Saturday, July 14, 2012

"Mohon Lalu, Saya Student Medic!"

Salam 'alaik..

Jam menunjukkan pukul 4 petang, kereta dipandu perlahan keluar daripada bandar Jerantut.. Ada perjalanan yang masih panjang untuk sampai ke destinasi terakhir, Melaka.. Paling tidak, 4 jam di dalam kereta, memandu meredah lebuh raya.. Cuaca memang redup, berkat jerebu yang melanda Malaysia baru-baru ini.. Entah di mana la hutan terbakar.. Harusnya di Indonesia, negara yang banyak hutan, mungkin beruk pun banyak jugak..

Jalan Temerloh-Jerantut memang agak lurus.. Dibuka pada tahun 2001 tak silap aku, berjaya memendekkan masa.. Kalau dahulu, sejam lebih jugak la untuk ke Temerloh.. Tapi sekarang kalau dengan kelajuan 100km/j, boleh sampai dalam masa 40 minit.. Ya, had laju 90 km/j, tapi biasa la, selagi boleh tekan pedal minyak,takkan nak berhenti setakat angka 90, kan?

Jalan hari itu agak sibuk berbanding biasa.. Walaupun tak sesibuk ketika Himpunan Hijau minggu sebelum itu, tapi sudah cukup untuk menghadkan kelajuan pada kelajuan yang dibenarkan.. Mungkin ramai nak kembali ke tempat kerja masing-masing, maklumlah hari itu hari Ahad.. Malah, ada jugak konvoi bermotosikal, mungkin dalam 4-5 buah motor mencilok kiri dan kanan walhal jalan bapak besarnya..

Setelah 30 minit dalam kereta, tiba di simpang Sanggang berhadapan SM Teknik Sanggang.. Kenderaan mula bergerak perlahan dan beberapa buah kenderaan di depan aku mengelak sesuatu.. Setelah diamati, ternampak seorang lelaki muda sedang terbaring.. Orang ramai mula membantu mengangkat lelaki itu ke tepi jalan, nampak lelaki itu masih bergerak..

Semasa menyusur perlahan aku layangkan pandangan aku lebih luas.. Ada sebuah motor RXZ terbaring di bahu jalan, dan tiba-tiba mata aku berhenti.. Kelihatan seorang wanita yang dalam umur 40-an sedang merangkak menuju ke arah dua tubuh di tengah jalan masuk ke Sanggang.. Dua tubuh itu, dilihat seperti seorang kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa, dan keduanya tidak bergerak.. Kanak-kanak itu tersandar pada lelaki dewasa itu dengan hidung berdarah, masih tidak bergerak..

Aku memberhentikan kereta di bahu jalan.. Rokok yang ada di tangan dilepaskan ke jalan dan dipijak.. Telefon bimbit aku keluarkan daripada kocek seluar jeans Levi's lantas mendail nombor kecemasan.. "Salam, saya nak laporkan kemalangan di simpang empat Sanggang.. Macam ada dua orang yang memerlukan perhatian serius.. Kalau boleh hantar tiga ambulans."

Aku mencapai stetoskop yang tergantung pada lab coat aku dan aku sangkutkan di leher.. Aku bergerak pantas menuju ke arah kedua-dua mangsa yang masih terbaring kaku sambil menghembuskan sisa-sisa asap yang masih ada dalam paru-paru aku.. Perempuan tadi sudah memangku budak kecil itu sambil menangis.. Semakin jelas darah yang keluar daripada hidungnya.. Perempuan itu kelihatan hanya punyai kesan calar dan luka..

"Mohon lalu, saya student medic," aku mencelah di antara tiga empat orang.. Lelaki muda tadi sudah berada di bahu jalan manakala lelaki dewasa masih lagi kaku terbaring.. Aku melutut di hadapan perempuan itu dan meletakkan jari telunjuk aku pada leher kanak-kanak yang malang itu.. Perempuan itu, mungkin ibunya, masih menangis dan berteriak.. Denyutan karotid masih ada, walaupun perlahan.. Aku lihat telinga budak itu, tidak berdarah..

"Akak, biar saya tengok dia sekejap," pohon aku kepada perempuan itu.. Bau darah memang menusuk hidung.. Teringat masa aku kemalangan dua hari sebelum raya ketika di Manipal dulu, begitulah baunya.. Aku lihat budak itu, tiada kesan kecederaan dalaman di leher dan tengkuknya.. Darah keluar melalui hidung, dan kelihatan juga ada darah di kepalanya.. Aku rasa sekali lagi denyut nadinya, masih ada..

"Abang, tolong rasa denyut nadi ni selang seminit.. Kalau tak berdenyut bagitau saya cepat," aku meminta seorang abang yang ada kat sebelah.. Aku mengalih fokus kepada lelaki dewasa itu.. Aku melihat tanda kecederaan di tengkuknya, juga tiada.. Badannya tertiarap, dan aku meminta pertolongan orang ramai untuk alihkannya supaya terlentang..

"Sesiapa boleh tolong berlari ke Klinik Sanggang, kalau boleh mintak diorang datang sini bawah apa yang patut.. Kalau ada ambulan suruh bawak sini jugak," aku memberikan arahan.. Hidup aku 5 tahun di SBPI Temerloh memang menyebabkan aku tahu Klinik Desa Sanggang memang dekat dengan tempat kejadian, ada la dalam 100 meter..

Aku merasa denyut nadi di leher lelaki dewasa itu, tidak ada.. Aku angkat jari aku, dan cuba sekali lagi.. Masih tidak aku jumpa.. Aku gunakan stetoskop aku untuk mendengar di dadanya, juga tidak ada.. "Ini bahaya!" getus hati aku.. Terus prosedur CPR melintas dalam kepala.. Sungguhpun aku tak hadir kelas Basic Life Support ketika di Manipal dulu, namun pengalaman setahun setengah dalam farmakologi sudah memadai bagi aku..

Dengan pantas aku mencari tanda pernafasan.. Tiada pergerakan di dada, tiada hembusan dari hidungnya.. "Sesiapa ada basic CPR kat sini?" aku menjerit.. Tiada sahutan atau balasan.. Aku tak boleh tangguh lagi, nanti jadi lebih bahaya.. "Uncle dengan abang baju biru tue bolehtolong saya?". Mereka berdua berdiri di sebelahku..

"Ok, saya nak mintak uncle dengan abang buat CPR gilir-gilir.. Nanti lepas saya hembus nafas, tekan dada dia dalam kiraan 1001, 1002, 1001, 1002,. Sampai 15 kali, berhenti. Tekan kuat-kuat.. Patah rusuk pun takpe.. Abang dulu ye, uncle kejap lagi" aku memberikan arahan sambil menekan dada lelaki itu.. Uncle dan abang tue mengangguk faham lantas melutut di sebelah aku..

Tanpa buang masa aku mulakan prosedur untuk hembuskan nafas.. Selepas dua hembusan, aku bagi isyarat untuk mula menekan.. "Boleh tahan abang katang nie tekan.. Macam dah pernah belajar CPR je," aku bermonolog dalaman..

Setelah 3 pusingan CPR, kelihatan dua orang sedang berlari dari arah Klinik Sanggang.. Mereka membawa beg yang berwarna hitam, mungkin ada kit pertolongan cemas agaknya.. "Abang tolong take over CPR boleh?" soal aku kepada dua orang yang baru hadir tue.. "Ok.. Ambulan keluar kejap lagi.. Doktor tengokkan budak tue," balas abang tadi menganggapku doktor, mungkin kerana stetoskop di leher..

Denyut nadi budak itu masih ada.. Namun budak itu masih tidak sedarkan diri.. Perempuan itu sudah berhenti berteriak, penat agaknya.. Tapi air mata masih mengalir, teresak-esak.. Lelaki muda di bahu jalan sudah terduduk.. Ada seorang wanita, lagak gayanya seperti jururawat masyarakat sedang menguruskan lelaki muda itu.. Aku mencari pendarahan pada budak itu, namun tidak jumpa melainkan yang telah berhenti di kepalanya.. Aku ambil kapas daripada beg hitam itu dan bersihkan hidung budak itu..

Siren ambulan kedengaran.. Sebuah ambulan bertulis 'Klinik Desa Sanggang' berhenti di sebelah lelaki dewasa itu.. Endotracheal intubation dibuat oleh seorang perempuan pada lelaki itu dan kemudian Ambu bag dipasang.. Lelaki itu diangkat ke atas stretcher sambil dibantu orang di sekeliling.. Ambulan itu terus bergerak meninggalkan Sanggang..

Perempuan yang melakukan endotracheal tadi mula fokus kepada budak itu.. Aku berdiri perlahan, dan mula bergerak ke arah kereta.. Jauh lagi perjalanan untuk ke Melaka.. Aku ambil tisu dari dalam kereta, dan mencuci kesan pasir dan batu di seluar, dan kesan darah di tangan.. Selepas meregangkan tulang belakang dengan menggeliat, aku masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan ke Melaka.. Jam sudah menunjukkan pukul 5.10 petang..

"Aku dah lakukan yang terbaik bagi tahap aku. Yang lain serahkan kepada yang lebih pakar.. Tapi Tuhan penentu segalanya.."

Bergerak masuk ke jalan raya, aku mendengar bunyi siren yang kuat.. Tiga biji ambulan beriringan melepasi aku.. Aku mengeluarkan sebatang rokok, dan menyalakannya dengan tenang.. Stetoskop yang tersangkut di leher aku ambil dan letakkan di kerusi sebelah.. Aku menyusur perlahan dengan kelajuan 80km/j, menghala ke Temerloh.. Perjalananku masih panjang, ada lebih kurang 3 jam setengah lagi..

P/s: 5 perenggan pertama ialah kisah benar.. Perenggan seterusnya hanyalah imaginasi aku.. Sehingga sekarang, sesudah 6 hari, aku masih terbayang wajah kanak-kanak itu, dan aku rasa menyesal kerana tak berhenti untuk membantu.. Aku tak tahu apa yang terjadi kat mangsa-mangsa tue.. Aku harap mereka semua selamat..


Kalaulah.....


Berita sebenar: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/nenek-maut-dalam-kemalangan-ketika-jemput-cucu-1.64980

No comments: