Pages

Sunday, July 25, 2010

Ini Dia Kepala Wahhabi

Salam Alaik...

Amaran!! Entri ini sangat panjang.. Dan tidaklah dipaksa untuk dibaca melainkan jika mahukan 'ilmu dan maklumat tambahan tentang pengasas puak-puak wahhabi dan yang sekutu dengannya..

Wahhabi sememangnya antara golongan yang sangat kontroversi di Malaysia... Serius... Dan, di Malaysia, khabar angin menyatakan Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin merupakan seorang Wahhabi...

Tapi, tahukah anda siapa kepala (pengasas) gerakan wahhabi? Namanya ialah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab... Dan, sememangnya, gelaran wahhabi bukanlah dia yang canangkan, tetapi dicanangkan oleh orientalis barat dan orang-orang lain... Biasanya pengikut Wahhabi nie tidak akan menggelarkan mereka wahhabi, tetapi lebih kepada Salafi...

Jadi, sebelum komen dalam Artikel aku nie, sila baca sampai habis dulu eh...

**************************************************

Pada suatu hari di perkampungan al-Qasim, seseorang telah bertanya Syeikh Muhammad Abdul Wahhab akan akidah yang dipegangnya... Maka, menjawablah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dengan perkataan berikut:-

Aku bersaksikan Allah serta para malaikat yang hadir di sisiku. Aku juga bersaksikan kamu bahawa aku berpegang teguh dengan akidah al-Firqah al-Najiyah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti berikut:

Aku beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, kehidupan sesudah mati dan kepada Qadar segala yang baik dan buruk. Aku beriman kepada Allah dengan apa yang Dia sifatkan Diri-Nya di dalam Kitab-Nya menerusi lisan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tanpa tahrif dan ta’til. Aku beriman bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:

“Tidak ada sesuatu yang menyerupainya. Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (al-Syura 42:11)

Aku tidak menafikan apa yang Allah sifatkan tentang diri-Nya, Aku tidak mengubah Kalamnya dari kedudukan maknanya yang sebenar serta tidak pula menjatuhkan diriku ke dalam kesesatan berhubung dengan segala Asma’ dan Sifat Allah. Aku tidak menyerupakan sifat Allah dengan makhluk-Nya kerana Dia tidak menyerupai makhluk-Nya serta tidak ada makhluk yang boleh menyerupai serta dibandingkan dengan-Nya. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui tentang diri-Nya serta sekalian makhluk-Nya. Maha Benar segala firman-Nya dan Maha Sempurna segala perkhabaran-Nya. Allah Memahasucikan diri-Nya mengatasi segala yang disifati makhluk-Nya (terhadap diri-Nya –penterjemah) di kalangan ahli takyif dan tamthil serta penafian ahli tahrif dan ta’til. Dalam hal ini Allah berfirman:

“Maha suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan. Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.” (al-Saffat: 180-181)

Sesungguhnya al-Firqah al-Najiyah merupakan golongan pertengahan di antara al-Qadariyah dan al-Jabariyah berhubung pegangan mereka terhadap perbuatan Allah. Mereka juga merupakan golongan pertengahan di antara al-Murji’ah dan al-Wa‘idiyah (al-Khawarij dan al-Muktazilah) berhubung dengan amaran (wa‘id) Allah. Mereka juga merupakan golongan pertengahan di antara al-Haruriyyah, al-Mu’tazilah, al-Murji’ah dan al-Jahmiyyah berhubung perkara keimanan dan urusan keagamaan. al-Firqah al-Najiyah juga merupakan golongan pertengahan di antara al-Rafidhoh dan al-Khawarij berhubung kedudukan para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam.

Aku berpegang bahawa al-Qur’an itu Kalam serta Wahyu Allah yang tidak diciptakan (bukan makhluk) di mana ia datang daripada-Nya dan akan kembali kepada-Nya. Menerusi al-Qur’an, Allah Berkata-kata secara hakikat serta mewahyukannya kepada hamba-Nya serta Rasul-Nya yang terpercaya (amin) Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam. Aku beriman bahawa Allah melakukan apa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang terjadi melainkan dengan keizinan-Nya serta tidak ada sesuatu yang terkeluar dari kekuasaan-Nya. Begitu juga tidak ada sesuatu yang berlaku pada alam ini yang terkeluar atau berbeza dari ketetapan (Taqdir)-Nya.

Dan tidak ada sesiapa yang dapat mengelakkan dirinya dari apayang ditetapkan baginya ataupun melampaui apa yang telah dituliskan untuknya berdasarkan apa yang termaktub di al-Luh al-Mastur.

Aku beriman dengan apa yang yang diberitahu oleh Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam berhubung apa yang akan terjadi sesudah mati. Aku beriman dengan siksa dan nikmat kubur serta kembalinya ruh ke dalam jasadnya. Seterusnya seluruh manusia akan bangun berhadapan dengan Tuhan sekalian alam. Mereka akan dihidupkan kembali dalam keadaan tanpa sepatu, bertelanjang, tidak bersunat, dan dengan matahari berada dekat dengan mereka. Timbangan akan dibawa dimana segala amalan para hamba Allah akan disukat dengan timbangan tersebut. Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:

“Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan. Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinyasendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam.” (al-Mu‘minun: 102-103)

al-Dawaween (rekod amalan –penterjemah) akan dihamparkan. Ada di antara hamba Allah yang akan menerimanya menerusi tangan kanan dan ada yang menerima menerusi tangan kirinya. Aku beriman dengan Haudh (telaga –penterjemah) Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam di hari kebangkitan nanti. Airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari madu manakala bekas-bekasnya amat berkilauan cahayanya laksana bintang-bintang di langit. Sesiapa yang minum walau seteguk sahaja daripadanya tidak akan merasa dahaga buat selama-lamanya. Aku beriman bahawa al-Sirat (jambatan –penterjemah) akan dibentangkan di atas neraka jahanam di mana manusia akan melintasinya bergantung kepada amalan mereka.

Aku beriman dengan syafaat Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Baginda merupakan orang pertama yang akan memberi syafaat dan orang pertama yang diizinkan untuk memberi syafaat. Hanya golongan bid’ah dan sesat yang menolak serta menafikan syafaat Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Namun kebenaran melakukan syafaat hanya setelah mendapat keizinan Allah sebagaimana firmannya:

“Dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diridhai Allah.” (al-Anbiya’: 28)

“Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya.” (al-Baqarah: 255)

“Dan berapa banyaknya malaikat di langit, syafaat mereka sedikitpun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredhai(Nya).” (al-Najm:26)

Hakikatnya, Allah hanya menerima serta mengizinkan syafaat ke atas mereka yang mentauhidkannya. Adapun golongan musyrikin mereka tidak memperolehi syafaat sebagaimana firmannya:

“Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat.” (al-Muddatstsir: 48)

Aku beriman bahawa syurga dan neraka merupakan dua makhluk Allah, di mana keduanya telah diciptakan dan tidak akan binasa. Aku mempercayai bahawa orang-orang beriman akan melihat Tuhannya pada hari kiamat dengan penglihatan mereka sebagaimana mereka melihat keadaan bulan mengambang tanpa menempuh apa-apa kesulitan. Aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam merupakan khatam al-Nabiyyin serta al- Mursalin. Di mana tidak sah iman seseorang hamba melainkan apabila dia beriman dengan kerasulan serta kenabian baginda.

Aku beriman bahawa sebaik-baik di kalangan umat Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam ialah Abu Bakar al-Siddiq, diikuti oleh Umar al-Faruq , diikuti oleh Uthman Dhu al-Nurain, diikuti oleh ‘Ali al-Murtadho, diikuti dengan sepuluh sahabat yang mendapat jaminan syurga, diikuti dengan ahl-Badr, diikuti dengan mereka yang melakukan Bai‘ah al-Shajarah sewaktu berlangsungnya bai‘ah al-Ridhwan, diikuti akhirnya oleh sekalian para sahabat radiyallahu ‘anhum.

Aku adalah penyokong (wali) ke atas para sahabat radiyallahu ‘anhum. Aku menyatakan kelebihan yang ada pada mereka serta memohon keampunan terhadap mereka. Aku menegah diriku dari memperkatakan sesuatu yang tidak baik terhadap mereka serta mendiamkan diriku dari memperkatakan tentang perselisihan yang terjadi di kalangan mereka. Aku berpegang teguh kelebihan yang ada pada mereka sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya Tuhan kami, beri ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (al-Hasyr: 10)

Aku meridhai para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah) yang bersih dari segala noda. Aku meyakini karamah yang ada pada para wali Allah namun mereka tidak memiliki apa yang merupakan hak mutlak Allah. Aku tidak mengatakan bahawa seseorang Muslim itu merupakan ahli syurga atau ahli neraka melainkan apa yang diberitahu oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Aku hanya berharap kepada kebaikan dan takut melakukan kejahatan.

Aku tidak mengkafirkan seseorang Muslim disebabkan dosa yang mereka lakukan serta tidak sekali-kali mengeluarkan mereka dari lingkungan agama Islam. Aku berpandangan bahawa jihad itu berkuatkuasa di bawah kepimpinan Imam (khalifah) samada dia itu seorang yang baik mahupun fasik. Dalam hal ini, adalah harus menunaikan solat di belakang imam yang fasik itu. Jihad akan selalu dilakukan serta sah dilakukan sejak dari saat Allah mengutuskan Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wa sallam sehingga terbunuhnya Dajjal di tangan salah seorang dari umat ini. Jihad tidak boleh dihentikan disebabkan ketidakadilan para penjahat ataupun keadilan oleh orang yang berlaku adil.

Aku meyakini bahawa mendengar serta mentaati pemerintah kaum Muslimin adalah wajib sama ada mereka itu pemerintah yang adil mahupun fasik selagi mana mereka tidak menganjurkan perkara maksiat terhadap Allah. Dan sesiapa yang dilantik menjadi Khalifah dengan persetujuan orang ramai dan mereka meredhai kepimpinannya atau dia bersama-sama dengan mereka menawan Khilafah lalu dilantik memimpin mereka maka ketaatan terhadapnya adalah wajib manakala menentangnya adalah haram.

Aku meyakini bahawa golongan yang melakukan bid‘ah seharusnya disisihkan sehingga mereka bertaubat. Dalam hal ini aku menghukum para ahli bid‘ah berdasarkan apa yang dizahirkan oleh mereka dan aku serahkan urusan hati merekakepada Allah. Aku meyakini bahawa setiap perkara baru dalam agama adalah bid‘ah.

Aku meyakini bahawa iman itu terdiri daripada perkataan lisan serta amal perbuatan terhadap rukun-rukunnya. Iman itu menetap di dalam hati sanubari manusia. Di mana iman itu meningkat menerusi amal baik yang dilakukan serta mengalami penurunan menerusi dosa-dosa yang dilakukan. Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi daripadanya ialah penyaksian Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah menyingkirkan benda-benda merbahaya
yang ada di jalan. Aku menegaskan tentang wajibnya melakukan amal makruf serta mencegah kemungkaran melalui apa yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.

Inilah peganganku yang dinyatakan secara ringkas. Aku menulisnya di saat aku amat mengambil berat tentang urusan kamu dan supaya kamu sekaliannya mengetahui apa yang menjadi peganganku. Dan Allah mengawasi (Wakil) ke atas apa yang dikatakan para hambanya.

**************************************************

Sumber: Muallifat al-Syeikh bertajuk al-Rasail al-Syakhsiyyah yang disemak oleh al-Fauzan dan al-‘Aliqi, al-Riyadh, Jld. 5, hlm. 11.


Maka, daripada perkataannya, tidaklah langsung dia mengkafirkan orang-orang yang berbuat bid'ah... Dan jika ada antara 'wahhabiah' yang mengkafirkan pembuat (ahli) bid'ah, maka dia bukanlah seorang pengikut Syeikh Muhammad Abdul Wahhab...

Tentang syeikh Muhammad Abdul Wahhab, seluruhnya boleh la dibaca atau dimuat turun di sini...

p/s: Sebenarnya tak tau nak tulis apa... Jadi, salin dan tampal sahajalah sebagai satu perkongsian...

No comments:

Post a Comment

Carutan anda mestilah bukan betul-betul mencarut... Carutan boleh dibuat tentang isu yang dibincangkan ataupun tidak, tetapi pastikan relevan... Atas sebab demo-kerasi, mana-mana komen yang melanggar etika seperti mencarut kasar, maki hamun, dan tidak sesuai boleh dipadamkan oleh Redz der Tsar mengikut budi bicaranya... Komen anda tidak akan ditapis dahulu, dan sila pastikan komen anda berguna, pahammmmmm?