Pages

Friday, February 22, 2013

Undilah Calon Yang Jujur

Salam Alaik..


Saya dengan ini mengumumkan pelancaran jentera pilihanraya bagi calon Parti Lanun Malaysia yang akan bertanding pada PRU yang ke 20.. Harap undi calon yang logik dan jujur seperti saya..

Manifesto saya malas nak tulis.. Apa yang penting, saya jujur.. Kalau nak projek, bagi saya ringgit, dan saya akan hebahkan berapa yang saya dapat.. Kalau orang tanya kriteria untuk dapat kontrak, yang paling penting ialah duit, yang kedua pentingialah kerabat dan kemudian sahabat.. Rakyat?

Undilah saya!

Friday, February 15, 2013

Antara Politik yang dirasa dan Bola Sepak

Salam Alaik..

P/s: Ini ialah sebuah cerpen

Pak Man Telo yang baru menjenamakan semula Warung Pak Berahim dengan Restoran Telo telah melakukan banyak penambahbaikan yang tidak tercapai dek akal penduduk kampung Dusun Seberang.. Kini Restoran Telo telah mempunyai 9 buah meja dengan kapasiti biasa 36 pengunjung dan boleh ditambah sehingga 50 pengunjung pada satu-satu masa..

TV buruk milik Pak Berahim telah dijual kepada Apek Besi Buruk, dan digantikan dengan TV LCD 50 inci serta paparan projektor ke skrin yang seluas 4 meter persegi.. Kini Restoran Telo, satu-satunya restoran di Kampung Dusun Seberang sudah mempunyai kemudahan saluran TV satelit Skybox.. Di sebalik penambahbaikan itu, harga teh tarik kurang manis dan minuman-minuman ruji yang lain masih sama..

13 Februari 2013, tarikh yang dipilih Pak Man Telo untuk membuka restorannya.. Majlis doa selamat selepas Isyak itu diketuai oleh imam baru Kampung Dusun Seberang,  Imam Seman Pakau.. Dan segala makanan dan minuman percuma daripada Isyak sehinggalah subuh 14 Februari 2013.. Awal pagi itu, ada tayangan khas perlawanan kelab gergasi bola sepak eropah, Real Madrid menentang Manchester United..

Sebenarnya warga Kampung Dusun nie tak cakna sangat tentang bola sepak eropah.. Mereka hanya taat dan setia kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang.. Hatta pasukan Malaysia pun diorang nie tak endah sangat.. Sebut Amar Rohidan atau Safiq Rahim, mampus diorang nak kenal.. Yang diorang kenal semua pemain Pahang dan yang pernah main dengan Pahang atau Shahzan Muda seperti Farizal Marlias..

Dulu, ada la dua orang yang layan bola sepak Inggeris, iaitu Jantan dengan Lambung; dua-dua sokong Liverpool.. Dua-dua dah meninggal dunia 20 tahun lepas, dah tinggal sejarah sama seperti Liverpool..

Awal pagi itu, hampir seluruh penduduk kampung Dusun Seberang turun ke Restoran Telo untuk menonton Real Madrid lawan Manchester United.. Diorang datang pun sekadar sebab nak tengok rebranding restoran itu, kerana makan minum percuma dan yang paling penting ingin melayan seni bola sepak sebenar.. Ada seorang je yang tak berminat nak melayan seni bola sepak - Aki Ali

Aki Ali tarik kerusi plastik yang masih bau kilang tue dan duduk bersama Pak Tam Leman.. Setelah memesan dua gelas teh tarik kurang manis, Aki Ali memulakan bicara panjang tentang topik kegemarannya..

"Pilihanraya Umum ke-13 dah dekat dah nie.. Aku nie taat dan setia memang tak berbelah bahagi kepada Barisan Rakyat.. Dah 55 tahun Barisan Rakyat memerintah, takdenye dikacau aku.. Sejak kebelakangan nie banyak dah diorang bagi kat aku nie.. Awal dulu dapat RM500 baucer, pastu dapat RM5000 sebab sawit aku, pastu dapat RM500 lagi.. Anak aku di Petraberjaya tue dapat RM250, anak sedara aku belajar kat UiTM dapat RM250 baucer buku.. Apa lagi yang kita nak? Banyak dah kerajaan Barisan Rakyat Bagi"

Pak Tam Leman mengangguk, namun matanya tetap ke arah skrin.. Perlawanan dah masuk minit ke-15.. Aki Ali, yang hanya memandang tanah menyambung bicara,

"Aku nie besok nak pergi rumah Tok Nan, daftar skim lesen motor.. Bayar sikit je.. Dah lama dah aku berangan nak lesen sendiri, tapi tak menjadi sebab mahal sangat nak dapat lesennye.. Nie kerajaan dah nak bagi murah, aku tak boleh lepas peluang.."

GOLLLLLLLL!! Jerit komentator dalam TV.. Pengunjung Restoran Telo masih tenang..

Pak Tam Leman yang dari tadi duk dengar Aki Ali bercakap, kini mengeluarkan suara, "Aki, ini semua rasuah halal yang Barisan Rakyat bagi untuk tarik undi.. Diorang dah terdesak sangat dah nie Aki.. Saham sawit tue yang kerajaan dagangkan di bursa saham sedang tak stabil.. Nilai ringgit pun dah tak stabil jugak.. Negara sedang dalam inflasi, hutang bersepah.. Rasuah kiri kanan ada.. Harga barang naik.. Macam-macam lagi Aki.. Kalau Pakatan Nasional pegang negara, ekonomi akan naik.. Takde tindakan yang boleh menjahanamkan kewangan negara boleh berlaku.."

Aki Ali terus mencelah: "Cuba Aki tanya kamu satu soalan.. Kalau ekonomi Malaysia naik, kalau negara tidak inflasi, kalau negara tidak berhutang, adakah kamu kaya? Kalau dah kerja ladang toreh getah, macam tue jugak la.. Kalau harga getah sawit naik, untung la.. Harga barang memang akan sentiasa naik.. Kamu ingat kalau Pakatan Nasional pegang negara harga barang akan turun? Tidak! Kamu kata nilai ringgit jatuh, kamu rasa ke? Tidak!"

Pak Tam Leman tekun mendengar, namun matanya seperti biasa menghadap ke TV.. Aki Ali menghirup teh tariknya kemudian menyambung, "kerajaan Barisan Rakyat bagi dah dekat RM6000 kat aku nie.. Kamu pun dapat dekat RM10000 daripada kerajaan.. Sekurang-kurang kita merasa duit, merasa nak membeli barang.. Tanah sawit kita tue pun katanya nanti dah nak jadi milik kekal.. Kalau Pakatan Nasional memerintah, ada kamu rasa duit?  Pung-pang kabor ekonomi naik, hutang takde pelbagai.. Tapi ada kamu rasa?"

"Hak milik kekal tanah tue dah dekat 15 tahun dah janjinya," balas Pak Tam Leman

"Itulah kamu.. Benda buruk kerajaan Barisan Rakyat je kamu ingat.. Cuba kamu sebut ke aku nie benda yang secara zahirnya kamu dapat, yang kamu rasa, yang kamu nikmat kalau Pakatan Nasional menang? Kalau Barisan Rakyat menang, katanya ada lagi dapat RM1000 baucer.. Belum campur benda lain lagi.." semangat Aki Ali bercerita..

GOLLLLLLLLL - kali ini Ronaldo pulak menjaringkan gol.. Kedudukan terikat 1-1 pada minit ke 20..  Restoran Telo tetap kaku macam biasa..

"Aku nie bukan sokong sangat Barisan Rakyat tue.. Cuma kalau aku undi Barisan Rakyat tue, aku merasa banyak benda.. Takde la sekadar teori.. Aku taktau la kamu faham ke tidak benda aku cakap nie Leman.. Aku tak paksa kamu undi apa pun.." ujar Aki Ali perlahan..

Pak Tam Leman mengangguk lagi..

"Kalau pemimpin atas rasuah, kalau Dato' Dompok rasuah, kamu rasa apa? Ada dia ambik duit kamu? Kalau Mezah Pakatan Nasional tue tak rasuah, kamu rasa apa? Ada kamu dapat duit? Sama je.. Kamu kayuh basikal tue je la, kerja kat sawit kamu tue la.. Duit apa pun tak dapat, baucer ke, lesen ke, bonus ke tak dapat apa," hasut Aki Ali sambil menimbulkan soalan..

Pak Tam Leman perlahan mengalihkan pandangannya ke arah Aki Ali seraya berkata, "Aki, Aki dapat duit tue Aki dah seronok dah.. Cuba bayangkan jalan kampung Dusun nie berturap baru, bekalan elektrik tak pernah putus, air paip bersih tak keruh.. Aki tengok duit sahaja.. Tak adil.. Bangunan sekolah Kampung Dusun tue tunggu masa je nak runtuh syilingnya, natijah rasuah la tue, Aki.."

"AH, DEME NIE BUKAN NAK DENGO CAKAK ORANG TUE! DEME TAK HIDUP ZAMAN JEPUN DULU BULEH LA CAKAP!!" bentak Aki Ali sambil bergerak keluar restoran.. Semua mata tertumpu ke arah Pak Tam Leman..

Keesokan harinya Pak Tam Leman dipulaukan satu kampung kerana membawa anasir subversif dan tidak bersyukur dengan kurniaan kerajaan.. Perniagaan Pak Man Telo semakin maju, penduduk Kampun Dusun Seberang mula cakna dengan bola sepak Malaysia dan Inggeris.. Pukul 8 malam semua tercongak menonton Buletin Utama sebelum pergi Isyak berjemaah di masjid Kampung Dusun..

Cerita ini takde kena mengena dengan yang hidup atau yang meninggal dunia.. Nama watak adalah rekaan semata-mata dan kalaulah sama, tidaklah disengajakan..

Wednesday, February 13, 2013

Cerpen: Gugurnya Seorang Perajurit

Salam Alaik..

P/s: Ini ialah sebuah cerpen..

Mamat memeluk erat raifal M16 miliknya.. Baju loreng yang dipakainya, serta but keras jenama Sepatu Timur menemaninya sudah 3 hari.. Dia memeriksa bekalan peluru yang 90 butir semuanya, tidak termasuk 3 magazin yang penuh disisipkan di tali pinggang.. Dua butir grenad, dan beberapa kelengkapan lain turut ada.. Dia berdebar berada di belakang trak tentera yang sedang bergerak menuju ke Rompin, Pahang.. Arahan kepada trupnya mudah, bertahan di Rompin, dan sekat pergerakan musuh.. Walau apa sekalipun, jangan tinggalkan Rompin melainkan semua jalan perhubungan ranap dan musnah..

Setibanya di pekan Rompin, bandar paling selatan di Pahang; Mamat turun daripada trak itu dan melaporkan diri.. Tidak sempat berehat, malam itu terus dihantar ke dalam hutan dengan rerakannya yang berjumlah 13 orang semuanya.. Saat Singapura mengisytiharkan perang empat hari lalu, Mamat sudah tahu bahawa dia akan dipanggil kerana penglibatannya dalam askar wataniah.. Singapura yang dilanggar todak seminggu lepas terdesak ingin mencari tanah baru, natijahnya Malaysia diserang..

Mengawal sempadan Pahang dengan penuh berhati-hati.. Gerak gerinya perlahan dan pancainderanya tajam.. Mamat mendengar berita Johor tumbang dilanyak dengan jet pejuang Singapura.. Sukhoi milik Malaysia masih lagi di Kuantan, menunggu saat yang sesuai untuk menyerang..

Tiba-tiba bunyi tembakan kedengaran.. Mamat tunduk terus, dan mencari punca tembakan berdasarkan cahaya api daripada muncung senapang.. Dia membalas tembakan, dan setelah magazin yang kedua, Mamat ditembak di kepala.. Berakhirlah perjuangan Mamat, gugurlah seorang perajurit muda.. Hehe.. Sekian, terima kasih kerana sudi menghabiskan masa anda..


Saturday, February 9, 2013

Pukul Rata

Salam Alaik...

Sedang dilamun kecewa akibat markah block test yang tak lulus, aku melihat sebuah tweet:




Wanita yang tak tutup aurat, tak jaga solat, tak taat pada suami, tak jaga pergaulan jangan hairan jika banyak masalah. - Seorang Professor
Aku pun terfikir dengan pantas, mungkin ditambah dengan situasi semasa yang mungkin mempengaruhi cara fikir; bahawa kenyataan ini tidak tepat..

Jika seseorang muslim itu menutup auratnya, menjaga akhlaknya, dan taat kepada Tuhannya; adakah tidak mungkin baginya mendapat masalah? Jika seseorang itu tidak menjaga aurat, tidak taat kepada syariah, berlaku zalim dan tidak berakhlak, adakah tidak mungkin baginya kesenangan?

Jika pemikiran ini digunakan, maka kita boleh pukul rata bahawa setiap yang banyak masalahnya, seorang yang fasiq manakala yang senang hatinya, gembira pula seorang yang tsiqah.. Adakah benar?

Andaikan,

Seorang fasiq mendapat kesenangan: kita akan berkata, "ini ialah istidraj"..
Seorang fasiq mandapat kesusahan: akan kita katakan, "inilah balasan"..

Seorang tsiqah mendapat kesenangan: "ini ialah nikmat, balasan kerana kebaikannya"..
Seorang tsiqah mendapat kesusahan: "ini ialah ujian kepadanya"..

Secara umumnya kenyataan ini benar, tapi adakah kita boleh meletakkan streataip seperti ini? Adakah kita layak menilai hukuman Tuhan kepada manusia? Adakah kita dapat wahyu terus daripada Tuhan? Cetusan daripada hati tidak dapat dielak.. Namun jika sengaja kita bercakap tentang ini dengan seseorang yang lain? Hahaha..

Oh, carutan daripada hati yang sedang 'frust' akibat gagal block test.. Mesti bias punya.. Maaf..

Selamat Tahun Baru Cina!

Thursday, February 7, 2013

Melaka, Tanah Melayu, Malay Shire dan Malaysia

Salam Alaik...

Amaran: Ini ialah sebuah entri yang tak tentu arah..

"Barang siapa yang melupakan sejarah, akan terus mengulanginya"

Kata-kata seorang penulis yang telah aku terjemah, Santayana tak silap aku.. Walaupun hanya 50% daripada kata-kata ini boleh dipakai, tapi aku letakkan juga sebagai muqaddimah kerana tanpa kata-kata ini tak nampak la usaha aku untuk menceritakan tentang sejarah..

Membaca tulisan Don Balon tentang sejarah sempadan Tanah Melayu sebelum 1909 menjadi pemangkin untuk aku menulis tentang 'aku dan sejarah'..

Sungguhpun banyak kali aku menyatakan bahawa aku tidak begitu meminati sejarah, namun sebenarnya kata-kata itu hanyalah dari mulut.. Hati aku memang tertarik dengan sejarah; kontroversi, persepsi, realiti, penipuan, kebenaran semuanya ada dalam sejarah.. Kalau aku tidak minat sejarah, mana mungkin aku melahirkan rasa 'syukur' kepada kerajaan Malaysia yang dah memerintah selama 57 tahun nie sejak tahun 1955 lagi..

Balik rumah, jika tidak aku melayan bola sepak secara langsung, aku akan melayan 'History Channel'.. Melihat sejarah banyak tempat, daripada hal perang sehinggalah sejarah terbentuknya bumi.. Indah untuk dibaca namun bosan dan payah untuk dihafal.. Ya, aku minat membaca hal sejarah, namun tidak fasih untuk menghafalnya..

Antara sejarah yang paling aku minat nak tahu ialah sejarah Perang Bendahara (Perang Saudara) di Pahang sebelum datangnya Inggeris yang menggunakan muslihat bijak memancing raja-raja Melayu dengan umpan harta, kuasa dan ugutan.. Sejarah perang itu aku dah baca secara ringkas, dan tidaklah aku berani untuk memberikan komen kerana sangat kontroversi sehingga sekarang.. Orang-orang lama Pahang mungkin boleh terkesan dengan perang saudara ini, namun generasi baru mungkin sekadar tahu perang ini secara kasar daripada buku teks sejarah yang hanya fokus kepada perjuangan UMNO dalam menuntut kemerdekaan..

Buku teks sejarah hanya melihat sejarah Malaysia yang 'mainstream', daripada bangkitnya Kerajaan Melaka, kemudian tibanya British menjarah kekayaan Tanah Melayu sehinggalah perjuangan UMNO dalam kemerdekaan Malaysia.. Hal-hal lain sama ada diceritakan secara ringkas atau ditenggelamkan terus kerana tidak signifikan dalam usaha menaikkan semangat patriotik dan nasionalis serta semangat cinta akan kerajaan Barisan Nasional dan sekutu-sekutunya..

Oh, siapalah aku untuk menghentam dasar pendidikan negara?

Sejarah hanya berasaskan persepsi, tidak boleh dinilai kesahihannya secara 100% kerana 'sejarah ditulis oleh pihak yang menang'.. Kalau Inggeris masih menjajah Malaysia, harusnya teks sejarah kita akan berbeza.. Hatta jikalau PR merampas Putrajaya, nescaya silibus sejarah akan turut berubah..

Bagaimana mencari sumber yang benar? Entahlah, aku pun tak tahu..

Mencari sumber sejarah yang tidak daripada buku teks memang senang dalam era teknologi maklumat ini, namun kesahihan sumber itu sama sahaja dengan buku teks, ditulis menurut kepercayaan penulis.. Bukti yang menyokong sejarah versi mereka akan ditunjukkan manakala bukti yang menentang pemikiran mereka terhadap peristiwa itu akan disorokkan..

Jadi?

Baca dari semua pihak.. Kalau nampak karut sangat cara cerita, atau sikit-sikit nak kaitkan dengan Freemason dan Illuminati, boleh la campak sahaja sumber itu sebagai 'diragui kesahihannya'.. Manakala yang jalan ceritanya agak logik, dan meletakkan bukti yang memang boleh dicapai, kita ambil.. Ambil sebagai perbandingan.. Kalau malas, baca je la satu sumber, lepas tue percaya je la..

Sejarah Suvarnabhumi, Kerajaan Melaka, Tanah Melayu, Malay Shire dan Malaysia bolehlah kita ambil mana-mana yang bertepatan dengan kehendak pemikiran kita.. Bolehlah kita nak buat interpretasi sendiri kerana natijahnya tidak seberat jika kita menggunakan kepala kita mentafsir sirah Nabawiyyah..

Di balik jatuhnya kerajaan Melayu Melaka, kesultanan Melayu; terdapat pengajaran yang penting.. Jangan jadi tamak haloba!

P/s: Ada orang kata bangsa Melayu nie keturunan Bani Israel.. Hehe.. Patutlah kekadang ada orang Melayu perangai serupa Yahudi.. Oh, aku tak beli cerita orang Melayu nie keturunan Bani Israel.. Maaf~

Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua warga Malaysia.. Bila Tahun Baru Cina, bukan orang Cina je dapat cuti, dapat makan limau dan dapat angpau.. Hehe.. Satu apa? Satuuuuuuuuuuuu Malaysia!


Satuuuuuuuuu Malaysia!!


Gong Xi Fa Chai

Monday, February 4, 2013

Pejam Celik

Salam Alaik..

4 Februari 2011 telah dua tahun berlalu.. 4 Februari 2011 telah setahun berlalu.. Manakala 4 Februari 2003 telah sepuluh  tahun berlalu.. Setiap hari, bulan dan tahun yang berlalu menambahkan umur untuk kita.. Ada yang sudah 10 tahun, ada yang 34 tahun, ada yang 65 tahun 3 bulan.. MAsing-masing punyai umur yang tersendiri..

Ada yang mengharapkan umur mereka dipendekkan dek kerana pelbagai cabaran dan dugaan datang menimpa.. Ada yang berdoa agar dipanjangkan umur supaya dapat menikmati dunia sehingga sempat bertaubat.. Masing-masing ada niat yang tersendiri dan perancangan tentang apa yang ingin dilakukan dalam hidup yang mendatang..

Setiap hari pasti akan ada sesuatu peristiwa yang membawa pengajaran.. Ada yang belajar perkara kecil, ada yang melalui satu peristiwa yang bakal merubah hidup.. Ada yang langsung tidak sedar terdapatnya pelajaran dan pengajaran dalam harinya itu..

4 Februari 2013..  Apa yang aku belajar pada hari ini? Itu masih misteri kerana 4 Februari 2013 masih lagi baru.. Aku masih belum berjumpa mentari! 4 Februari 2012, aku belajar cara menghilangkan duka dengan efektif.. Melihat manusia di sekeliling aku, dan perasaan mereka setelah 5 hari ayah pergi meninggalkan aku.. Aku belajar tentang hidup dan dugaan.. 4 Februari 2011 aku belajar bahawa sekali tersilap langkah, hidup aku selepas itu akan berubah.. Aku belajar erti sesak, dan cara melempiaskan stress kerana ketika itu study week untuk UNIS.. Aku sedari yang aku tidak malu.. Macam-macam.. Setiap hari berbeza kenangannya..

Aku berharap agar selepas ini, aku akan terus belajar.. Mengambil teladan mana yang bagus, dan membuat sempadan mana yang tidak bagus.. Hidup mesti terus, pengalaman harus ditimba.. Semua yang berlaku akan mencorak cara pemikiran.. Manusia yang tidak berpengalaman akan berfikir dengan satu arah, manakala yang banyak pengalaman akan melihat semua aspek dan menilai situasi sebelum membuat solusi.. Solusi yang salah akan tidak diulangi, yang mana betul akan ditambah baik..

Apakah yang akan aku pelajari pada 5 Februari 2014 jika panjang umur? Apakah yang aku dapat sebelum -dan selepas itu? Semoga semuanya yang baik-baik, dan ke arah kebaikan.. Umur dah mencapai 24 menjelang suku ke-3 tahun nie.. Banyak yang kena difikirkan..

Pengalaman mengajar erti hidup..

Orang yang sentiasa berhati-hati dengan bakteria, tidak pernah sakit; apabila jatuh sakit sekali akan teruk padahnya..