Sesungguhnya Hasan al-Basri pernah berkata,
"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan".
Seringkali kita bersikap skeptikal apabila rakan-rakan kita yang kita tahu bahawa dia seorang yang agak 'lagha' memberi nasihat kepada kita. Seringkali kita membalas dalam hati, mahupun secara zahir, "ala, kau pun kuat mencarut, kejadah apa nak nasihat aku?". Seringkali kita mengambil nasihat rakan kita itu dan kita kemudiannya kita campakkan ke dalam tong sampah.
Aku juga sering mencampakkan nasihat rakan-rakanku yang tidak sebulu atauyang aku anggap sama taraf dengan aku. Aku ketika itu lupa untuk mengambil nasihat-nasihat mereka daripada sudut yang positif. Kenapa tidak aku tanamkan satu 'set minda' bahawa tika mana seseorang menasihati aku, merupakan satu luahan tanda kasihnya kepada aku.
Nabi SAW berkata,
"Seorang Mukmin itu cermin kepada Mukmin yang lain" - [HR Thabrani dan Abu Daud]
Anggaplah rakan kita yang menegur kita itu mahu menambahbaik kita. Bersyukurlah selagi mana ada rakan kita yang sanggup menegur kita apabila kita melakukan kesalahan. Sungguh, teguran itu ialah satu nikmat jika diambil dari sudut yang positif.
Cuba bayangkan jika kita tidak ditegur. Cuba bayangkan selama ini kita kuat mencarut, dan tidak ada seorangpun dari kawan-kawan kita yang menegur kita, alangkah ruginya. Kita umpama berada dalam zon yang selesa. Maka keburukan yang kita lakukan akan terus dilakukan. Dan kita akan terus hanyut dalam keburukan itu.
Janganlah sombong dengan orang yang menegur kita.
Manalah tahu jika kita ditegur, terbuka pintu hati kita untuk berubah!
Walaupun kekadang orang yang menegur kita itu membawa teguran yang salah, jangan dicampak begitu sahaja sambil mata menjeling tajam. Berilah dia penjelasan. Dan berikan dia semangat untuk menegur kita lagi di masa lain.
Kepada rerakanku, janganlah takut dalam menegur aku. Janganlah biarkan aku terus melakukan kesalahan. Jika ada kala aku membuang nasihatmu dahulu, janganlah putus asa dalam menegurku. Sungguh, tanpa teguran kalian, siaplah aku dalam kelalaian.
Hal Dunia
Teguran bukan sekadar dalam hal akhirat sahaja. Hal dunia juga boleh ditegur. Jikalau nampak aku salah ambil 'history taking', atau salah prosedur ketika melakukan 'venopuncture', tegurlah aku. Elakkanlah aku daripada melakukan kesilapan yang sama kelak.
Dan jika aku yang tidak hebat mana ini menegur kalian, ambillah isinya, jangan dipalingkan muka dan dipandang sebelah mata. Mungkin ada benar teguran aku. Jikalau salah aku menegur, tegurlah aku kembali. Barangkali dalam 100 teguran aku, satu boleh diambil manfaat.
Mungkin aku tidak sempurna, tapi mungkin juga ada benarnya ketika aku menyampaikan teguran dan pendapat aku.
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk" - (Surah al-Nahl: 125).
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment
Carutan anda mestilah bukan betul-betul mencarut... Carutan boleh dibuat tentang isu yang dibincangkan ataupun tidak, tetapi pastikan relevan... Atas sebab demo-kerasi, mana-mana komen yang melanggar etika seperti mencarut kasar, maki hamun, dan tidak sesuai boleh dipadamkan oleh Redz der Tsar mengikut budi bicaranya... Komen anda tidak akan ditapis dahulu, dan sila pastikan komen anda berguna, pahammmmmm?