Wednesday, February 5, 2025

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah CERPEN 

ONE LAST PATIENT...

Jalan raya daripada rumahnya di Indera Mahkota 15 lengang menuju ke Hospital Besar Kuantan. Ramai penduduk Kuantan yang masih bercuti kerana Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada hari Khamis memungkinkan cuti hujung minggu yang panjang. Redz bergerak perlahan menuju ke tempat kerja, dengan sebatang rokok menyala di luar tingkap kereta. Sampai di tempat parkir kebiasaannya, masih awal. Jam menunjukkan pukul 7.40 pagi, masih sempat untuk melepak sambil minum kopi sebelum memulakan rondaan pesakit. Biasanya rondaan dijalankan berdua, namun rakannya yang sama-sama meronda di periphery iaitu seluruh Hospital selain wad perubatan dan wad nefrologi, turut bercuti. Bermula daripada tingkat satu, perlahan-lahan dia memulakan rondaan.

Dadanya mula terasa disiat-siat apabila tiba di tingkat 5. Perasaan ini sudah seminggu menghantui dia. Kadang-kadang ada, dan selalunya tiada. Habis sudah Gaviscon Double Action, Omeprazole 20mg, Susu Segar dan sebagainya, namun sakit hirisan di ulu hari itu tidak hilang sempurna. Ada juga dalam kepalanya ini ialah serangan jantung, namun tidak diendahkan kerana tidaklah sakit ketika berlari atau berjalan, malah lebih terasa apabila berada dalam keadaan rehat. Semalamnya, boleh sahaja dia membantu kariah Masjid menumbangkan beberapa ekor lembu dan membantu melapah sedikit sebelum terasa pedihnya ulu hati. Usai mengeluarkan perut dan membantu sedikit untuk melapah, dia pun bergerak pulang ke rumah tanpa menunggu daging korban. "Kalau nak bagi, tak payah tunggu pun takpe. Kalau tak dapatpun, takde masalah."

Biasanya pedih itu akan hilang selepas beberapa minit. Pedih itu tidak akan lama. Namun selesai melihat pesakit di tingkat 5, pedih ulu hati itu tidak habis lagi. Malah makin terasa kuat disiat-siat. Digagahkan lagi diri menaiki tangga. Terus ke tingkat 7. Sampai di tingkat 7, dia berhenti sebentar di hadapan papan putih yang menyenaraikan nama-nama pesakit. Ada seorang pesakit yang hari sebelumnya berada di CICU tingkat 3 namun sudah dipindahkan ke wad tingkat 7. Dia menarik nafas panjang. Kali ini kombo dengan jantung yang berdebar. Dia merasakan ini perkara baru yang signifikan. Pedih ulu hati dan jantung berdebar, barangkali serangan jantung, barangkali pendarahan dalam perut.

Dia sudah berjanji dengan isteri dan anak-anak, seusai kerja akan terus bergerak pulang ke kampung. Mereka sudah balik lebih awal memandangkan cuti yang panjang. Tinggal seorang diri di rumah bukanlah satu yang ganjil, malah kadangkala memang didamba. Kebebasan, masa lapang, Netflix and Chill. Baju-baju raya sudah disimpan kemas dalam but kereta. Kiranya bila dah pukul 5, akan terus bergerak pulang ke kampung tanpa singgah ke Indera Mahkota semula. Ada photoshoot juga katanya di sana, jadi kepulangannya amatlah dinanti.

Sambil dia mengemaskini senarai pesakit di periphery, dan jam menunjukkan pukul 10.35am, dia mula menaip juga kepada seorang rakan sekerja - Nan. "Aku nak pi ED jap, gastrik teruk nau. Ni list passover, dan ada satu prosedur di CCU femoral catheter," tidak dihantar, namun disimpan. Kerana ada seorang lagi pesakit yang tinggal untuk dilihat sebelum kononnya mahu pergi ke Kecemasan. Setelah mengenalpasti kedudukan pesakit, Redz melangkah masuk ke dalam wad itu. Dia senyum ke ara seorang jururawat yang sedang menulis laporan di mejanya. Redz mengambil fail pesakit dan membukanya.

bersambung.....