P/s: Ini ialah sebuah cerpen.
Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Balai raya baru Kampung Dusun itu riuh dengan borak ketua-ketua keluarga yang rata-ratanya berusia lebih daripada 60 tahun. Majoritinya penoreh getah, dan sebahagian kecil merupakan pelanggan tetap Warung Zabedah, yang diuruskan oleh Kak Zab. Mereka yang menunggu sejak selepas Isyak lagi nampak sedikit huru-hara. Bukan main lambat lagi Tok Nan nak sampai ke balai raya.
Khabar angin mula menular bahawa Tok Nan, selaku Ketua Kampung Dusun, merangkap Pengerusi JKKK Kampung Dusun dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Kampung Dusun tidak berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada ADUN Dusun Seberang, Dato' Dompok. Jika tidak mendapat bantuan, hasil getah dan tanaman lain bakal berkurangan.
Ngah Berahim, sebagai sepupu Tok Nan, selaku Timbalan Ketua Kampung Dusun, merangkap Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Dusun dan Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Kampung Dusun pantas menenangkan semua yang hadir dalam mesyuarat itu. Ngah Berahim tahu, bahawa Dato' Dompok takkan mengecewakan penduduk yang telah mengundinya sebagai ADUN selama lima penggal berturut-turut.
Kedengaran bunyi deruman enjin kereta yang sepertinya hampir roboh. Sebuah kereta Proton Saga tahun 1995 berhenti di depan pintu pagar balai raya. Semua mata memandang ke arah pintu kereta itu yang dibuka dengan perlahan. Tok Nan keluar dengan muka serius, dan laju langkahnya masuk ke dalam balai raya. Sungguhpun ramai penduduk kampung mahu mencium tangan beliau, beliau menolaknya kerana beliau tahu perkara yang akan disampaikan olehnya sangat mustahak.
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh," ucap Tok Nan. Salam itu dijawab dengan gerakan mulut daripada sebahagian besar ahli-ahli yang menunggu. "Tadi saya berjumpa dengan Dato' Dompok dan membawa hal dan permohonan kita semua. Dato' Dompok telah bersetuju untuk memberikan bantuan kepada kita semua dalam bentuk wang ringgit dan bekalan baja," Tok Nan memberitahu dengan nada yang rendah.
"Itu berita gembira, kan? Dah tue kenapa macam sedih je nie?" soal Pak Man Burung di kala semua di dalam dewan senyap menunggu kata-kata daripada Tok Nan.
"Tahun lepas, kita menerima bantuan sebanyak 550 ringgit bagi setiap keluarga dan 20 guni baja untuk setiap ekar tanah yang diusahakan. Namun, tahun ini, Dato' Dompok hanya mampu memberikan bantuan sebanyak 300 ringgit dan 5 guni baja sahaja," ujar Tok Nan dengan nada bersalah.
"Kenapa makin kurang? Dalam TV kata ekonomi makin bagus. Aku baca surat khabar kelmarin, Dato' Dompok baru je dapat untung 15 juta ringgit daripada bisnes lombong bijih besi dan pembalakan dia. Belum campur projek bina sekolah dan buat jalan di Kampung Seberang Takur! Kenapa?" bentak Udin Gila.
"Cuba bawak bersabar, Udin. Kita kena ingat, kita ni yang dapat bantuan. Jangan la mintak lebih-lebih. Kita kena bersyukur yang kita dapat juga 300 ringgit ni. Kalau tak dapat langsung? Kampung Batang Pulau langsung tak dapat apa-apa!"
"Itu sebab diorang undi Pakatan Nasional. Memang la diorang tak dapat bantuan. Kita yang dah 5 kali bagi 100% undi kepada Dato' Dompok ni harusnya dapat lebih banyak!"
"Kena ingat, Allah berfirman yang bermaksud, 'jikalau kamu semua bersyukur, akan Aku tambah nikmat; dan jikalau kamu semua kufur, sesungguhnya azab Aku amatlah berat'. Kamu semua kena ingat tue! Bersyukurlah!"
Mendengar Tok Nan mengeluarkan hujah al-Quran, hadirin di balai raya senyap dan mengangguk perlahan. 300 ringgit dan 5 guni baja berkat bantuan Tok Nan haruslah diterima seadanya. Lebih baik 300 daripada tiada. Setelah moreh dengan biskut mayat dan kopi O kurang manis, majlis pun bersurai.
* * *
Usai balik daripada balai raya, Tok Nan dan Ngah Berahim berjumpa di bawah pokok jambu di belakang rumah Tok Nan. Ngah Berahim dengan tersenyum lebar bertanya kepada Tok Nan, "tahun nie kita dapat berapa?"
"Tahun lepas kita rembat 10,000 ringgit. Tahun nie kita dapat rembat 8,000 ringgit je. Dato' Dompok memang tak boleh bagi lebih. Dia kata dia nak guna banyak duit menjelang pemilihan agung Barisan Rakyat awal tahun depan," terang Tok Nan kepada Ngah Berahim.
"Dia untuk berjuta kot. Banyak mana lagi yang dia nak untuk pemilihan?"
"Kita kena bersyukur Ngah oi. Untung dah kita dapat songlap 8,000 ni. Orang kampung lain dapat 300 ringgit je. Kau dapat 4,000 ringgit macam tue je."
"Oh. Kalau camtu, nak buat macam mana. 50-50 la jugak kali ni ye?"
"Ye la. Kau sepupu aku, merangkap orang kanan aku, mesti la 50-50," ujar Tok Nan sambil menghulurkan sampul surat yang berisi duit kepada Ngah Berahim. Ngah Berahim pantas mengira, walaupun dalam gelap. Ada 80 keping not 50 ringgit dalam sampul surat itu.
"Terima kasih la Nan. Kau tetap jaga sepupu kau ni," Ngah Berahim tersenyum ke arah Tok Nan. "Besok aku belanja kau ikan Patin Buah paih kat Warung Kak Zab,"
* * *
Malam itu Tok Nan tersenyum. Dia songlap bukan hanya 8,000; tapi 12,000 ringgit. Ngah Berahim dan penduduk kampung semua kena tipu dengan Tok Nan. Dato' Dompok tahun lepas bagi 16 ribu ringgit untuk bantuan, tapi tahun nie Dato' Dompok bagi 22 ribu ringgit. Dato' Dompok bagi lebih sebab dia untung besar, tapi Tok Nan yang banyak gelapkan duit.
Tok Nan mula berkira-kira untuk besarkan reban ayamnya. Dia mengunjurkan mampu menternak 140 ekor ayam menjelang suku ke-3 tahun depan berbanding 28 ekor ketika ini.
Namun masih terngiang-ngiang di kepalanya kata-kata Dato' Dompok petang tadi: "Walaupun saya untuk 8 juta tahun lepas, dan 22 juta tahun ni, saya tak boleh nak bagi banyak bantuan. Syukurlah saya bagi 22 ribu ringgit, daripada saya tak bagi langsung."
Pilihanraya akan datang, Tok Nan nekad mahu mencabar Dato' Dompok untuk menjadi ADUN Dusun Seberang. Tok Nan berangan, kalau dia berjaya menewaskan Dato' Dompok, dia nak pesan kepada Dato Dompok: "Syukurlah Dato' dah menang 5 kali pilihanraya. Kalau tak menang langsung, takkan la Dato' dapat banyak projek, kan?"
Tok Nan tidur dengan aman dalam angan-angannya. Dia tak terfikir, yang dia memerlukan sekurang-kurang 50 ribu ringgit untuk menang pilihanraya itu kalau melawan Dato' Dompok.
Pemberitahuan: Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Jalan cerita dan watak hanyalah fiksyen dan imaginasi penulis. Jikalau secara kebetulan terkait, maka itu tidaklah disengajakan. Harap maklum.
Siri Cerpen Kampung Dusun bersepah dalam blog nie. Kalau rajin nak baca, korek la sendiri.
No comments:
Post a Comment