Saturday, October 13, 2012

Tiada Kata Secantik Bahasa

Salam 'Alaik...

Berada di puncak Gunung Ledang minggu lepas memang membuatkan aku rasa tenang.. Melihat alam, dan berjalan di tengah kehijauan hutan membuatkan aku lupa masalah biasa aku; apa yang aku ingat hanyalah kepenatan dan keindahan.. Sampai di puncak, segala penat hilang sekelip mata, puas rasa jiwa dengan kejayaan yang bagi aku agak besar..

Begitulah resminya..

Bilamana kita cuba mencapai sesuatu dengan penat lelah dan usaha yang gigih, kejayaan yang hadir selepas itu memang mengasyikkan.. Bayangkan jika menjawab soalan matematik tambahan, dan setelah jalan kerja yang hampir satu muka surat, jawapan kita betul! Terasa hebat dan terasa gembira dengan diri sendiri..

Semakin kuat berusaha, semakin lama melaksanakan misi, apabila visi menjadi nyata; tiada siapa yang mampu menarik kebahagiaan dalam diri.. Sungguh!

Dan bila mana apa yang telah dicapai itu hilang dibawa angin sesudah penat melawannya, kekecewaan yang tiba selepas itu membawa diri memahami perkataan trauma.. Trauma untuk gigih, trauma untuk mengulangi perkara yang sama dan trauma dalam memiliki sesuatu yang berharga..

Di saat kehilangan itu, jiwa cuba berlakon bahawa tidak ada apa yang berlaku, namun setakat mana mampu dipakai topeng? Tatkala topeng ditanggalkan, datang satu angin lara membawa susuk ini jatuh sedalam-dalamnya..Dan ketika merangkak kembali keluar, dan cuba bangkit setelah terduduk; topeng itu kembali disarung, dan segala kepedihan ditutup dengan sempurna..

Hanya menunggu bila masa topeng itu kembali tercabut lagi.. Hanya menunggu masa kosong, dan segala pemikiran dan memori meluruhkan topeng itu..

Tapi syukur kepada Tuhan, topeng itu sudah jarang sekali luluh.. Namun, masih tetap dalam hati, ingin mencabut topeng itu apabila jiwa sudah tenteram, apabila memori lama sudah tidak berjaya mengubah rasa.. Rasa ini pada awalnya ku anggap sementara, namun rupanya lama..

Cuma satu harapku, agar rasa ini tidak mengubah citarasa.. Tidak lagi menjadi dinding membawa trauma.. Biar dinding itu hilang, biar rasa itu norma..

Senyum.. Menulis dalam keadaan mengantuk, di malam minggu ketika tidak ada apa yang ingin dilakukan.. Jangan dilayangkan khabar angin di atas dasar karangan ini.. Ini hanya mainan kata, yang sengaja ditulis untuk mengisi ruang kosong dalam blog ini..

Selamat Hari Minggu!

1 comment:

Don Balon said...

Gayaaaaatttt wehhh kuikui..

Ni la baru orang kata kaki gunung ledang.. pakai converse plok tu kuikui