Salam Alaik...
Ini ialah sebuah Cerpen
Mamat duduk termenung di beranda rumahnya. Duduk di atas tangga kayu jati, sambil memandang ke hadapan, jauh. Umurnya sudah menjangkau suku abad, namun masih tiada sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara. Makanpun masih disuap ibunya, petrol motor usangnya diisi oleh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM)™.. Dia masih termenung mengharap bulan jatuh ke ribanya. Dia mempersoal segala macam cabaran dan dugaan yang dihadapinya sepanjang 25 tahun ini.
Perlahan dia bangun, menuruni tangga. Dikuis selipar jepun lusuh itu dan dengan beratnya dia menyarungkan ke kakinya. Berdiri menghadap tangga, dia terbayang saat kali pertama dia jatuh.
17 tahun lepas, ketika dia berumur 8 tahun. Usai pulang dari sekolah dia berlari ingin cepat naik ke rumah. Kartun yang digemarinya akan bermula tidak lama lagi. Zaman itu belum ada Nickelodeon, Disney Channel atau Cartoon Network; hiburan di televisyen hanya berpaksikan apa yang ada dalam 3 stesen penyiar utama sahaja. Masa itu, memiliki televisyen pun perlu ada lesen.
Laju larinya, saat tiba di kaki tangga dia melepaskan kasutnya yang sudahpun berlumpur akibat sudah 5 hari dipakai. Musim hujan pula, dicampur pula dengan jalan di kawasan kampung yang tidak banyak berturap ketika itu. Ketika melangkah dua anak tangga sekaligus, ibu jari kakinya tersangkut di hujung anak tangga terakhir. Lalu tersembamlah dia jatuh menghentam lantai kayu. Sakitnya bukan kepalang.
Dengar dentuman kuat, berlarilah ayah dan emaknya daripada dalam rumah. Mamat meraung menangis. Nafasnya pendek, tersekat dek kerana tangis dan darah yang memenuhi hidung. Tidak lama, hanya 5 hari masa yang diambil oleh Mamat untuk membuang fobia kepada tangga. Dia sedar, jatuhnya dia kerana dia sendiri yang mencari malang. Banyak kali sudah dipesan, dia masih lagi gagah berlari menaiki tangga. Menjadi satu pengajaran berguna buat dirinya.
Kini, dia sudah boleh melangkah tangga itu dengan senang dan tanpa terjatuh walaupun selaju mana dia berlari. Pengalaman pertama, jatuhan pertamanya itu mengajar dia untuk bangun. Mamat fikir dia tidak akan jatuh lebih teruk daripada itu.
Mamat melangkah meninggalkan tangga itu. Kali ini dia berjalan tenang, menghirup udara segar. Jalan di kampung itu sudah berturap penuh. Tidak lagi lumpur atau batu menjadi tanda jalan. Besar perubahan di kampung itu dalam 17 tahun. Melintasi tanah kubur, dia teringat tragedi dua tahun lepas. Di saat dia tidak dapat menjangka dia boleh jatuh.
Ketika itu, umurnya 23 tahun. Sudah 5 tahun dia memandu dan menunggang motorsikal berlesen. Orang kampung memang memujinya kerana dia membawa motor dengan penuh berhati-hati. Tidak pernah dia lupa memakai topi keledar, dan hatta hendak masuk ke simpang menghala ke surau pun masih dia memberikan lampu isyarat. Begitulah cermatnya si Mamat ini.
Suatu hari itu ketika hari sangat cerah, dan membahagiakan, dia menunggang motornya untuk ke bandar. Seperti biasa, dia cermat dan mematuhi segala undang-undang jalan raya. Dia yakin bahawa dengan mengikut peraturan dia tidak akan jatuh lagi. Namun, peraturan Tuhan lebih hebat. Saat dia menunggang melintasi belukar di belakang balai raya, seekor babi meluru keluar dan melanggar motornya. Sedar-sedar dia sudah terbaring dengan motor menghempapnya.
Puas ditahan tangisnya, namun kepanasan eksos motor yang meleburkan kulit betisnya tidak tertanggung. Luka di sebelah kanan badannya laksana baru lepas balik perang. Mujur ada orang kampung yang hadir mesyuarat JKKK di balai raya. Terus mereka datang membantu mengangkat motornya itu. Dia jatuh lagi. Fobianya terhadap motor tidaklah lama, hanya dua minggu.
Kini, dia sudah tidak peduli. tentang undang-undang dan peraturan. Apa guna ikut peraturan jika kecelakaan masih menimpa? Jatuhnya dia kali kedua ini menguatkan lagi dirinya. Dia mampu bangun walaupun berdarah dan cedera teruk. Da yakin tidak akan ada lagi jatuh yang lebih teruk melainkan mati.
Selepas itu, dia hidup dengan penuh berani dengan keyakinan itu. Dia memecut motornya selaju 150km/j menyelit di kiri dan kanan kereta, dia mengharungi jeram maut untuk menangkap ikan, dia redah hutan tebal untuk mencari tongkat ali. Kiranya kehidupan dia penuh bahaya selepas insiden itu. Namun, dia masih belum mencapai kepuasan. Matlamatnya untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara masih belum tercapai.
Melintasi tanah kubur itu, dia masuk ke hutan di pinggir kampungnya itu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan olehnya. Dia hanya berjalan meredah hutan itu mencari sesuatu yang tidak pasti. Matahari yang pada awal perjalanan Mamat tegak menyinari bumi, kini sudah hampir terbenam. Dia tidak pernah berjalan di hutan di waktu malam sendirian. Dia mahu melakukan satu cabaran baru.
Dia berjalan dan terus berjalan. Calar di kakinya tidak dihiraukan, nyamuk yang kenduri di kulitnya ditepis dan ditampar yang mana sempat. Dia mahu bebas bergerak, dan melawan segala peraturan. Dan sedang dia berjalan, dia tersepat akar banir sebatang pokok yang tinggi lalu dia terjatuh. Ketika dia mahu bangun, dia terasa perit dan pedih di kakinya. Pemetik api yang dibawanya terus dinyalakan menerangi bahagian kecil kakinya.
Dia berpeluh, terkejut dan mula merasa takut. Dia bimbang bahawa ini kali terakhir dia jatuh, dan tidak mungkin lagi akan bangun. Dan saat itu, semua sejarah jatuh bangunnya mula bermain dalam mindanya. Kini dia khuatir, kini dia resah. Jatuhnya kali ini nampak mudah, namun hakikatnya, namun natijahnya membawa igauan. Dia bimbang, dia bimbang dia tidak akan mampu bangun lagi.
bersambung...
p/s: Kalau ada yang baca sampai habis, memang aku respek.. hehehe.. Terima kasih! Tunggulah sambungannya yang tidak akan kunjung tiba.. ^.^
No comments:
Post a Comment
Carutan anda mestilah bukan betul-betul mencarut... Carutan boleh dibuat tentang isu yang dibincangkan ataupun tidak, tetapi pastikan relevan... Atas sebab demo-kerasi, mana-mana komen yang melanggar etika seperti mencarut kasar, maki hamun, dan tidak sesuai boleh dipadamkan oleh Redz der Tsar mengikut budi bicaranya... Komen anda tidak akan ditapis dahulu, dan sila pastikan komen anda berguna, pahammmmmm?