dalam minggu belajar. Peperiksaan akhir tahun kedua bakal bermula pada 12 feb 2011, dan tamat pada 26 Feb 2011. Jadi, setakat artikel ni ditulis, aku hanya punya kurang lebih 16 hari je lagi untuk ke sana. Jadi, dah takde masa untuk main-main.

Oleh sebab sudah suntuk, dan banyak lagi yang masih belum aku habiskan, maka dengan ini aku akan menggantung sesi penulisan blog, dan juga akan menyimpan laptop aku yang aku sayang nie. Secara langsung, atas tindakan ini, maka segala urusan aku dalam talian akan terputus serta merta termasuk YM, Skype, Fesbuk, Blog dsb. Kalau aku berada dalam talian pun, takkan lama.

Resolusi menggantung laptop nie akan bermula pada jam 12 tengah hari esok. Jadi, segala urusan dalam talian yang memerlukan perhatian aku mesti diselesaikan sebelum 12 tengah hari esok. Cara menghubungi aku hanyalah dengan jumpa aku ataupun telefon aku. Haha.

Jadi, sekian sahaja. Doakan kejayaan aku di kala peperiksaan akhir. Dan doakan aku kembali ke Malaysia menjelang Ogos/September 2011 tanpa gagal.

p/s: Orang selalu tanya aku "bila habis kat India?". Maka kat sini aku jawab: "Aku paling awal habis di India Ogos 2011. Jika ada aral melintang, maka aku akan berada lebih lama di sini. Dan paling maksima aku di India (yang mana aku taknak) boleh sampai pada Mac 2013.


Wednesday, January 12, 2011

Cerpen: Perjalanan Seorang Mamat

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Mamat keluar dari pintu pagar sekolah agamanya yang terletak di sebelah sebuah masjid dengan girang. Dia melompat-lompat gembira kerana dia mempelajari sesuatu yang baru hari ini. Umurnya yang baru menjangkau 8 tahun menunjukkan prestasi yang bagus kerana minatnya dalam ilmu agama. Ustazah Zau'ah yang mengajarnya sentiasa menanam sifat cinta akan ilmu agama kepada anak muridnya. Harapan dalam hati Ustazah Zau'ah mudah, agar anak-anak didiknya kelak menjadi penegak yang ma'ruf dan penentang yang munkar berdasarkan 'ilmu yang sahih.

Sebagai seorang guru agama di sebuah bandar yang agak besar, tugas Ustazah Zau'ah dalam menerapkan semangat menuntut 'ilmu ke dalam jiwa anak-anak tidak susah. Anak-anak muda zaman sekarang dahagakan 'ilmu yang berdalil dan berhujah untuk dicernakan bersama. Sudah jarang sekali anak muda menelan mudah apa yang dikatakan oleh sang guru seperti suatu masa dahulu yang diugut dengan kata-kata, "barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya".

Tugasannya yang payah hanyalah untuk memastikan jenis ilmu yang dicari oleh anak muda itu. Dia perlu pastikan yang anak muda yang dididiknya termasuk Mamat mencari 'ilmu yang sahih dalam bidang agama, bukan dalam bidang lain seperti pornografi, nyanyian yang melalaikan, black metal dan sebagainya. Tugasnya walau nampak mudah sebenarna payah dek kerana kelajuan dunia tanpa sempadan kini boleh menjadi jebak yang serius kepada minda anak muda seperti Mamat.

Mungkin dua tahun lagi Mamat akan menjadi penggemar fesbuk dan duduk di depan fesbuk apabila balik dari sekolah? Mungkin Mamat akan menjadi seorang kaki perempuan dengan ilmu mengkacakkan dri yang dia belajar dengan kawan-kawannya? Atau jika Ustazah Zau'ah berjaya menerapkan budaya menuntut 'ilmu agama yang sahih, maka tidak hairan Mamat 10 tahun yang lagi akan menjadi seorang Salafi, atau paling tidak mengenal tugas sebagai pendakwah dan bergerak bersama geng tabligh. Semuanya perlu usaha, dari Ustazah Zau'ah, Mamat dan paling penting, hidayah Allah S.W.T..

Dalam mengajar anak-anak muda tentang makna 'ilmu yang sahih, Ustazah Zau'ah sering menekankan tentang peri penting disiplin penggunaan pemikiran dalam mentafsir dan menterjemah serta mencerna ilmu dan maklumat. Ustazah Zau'ah melarang penggunaan akal yang melampau dalam menterjemah al-Quran contohnya, kerana perkara itu menghampiri muktazilah.

Mamat ketika itu pelik. Jadi apakah kegunaan akal jika tidak untuk berfikir? Maka Ustazah Zau'ah dengan tenang menjawab, "kita boleh menggunakan akal sehingga tahapnya. Jika ditanya tentang perkara ghaib, mana mungkin kita mampu menggunakan akal? Alangkah dangkalnya mereka yang mentafsir kata-kata Allah yang Maha Benar dengan menggunakan akal ketika mana akal mereka tidak mampu membayangkan sesuatu yang ghaib lantas menuduh orang yang tidak mentafsir seperti mereka sesat dan kafir."

Ustazah Zau'ah menambah, akal itu gunanya untuk menghayati penciptaan, dan mengaplikasikannya dalam hidup sebagai hamba. Bukan digunakan untuk memikirkan bagaimana Allah menciptakan, atau berapa hari, atau sejak bila. Kerana pekara itu tidak mampu difikirkan oleh kita tanpa pedoman wahyu. Adakah kita mampu menyangkal kata-kata Allah bahawa Dia menciptakan langit dan bumi selama 6 hari? Kita hanya perlu terima 6 hari. Tetapi berfikir tentang 'bagaimana', dan berapa lama 6 'hari' itu sudah melangkaui kemampuan akal manusia. Mamat tertunduk sesal. Dia pernah menafikan dalam diam kata-kata Allah itu. Adakah dia lebih mengetahui tentang penciptaan untuk berfikir tentang itu lebih daripada yang Maha Pencipta beritahu dalam kalam-Nya?

Ustazah Zau'ah yang masih berada di pintu pagar sekolah agama melihat anak-anak muda yang berpotensi itu bergerak meninggalkan laman sekolah. Ada yang menaiki basikal, ada yang dijemput oleh ayah mereka dan tidak kurang yang menaiki van yang dipandu oleh Wak Jawa yang mengambil upah mengambil anak-anak dari sekolah dan dihantar ke rumah. Mamat pula, seperti selalu, berjalan kaki kerana rumahnya tidaklah terlalu jauh. Lagipun, ayahnya keluar bekerja. Emaknya tidak mempunyai kenderaan dan lesen. Akak dan dua orang abangnya kini sedang belajar di sekolah berasrama. Hanya tinggal dia seorang, berjalan kaki dengan sabar ke rumah. Masa yang digunakan untuk berjalan kaki itu digunakan sebaiknya untuk melakukan revisi apa yang dipelajarinya di sekolah.

Mamat yang berjalan pulang seorang diri cuba mengingat kembali apa yang dipelajarinya dalam kelas tadi. "Bagus jugak kalau aku guna apa yang dipelajari tadi untuk berkongsi dengan ayahku" - monolog Mamat. Mamat meminati 'ilmu agama sejak dia berumur 6 tahun, ketika belajar di Pusat Asuhan Tunas Agama (PASTA), dan kembali menyambung minatnya sehingga kini di Pusat Asuhan Pucuk Agama (PAPA) dan berazam untuk menyambung pelajaran di peringkat tinggi di Kolej Agama Islam Malaysia (KAIS) sebelum bergerak menuntut ilmu di al-Azhar. Cerita Ustazah Zau'ah dalam kelas tentang pengalamannya menuntut di al-Azhar menggelagakkan semangat Mamat untuk pergi lebih jauh. Pesan Ustazah, "jangan jadikan pengajian agama satu industri" masih terngiang di kepala otak dia. Dia mahu bertanya kepada ayahnya tentang maksud 'industri'.

Ayahnya sering mengarahkan Mamat untuk mengaji dengan usahanya sendiri. Ayahnya pernah berpesan, "jangan kau ikut macam abah; masa dah tua nie la baru nak cari tarekat; baru nak zikir 36'000 kali semalam sambil membayang wajah syeikh sebab ayah tak mampu nak salurkan zikir ayah kepada Allah secara terus. Masa kecik nie la kau kena belajar. Jangan sampai terlewat, takut tak sempat". Ayahnya memberikan semangat yang walaupun nampak macam menghina diri ayahnya sendiri, tapi ayat-ayat yang jujur itulah yang memberi semangat kepada Mamat. Ayahnya bukan satu sumber untuk bertanya tentang Aqidah, Iman, Fiqh atau Ibadah, tapi ayahnya ialah sumber bertanya tentang pengalaman hidup, satu ilmu yang penting dalam menjadikannya sebagai seorang manusia yang kental.

"Sampai rumah, aku nak online dan nak cari tentang hukum, cara dan kelebihan wudhu'. Mungkin Iluvislam.net bagus," fikir Mamat dalam langkahnya yang tinggal lagi 100 meter untuk ke selekoh terakhir sebelum tiba di rumahnya. Pernah dia mendengar kata-kata seorang abang usrah yang menyatakan I luv Islam tidak bagus kerana lambakan kisah cinta dalamnya. Mamat menerima kata-kata itu sebelum dia sendiri membuka I luv Islam dan menelaah satu persatu artikel. "Apakah salah kisah cinta dengan Tuhan? Bukan melampau macam Rabia'tul Adawiyah pun sampai perlu membutakan matanya sendiri," bisik hatinya menafikan kata-kata abang usrahnya yang 10 tahun lebih tua darinya. Mungkin

Pelajaran tentang iman yang diajarkan oleh Ustazah Zau'ah sebentar tadi memang sangat bagus. Kalau tidak ada aral melintang, dia akan belajar tentang beriman dengan Qadha' dan Qadar menjelang lusa kerana esok kelas Wudhu' mengambil tempat. Ustazah Zau'ah sempat memberi pesan agar melakukan carian atau bertanya kepada yang tahu sebelum masuk kelas nanti. Dan kata-katanya, "belajar dengan buku itu baik, belajar dengan internet itu lebih baik, tapi yang paling baik belajar dengan para ilmuan atau ulama dalam bidangnya."

Kata-kata Ustazah Zau'ah terbalik dengan kata-kata Ustaz di Surau Asy-Syakirin bahawa belajar dengan buku umpama belajar dengan syaitan. Mamat bertanya kepada Ustazah Zau'ah tentang itu, maka Ustazah Zau'ah pun memberitahu bahawa kata-kata itu bukan dari nabi Muhammad S.A.W.. Jika bukan dari nabi Muhammad, maka perkataan itu boleh tertolak jika salah. Ustazah sempat memberi contoh, jika belajar dengan buku umpama belajar dengan Syaitan, bagaimana Cat Steven atau Yussuf Islam memeluk Islam dengan tunjuk ajar syaitan kerana pada awalnya Cat Steven hanya belajar tentang Islam dengan pembacaan setelah dihadiahkan al-Quran oleh abangnya? Logik ustazah itu terlekat dalam jiwanya. Cuma, sebagai seorang yang suka mencari ilmu yang sahih, dia akan mengkaji sejauh mana kebenaran kata-kata Ustazah itu, dari perihal belajar dengan buku sehinggalah perihal Cat Steven, kerana baginya kata-kata yang 'bukan dari Nabi S.A.W.' termasuklah Ustazahnya boleh tertolak.

Sambil dia berjalan perlahan, bibirnya mengalunkan lagu 'Thank you Allah' yang dinyanyikan oleh Yussuf Islam dan kanak-kanak lain. Walaupun tidak seharmoni mana, tetapi cukuplah menjadi penghibur jiwa. Alunan Syair Taubat karya Imam al-Ghazali menyambung. Jiwanya meruntun kerana mengenangkan bahawa adakah amalannya sudah cukup sebagai bekalan di hari akhir kelak? Bersediakah untuk dia memikul tanggungjawab setelah dia baligh nanti? Adakah imannya sudah utuh? Kerana dia tahu bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang seperti yang diajarkan oleh Ustazahnya pada kelas tadi.

Dia sampai ke selekoh terakhirnya sebelum tiba di rumah. Perjalanan yang jauh tadi diisi dengan pemikiran dan perbuatan yang baik. Alangkah indahnya jika setiap masa kebaikan memenuhi pemikiran anak muda sekarang, kata Mamat dalam hati sambil melihat dua orang remaja lelaki yang berjumpa dan berpelukan sambil mencium pipi seperti dalam budaya masyarakat Arab. Dia tersenyum sambil menghayati keindahan ukhwah. Sungguh, kanak-kanak seperti Mamat masih belum punyai minda yang tercemar.

Dia melintas jalan sebelum tiba ke rumahnya. Di tengah jalan terdapat sebiji batu yang agak besar. Dia teringat firman Allah, "tidak Kau (Allah) ciptakan sesuatu sia-sia" lantas berfikir bahawa batu itu mungkin menjadi ujian iman kepada orang yang melihatnya. Di dalam akalnya teringat hadis Nabi S.A.W yang diringkaskan oleh Ustazah Zau'ah bahawa serendah darjat Iman ialah membuang halangan dari laluan orang ramai. Dia lantas tunduk dan mengambil batu itu dan disimpan ke dalam kocek. Dia mahu membuangnya di dalam tong sampah kerana mencampakkan batu itu merata-rata akan menghalang laluan yang lain pula.

Ketika masih di tengah jalan itu tanpa Mamat sedari, ada sebuah kereta dengan kelajuan tinggi muncul dari selekoh. Dan segalanya terlambat untuk dielakkan. Sungguh, ketentuan-Nya tidak dapat dihalang sesiapa, walaupun kanak-kanak itu seorang yang baik dan berpotensi tinggi untuk menjadi penegak sunnah yang berjaya seperti Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin, Dr.Wahbah al-Zuhaily, Syeikh Taqiyuddin Ahmad ibnu Taymiyyah; atau menjadi pemikir seperti Ibnu 'Arabiy, Ibnu Sina' atau al-Ghazali. Dan ketika Mamat sedang berjuang untuk hidup setelah dirempuh kereta, ketika itulah seorang Pak Cik yang memandu kereta itu terfikir satu ayat dalam sebuah iklan televisyen oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya lama dahulu, "kanak-kanak bawah 10 tahun tidak mampu menganggar jarak kenderaan dengan tepat." Sambil kepalanya tertunduk sesal kerana melanggar anak muda itu, pak cik itu tertanya, "kenapakah membiarkan kanak-kanak itu berjalan seorang diri?"

Adakah Allah menarik nyawanya kerana bimbang dia akan dilabel sebagai sesat pabila membawa yang haq dan memerangi yang batil? Ini semua di luar kemampuan kita berfikir. Kerana ketentuan-Nya hanya Dia yang tahu. Dia yang merancang segalanya, dan Dia mengetahui segalanya.

Wallahu a'lam.

Saturday, January 8, 2011

(Entri ini dalam Bahasa Melayu) !!الشياطين الحمر

Salam Alaik...

Pada satu malam yang indah, yang dipenuhi tekanan akibat belajar dadah-dadah yang banyak (Farmakologi), iaitu pada malam (awal pagi) 8 januari 2011, aku yang bosan dengan selambanya bukak website United. Tapi sebab website United versi tue tak mengancam, aku bukak pulak yang ini.

Maka, aku pun melihat berita tentang Diara, dan pada malam yang sangat tegang dipenuhi dengan dadah-dadah, aku pun membaca tajuknya yang berbunyi:
"الصحف: الشياطين الحمر يستهدفون ديارا"

Bila aku baca je tajuk tue tersentap kejap aku... Maksud dia kalau diterjemah dalam bahasa Melayu takde la saspen sangat. Bunyinya "Akhbar: Syaitan Merah memburu Diara". Tapi bila aku baca dalam bahasa Arab, wallaweh, sungguh berkesan bunyinya.

Biasa dalam bahasa Melayu aku sebut 'setan merah' atau bahasa Inggeris aku baca 'Red Devils', tapi bila dalam Arab, asy-Syayateen ul-Hamr, sangat memberi kesan kat aku... Aku pun tak pandai nak terangkan kat korang macam mana kesan tue... Tapi itulah... Ah, pandai la korang fikir sendiri... Gaya penulisan tue memang sangat memberi impak dan membuatkan aku tersenyum seorang dan tergelak... Kalau gelak kuat-kuat nanti orang kata aku gila sebab duduk sorang-sorang...

Inilah akibatnya kalau 'boleh' baca dan faham bahasa Arab... Sampai sekarang kalau aku terfikir tentang 'Asy-Syayateen ul-Hamr' aku akan tergelak... haha... Teringat ayat Quran surah al-Isra' ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya- "Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan-syaitan (dalam Arab Syayateen), dan adalah Syaitan itu kepada Tuhannya kufur."

Banyak lagi ayat quran yang mempunyai perkataan 'syayateen' antaranya:-
  1. Surah Maryam ayat 68, 83
  2. Surah ash-Shafaat ayat 65
  3. Surah asy-Syu'ara ayat 221
  4. Surah al-An'am ayat 121
  5. Surah al-Anbia' ayat 82
  6. dan banyak lagi.
Tujuan aku menulis bukan nak kondem Syaitan Merah (a.k.a Red Devils), tapi aku nak kongsi ayat quran tentang pembaziran tue je... haha... Aku banyak gak membazir... Hari-hari.. Membazir masa, membazir duit, membazir nyawa dsb... Jadi, aku mengambil masa ini untuk menasihati diriku dan diri kita semua agar jangan menjadi saudara syaitan-syaitan.

Kepada penyokong Arsenal, Chelsea, Real Madrid dsb: Jika anda membazir, anda ialah saudara Syaitan!

Glory Man United!
Hayya Asy-Syayaateen ul-Hamr!!
Bada'al zamanil ikhtisaara, fawalla zamanil asyrar!

Marilah Syaitan Merah!!
Telah bermula masa kemenangan, dan tidak ada lagi masa kekalahan!


P/s: Tapi kalau sokong Syaitan Merah tanpa ada unsur ghuluw (melampau atau fanatik melampau) takpe, kot... hehe...

Wednesday, January 5, 2011

Cerpen: Kau Jangan Nak Cakap Bukan-bukan

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Warung kopi milik Pak Ali petang itu penuh seperti biasa. Kelibat orang lama yang sudah berejam berada di meja sambil bermain catur memang tidak pernah hilang. Dam aji yang pernah dulu mendapat sambutan telah dibuang kerana protes Persatuan Isteri-isteri Semua Orang Pencen (PISOP). Kini catur diangkat menjadi medan pertempuran minda si pesara-pesara tegar kerajaan, menunggu masa diprotes aktivis-aktivis PISOP.

Keheningan petang yang suram seperti biasa akibat pertarungan pemikiran itu pecah seketika tatkala seorang pelajar Sekolah Menengah Parit Dusun, Mamat pulang dengan basikal cabuknya yang berbunyi bising. Di tangannya ada sehelai kertas. Mamat memarkir basikalnya di tepi warung dan dengan selamba masuk dan memesan teh tarik. Orang-orang lama yang bermain catur tersenyum kerana legasi mereka dalam industri melepak di warung Pak Ali telah ada bayang pengganti ketika mereka melepak di kubur.

"Kerteh ape te Mat?" soal Aji Abu yang sudah lama memerhati Mamat.
"Tak nde mende. Cikgu hok toh habeh-habeh membangkang te yang bagi. Die suroh bagi kek deme kek kedei kopi nie le," balas Mamat.
"Mende ke? Keh seme main ceh je rajin. Membace maleh mat."
"Ntoh le. Katenye rege RON97 naik lagi," Mamat membaca
"Ah, pedooh je pembangkang te. Tak ande dalam berita utama pun. Aok jangan gitu," muka Aji Abu serius.
"Ntoh le. Keh bace je," Mamat dengan selamba menjawab kemudian menghirup teh tarik kurang manisnya.
"Ala, mende hok naik te tak ande kesan lalu ke kite. Buat mende nok cakne," kata Pak Karim Bini Lawo.

Dan mereka terus bermain catur. Mamat membayar teh tariknya dan terus bergerak balik. Memikirkan kawannya yang menunggu untuk bermain bola.

Malam itu, set-set pesara yang baru balik dari masjid kembali melepak di Warung Pak Ali. Aktiviti caturan dilakukan secara intensif kerana tidak ada apa yang mampu dilakukan di rumah. Hal dengan bini boleh dilakukan sebelum subuh.

"Ce bukok TV te. Nok jugok tengok mende ape naik. Ron 97 ke mende hok Mamat cakak te," arah Tok Umar, ketua JKKK Kampung Dusun.

Setelah habis buletin utama, berita semasa dan juga Astro Awani, masih lagi tidak kedengaran tentang kenaikan harga apa-apa sekalipun. Dan mereka seperti biasa, mengutuk tindakan aktivis pembangkang yang menyebarkan berita palsu melalui internet.

Pagi itu, mereka melihat akhbar Cahaya Harian yang terbungkang di atas meja warung Pak Ali. Terpampang tajuk yang besar, 'RON97 diselaraskan'. Maka Aji Abu pun berkata, "loh, mende nie ke? Bukan naik pon. Diselaraskan je."

Pastu tetiba Tok Umar datang dengan kereta Nissan 'Sunny'nya. Mungkin baru pulang dari bandar Kebun, mahu mengisi minyak katanya selepas subuh tadi. Dia turun dari keretanya dan dengan muka yang penuh tanda tanya, bertanya kepada warga warung-
"Lorr, RON97 te sejenih petrol ke?, keh isi minyok tadi terkejut popaleyh weyh."

Glosari loghat Pahang:
Pedooh - menipu
Cakne (Cakna) - Ambil tahu
Ce - Cuba
Cakak - Cakap
Te - itu
Popaleyh - Sangat

Cerpen tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau telah meninggal dunia. Terima kasih.

Monday, January 3, 2011

Ringkas!

Salam Alaik...

  1. Aku tulis blog sebagai hobi dan bukan kerja tetap
  2. Aku tulis blog untuk berkongsi idea aku kepada khalayak
  3. Aku tak kisah langsung kalau takde orang nak komen sebab bagi aku, kalau orang dah baca tue dah kira sangat baik... Sebab matlamat aku untuk menyampaikan
  4. Aku tak gila publisiti atau populariti
  5. Kalau nak baca, bacalah... Kalau taknak, aku tak kisah...
  6. Kalau nak komen pasal blog aku, aku alau-alukan.. Yang positif, aku ambil sebagai teladan; dan yang negatif aku akan cuba jadikan sempadan.
Sekian, salam Tahun Baru!

Redz der Czar

Saturday, January 1, 2011

Tahun Baru dan Implikasinya Terhadap Kehidupan Pelajar Perubatan

Salam Alaik

Sekali lagi aku guna tajuk yang 'macam' atau 'bajet' gempak... Selamat tahun baru kepada semua penduduk dunia yang menggunakan kalendar Masihi... Bila dah sampai tahun baru nie macam-macam la impian dan azam dibuat...

Seperti biasa la, aku tidak akan membuat azam yang komplikated... Sebab aku tau, buat apa azam yang komplikated jikalau azam yang asas pun kita tak lepas... Mungkin bagi perokok seluruh dunia akan berazam untuk berhenti merokok... Ok, azam yang sangat baik... Tapi kadar realistiknya sangat rendah... Azam yang lebih bagus ialah 'mengurangkan rokok'... Haha... Aku bukan nak kondem, tapi cuma berkongsi idea... Aku tau ramai yang dah berjaya berhenti... Dan aku mungkin 'akan'... Insya Allah...

Sempena tahun baru masihi nie, aku takde azam yang spesifik... Aku hanya mengimpikan aku yang lebih baik dari tahun sebelumnya (2010)... Bila dah berazam untuk jadi 'lebih baik' maka banyak la hasratnya... Antaranya, mengurangkan kebaranan yang ada dalam jiwa, mengurangkan ego dan semestinya menjadi muslim yang berjaya...

Enam Januari 2011, ada peperiksaan blok empat; dan pada dua belas februari 2011 ada peperiksaan akhir bagi tahun kedua... Aku faham bahawa internal aku agak rendah, dan kerja kuat serta keazaman yang tinggi amat sangat diperlukan untuk maju ke tahun ketiga... Aku insya Allah akan cuba yang terbaik aku mampu, dan akan cuba untuk pulang ke Malaysia pada waktunya jika umur panjang... Tapi, apa-apa pun, segalanya bergantung kepada apa yang dikehendaki-Nya...

Menjelang habisnya tahun kedua ini (insya Allah), aku akan cuba mengerakkan kerja yang aku elak... Apa kerjanya, biarlah rahsia... haha... Aku taknak umum, biar la saspen sket...

Bila masuk tahun 2011, terbayang betapa cepat masa berlalu... Teringat pada awal 2010 bertungkus lumus bersedia untuk peperiksaan akhir tahun pertama... Dan kini, sudah hampir ke penghujung tahun kedua... Masih ingat, pada 09 disember 2009; sesuatu berlaku, dan kini dah setahun lebih... Dan pengalaman mengembara di utara India pada Feb 2010 masih lagi segar dalam ingatan, dan apa yang berlaku di Delhi pun masih lekat di minda... Semuanya persis belaku baru semalam...

Tapi secara umumnya, sebagai pelajar perubatan, implikasi tahun baru tidak membawa makna yang signifikan... Semuanya seperti biasa... Belajar-belajar dan belajar... Belajar bab akademik sehinggalah bab pengalaman... Tidak berubah... Hari yang baru ditambah nama ubat, bakteria dan penyakit yang baru... Hari yang baru ditambah dengan kejengkelan minda melayan kerenah tempe yang teruk... Dan kitarannya masih sama...

Cuma mungkin tahun baru membuatkan kita refleksi apa yang berlaku pada tahun sebelumnya... Apa yang telah kita lakukan dan apa yang kita tambah... Kerana tahun baru tidak mempunyai sesuatu yang kita pasti... Kita mungkin berlari mengejar impian, tapi dalam larian itu kita tidak semestinya berlari dengan kelajuan yang sama... Pasti ada selekoh, atau batu menghalang... Dan pabila jatuh, kita akan cuba berlari kembali, dan jika gagal tiba pada masanya; kita akan cuba lagi... Dan itulah kitaran hidup...

Bila tahun baru, pandang ke depan dengan semangat yang lama tetapi dengan tambahan dari segi usaha...

Dah la, aku rasa semakin banyak aku menulis, semakin kontra penulisan aku dengan prinsip aku... Setiap bait yang aku tulis, dan setiap perenggan yang aku carut, setiap itulah isi berubah dan pegangan berubah.... Seperti juga hidup... Setiap perkara yang berlaku akan mengubah pandangan dan gerak kerja kita meskipun matlamat sama... Hidup ini bukan sesuatu yang linear... Hidup sangat subjektif... Seperti masalah manusia... Setiap manusia lain jiwa dan perasaannya... Lain matlamat dan caranya....

Cuma aku ingin beritahu, mungkin dalam jangka masa dua bulan ini, aku akan jarang menulis dan membuka/melawat blog korang... Sebab aku ada hal lain yang pelru diutamakan...

Salam Tahun Baru!

Redz Der Czar
Manipal
01.01.11
11:11am Malaysia