Pages

Saturday, February 25, 2012

Salam Sayang

Salam 'Alaik..

I

Bila di kampung air perigi,
Burung meneman kicau yang merdu;
Bila di sini terasa nak pergi,
Semakin akhir semakin rindu.

Burung meneman kicau yang merdu,
Memberi seri hati yang gundah;
Semakin akhir semakin rindu,
Rasa nak tinggal semakin payah.

Memberi seri hati yang gundah,
Elok sekali lenguhnya sendi;
Rasa nak tinggal semakin payah,
Kenangan di hati tetap abadi.

Elok sekali lenguhnya sendi,
Makan nasi berkuah kari;
Kenangan di hati tetap abadi,
Buruk baik tetap memori.

Makan nasi berkuah kari,
Jemu sudah berkuah rendang;
Buruk baik tetap memori,
Jadi pengajaran di masa datang.

II
Cantik sungguh si rama-rama,
Hendak tangkap berhati-hati;
Jangan dikisah perkara lama,
Patah tumbuh hilang berganti.

Hendak tangkap berhati-hati,
Patah sayap mulalah haru;
Patah tumbuh hilang berganti,
Tidaklah sama si pucuk baru.

Patah sayap mulalah haru,
Maka dibeli sang ayam serama;
Tidaklah sama si pucuk baru,
Hati ini tetaplah yang lama.

Maka dibeli sang ayam serama,
Terubat sudah sayap yang luka;
Hati ini tetaplah yang lama,
Manalah yang baru hendak disuka?

III

Petah sungguh si kakak tua,
Diberi salam tak kira masa;
Tinggal lama tinggal semua,
Biar yang baru dapat merasa.

Diberi salam tak kira masa,
Tidaklah bosan tidaklah alpa;
Biar yang baru dapat merasa,
Perkara lama biar dilupa.

Tidaklah bosan tidaklah alpa,
Tidaklah pula disia-sia;
Perkara lama biar dilupa,
Kisah cinta dua manusia.

IV

Biar rebah bermandi darah,
Asal hilang dendam di benak;
Biarlah kisah menjadi sejarah,
Sebagai legenda kepada anak.

Asal hilang dendam di benak,
Digadai harta sampailah papa;
Sebagai legenda kepada anak,
Sebuah kisah daripada si bapa.

V

Elok sungguh si paras rupa,
Tiadalah dapat dicari pengganti;
Hari-hari cuba dilupa,
Tetapi tetap di dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Carutan anda mestilah bukan betul-betul mencarut... Carutan boleh dibuat tentang isu yang dibincangkan ataupun tidak, tetapi pastikan relevan... Atas sebab demo-kerasi, mana-mana komen yang melanggar etika seperti mencarut kasar, maki hamun, dan tidak sesuai boleh dipadamkan oleh Redz der Tsar mengikut budi bicaranya... Komen anda tidak akan ditapis dahulu, dan sila pastikan komen anda berguna, pahammmmmm?