Thursday, February 19, 2015

Kronisme Dalam Kampung Dusun Episod Satu

Salam Alaik..

P/s: Ini merupakan sebuah cerpen fiksyen

Usai jemaah surau Kampung Dusun berdoa selepas solat, mereka bangun dan melepak di tangga surau. Rutin harian ini penting dalam berkongsi maklumat tentang apa yang berlaku di luar kampung dusun seperti hal ehwal cuaca, tempat perlancongan menarik dan sebagainya. Walaupun mereka sering berkongsi cerita ketika bersarapan di Warung Zabedah, namun masa di warung itu tidaklah mencukupi sehingga sesi forum harus terpaksa dibawa ke belah malam.

Pak Tam Burung memulakan cerita dengan khabar angin bahawa sebuah projek melombong akan dibawa ke pinggir kampung itu. Kata Pak Tam Burung, sumber berita yang didengarnya itu sahih dan boleh dipercayai kerana diceritakan oleh anaknya yang membaca blog yang ditulis oleh kawannya yang merupakan mak sedara kepada pekerja syarikat perlombongan itu.

Pak Su Cemoih seraya bangkit dari duduknya. Sambil merenung langit yang cerah berbintang; dia mengangkat tangannya ke atas sambil bertanya dengan nada serius, "cilaka! Habislah ekosistem dan pusat tadahan air semulajadi di kampung kita! Siapa yang bertanggungjawab?" Pak Tam Burung memandang kepada Pak Su Cemoih lalu berkata, "memang la jahanam ekosistem, tapi kita kena fikir keuntungan kepada kita."

Timbalan Ketua Kampung, Ngah Berahim yang diam sebelum ini terus bersuara, "cuba kita selidik dulu betul atau tak cerita nie. Kalau betul, maka kita kena la tanya dulu kebaikan dan keburukannya sebelum kita membuat kesimpulan. ye dok? Jangan lebih sudu daripada kuah." Tok Nan si ketua kampung masih diam.

Kemudian Pak Su Cemoih kembali duduk. Lantas bertanya kepada Tok Nan tentang kegusarannya itu. Tok Nan, yang merupakan sahabat baik Dato' Dompok ADUN Dusun Seberang memandang Pak Su Cemoih. Dikeluarkannya sebatang rokok berjenama John daripada poket baju melayunya dan sambil memandang Pak Su Cemoih, Tok Nan menyalakan rokok itu dengan sebatang mancis.

Tok Nan menarik dalam-dalam rokok itu, dan selepas tarikan yang ketiga; ketika semua ahli mesyuarat tangga surau memandang ke arah Tok Nan, dia membuka mulut, "Ye. Memang akan ada projek perlombongan di kampung kita. Projek yang bernilai lima ratus juta itu akan diselenggara oleh syarikat Arus Kiasu, dan akan melombong bijih besi."

Kemudian Pak Su Cemoih memintas percakapan Tok Nan dan bertanya, "ekosistem macam mana? Apa kebaikan kepada kampung kita?"

Rokok yang berada di tangan Tok Nan itu dicampak dengan garangnya ke atas tar. Tok Nan kemudiannya menukar mukanya yang serius kepada senyuman dan dengan aman berkata, "Arus Kiasu akan melombong bijih besi. Sebagai tanda terima kasih kepada penduduk kampung, Arus Kiasu akan membina jalan empat lane keluar masuk ke dalam kampung kita ni. Lane paling luar sekali untuk lori bijih, manakala lane paling dalam digunakan untuk penduduk kampung termasuk mat rempit. Senang dan selamat sikit diorang nak merempit."

Sambil menganggukkan kepalanya, Pak Su Cemoih memandang jauh ke hadapan. Memikirkan jalan kampung Dusun yang tidak pernah diganti turapannya sejak 35 tahun lepas, Pak Su Cemoih bersetuju dengan projek sosial Arus Kiasu. Namun di dalam hatinya terfikir, siapakah atau syarikat manakah yang akan mendapat tender membuat jalan tersebut? Syarikat milik anak sedaranya iaitu Mega Kurnia atau syarikat milik Dato' Dompok, Seruling Emas Sdn Bhd? Menarik untuk disaksikan.

bersambung...


SELAMAT TAHUN BARU CINA KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA. SEMOGA TAHUN BARU INI MEMBERIKAN LEBIH KEBAIKAN BERBANDING TAHUN LEPAS.

No comments: