Pages

Wednesday, May 21, 2014

Keindahan Minda

Salam Alaik..



Pepatah arab (setelah diterjemah) ada menyatakan akal yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas..

Bahagian Perbidanan dan Sakit Puan bukanlah satu posting yang memenatkan seperti yang aku jangka sebelum ini.. Banyak pengalaman baru yang berjaya diperoleh di samping pengetahuan teori yang menyendatkan ruang otak yang semakin sempit nie.. Bidang ini bukanlah bidang yang aku minati..

Bermula Isnin lepas, aku bersama bahagian psikiatri pulak.. Psikiatri, atau nama pasarnya kesihatan mental merupakan bahagian yang unik.. Bekerja dengan orang yang jelas berbeza cara fikirnya.. Aku semenjak daripada Manipal lagi sudah tertarik dengan bahagian ini.. Mungkin kerana aku suka melihat dan memerhati cara fikir orang, membuatkan aku berfikir..

Berbual dengan pesakit mental memberikan input baru, input yang boleh dijadikan pelajaran, pengajaran atau bahan lawak.. Namun kerahsiaan dan aib pesakit perlulah diutamakan dan dijaga..

Seringkali masyarakat di Malaysia memandang Psikiatri sebagai 'gila'.. Salah! Psikiatri tidak hanya menguruskan mereka yang 'gila', tapi juga menguruskan mereka yang tertekan, ketagihan dan sebagainya.. Baru-baru nie berita bahawa ramai rakyat Malaysia menghidap sakit mental, dan ada kajian menjelang 2020, seorang daripada 10 rakyat Malaysia akan menghidap penyakit mental..

Kesedaran tentang penyakit mental nie penting untuk mengelakkan kes sakit mental meningkat.. Faktor tekanan di tempat kerja, rumah, sekolah dan hubungan sosial jelas menambahkan lagi bilangan kes..

Jadi, sebagai pengisi blog, aku sertakan senarai tanda-tanda anda mengalami tekanan yang kronik dan memerlukan nasihat doktor:

  1. Perasaan tidak gembira, sedih, rasa nak menangis selama paling kurang dua minggu?
  2. Tidak lagi minat untuk melakukan perkara yang sebelum ini sering dilakukan. Sebagai contoh sebelum nie rajin tengok cerita Korea, tapi dua minggu kebelakangan nie, takde mood nak tengok..
  3. Perubahan masa dan waktu tidur, susah nak tidur, senang terjaga di waktu tengah malam, atau sering terjaga awal?
  4. Tidak selera makan sampai susut berat badan? Atau terlalu berselera sampai naik berat badan?
  5. Kepenatan sampai rasa malas nak bergerak, malas nak bangun, malas nak buat apa-apa?
  6. Rasa marah, cepat sakit hati? Kalau sebelum nie orang menjerit buat tak kisah, tapi dalam dua minggu nie bila orang bercakap, rasa nak lempang?
  7. Hilang fokus? Tengok Buletin Utama, tapi fikir tentang benda lain?
  8. Kurang keyakinan diri, rasa tak berguna, rasa menyusahkan orang sekeliling?
  9. Rasa macam nak bunuh diri? Atau rasa/fikir macam nak mati awal?
Kalau ada 5 daripada 9 tanda-tanda di atas nie, mohon cari nasihat daripada yang pakar ye.. Sekian!

Saturday, May 3, 2014

Orang Melayu

Salam Alaik..

Seniman Negara, Usman Awang dalam sajaknya, 'Melayu' menyebut:

"Melayu itu orang yang bijaksana. Nakalnya bersulam jenaka, budi bahasanya tidak terkira. Kurang ajarnya tetap santun. Jika menipu masih bersopan, bila mengampu bijak beralas tangan"

"Berkelahi cara Melayu; menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marahnya dengan diam, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak."

Ini Melayu dari mata Usman Awang. Sayangnya sekarang, Melayu sudah hilang kemelayuannya dek kerana perubahan zaman. Genetik bangsa Melayu telah banyak bercampur aduk. Belum campur budaya dan adat, serta faktor agama yang mengubah Melayu. Paling ketara dewasa ini, apabila pengaruh luar mula mencampuri budaya Melayu. Kata-kata lembut mula menjadi kasar, perlian nan sinis sudah tidak diamalkan.

Carut sudah bercampur baur, marah kini atas sebab yang kecil. Agama dipertahan hanya dalam media, dan dipijak dalam diam. Bangsa yang dahulunya budiman dan santun, sudah mulai berubah. Bukan hanya salah faktor luar, malah keluarga sendiri kekadang melupakan didikan adab.

Aku tidak terkecuali. Berubah dek arus masa yang panjang. Kurang ajarku mungkin masih santun, jika menipu masih bersopan. Jika marah, diamkan sahaja. Namun bila tiba masa dan waktu, persetankan adab yang pernah aku pelajari. Sabar ini tidak lagi mampu ditahan.

Aku jarang sekali bergaduh, berkelahi. Namun belajar di India, jati diri Melayu hilang. Perangai 'tempe' jelas mempengaruhi aku. Kalau dahulu, cikgu aku hormat. Bila di India, salah sedikit, kerlingan tajam aku tikamkan. Dengan orang tua, aku berkelahi, meninggi suara. Bila fikir balik, di manakah adab aku? Tertinggal di Malaysia.

Pulang di Malaysia, masih belum ada stimulus untuk aku berapi. Marahku dalam diam (sambil menaip di twitter), menyanggah dengan senyum (dalam facebook ^.^). Hatta dihalau keluar, aku tetap senyum (sinis), mata menjeling tajam; tergelak kecil dan melangkah keluar dengan diam.

Insya Allah, menjelang hujung tahun aku akan menjadi seorang doktor pelatih. Kesabaran aku akan diuji ketika itu semaksimanya. Diherdik dengan doktor pakar, diarah oleh doktor, diumpat oleh (sebahagian) jururawat dan dibenci oleh (sebahagian) pesakit. Semoga aku, ketika itu, masih mampu mengekalkan adab Melayu aku. Semoga kurang ajarku tetap santun.





MELAYU

Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka