Friday, November 14, 2014

Jersi Pahang 2015?

Salam Alaik..

Adakah ini design jersi Pahang FA untuk musim 2015?

'Home' dan 'Away'..






Masih mengekalkan Resort World Genting dan Aras Kuasa sebagai penaja? Dan seperti biasa Away bermotifkan hitam dan putih? Apakah ini jersi Pahang FA untuk musim 2015?

TIDAK! Ini hanyalah cubaan aku belajar guna Photoshop. Hehe. Jangan kutuk, aku tau away tue huduh!


Wednesday, November 12, 2014

Remote Perodua Kancil Anda Habis Bateri? Rosak? Jangan Risau!

Salam 'Alaik..

Usai perlawanan antara Kesatuan Manchester dan Istana Kristal pada awal pagi Ahad, aku mendapati alat kunci kawalan jauh (remote) aku tidak berfungsi. Kalau aku lenjan je, risau alarm tak berhenti berbunyi. Atau kalau berhenti berbunyi, aku tak dapat menghidupkan enjin kereta. Lantas, aku pun menelefon talian Perodua di 1-800-88-5555.. Dengan tenang operator tue cakap: "Bukak pintu secara manual, walaupun alarm berbunyi, tunggu 10 saat dan cuba hidupkan kereta."

Aku pun buat la apa dia cakap.. Sekali, kereta tak hidup.. Mujur alarm berhenti berbunyi selepas beberapa ketika.. Aku call dia balik laporkan keadaan semasa aku.. Dia balas: "Mungkin bateri kereta habis. Cuba hidupkan lampu, pasang wiper atau bunyikan hon."

Aku pun buat semua benda tue, dan semua berada dalam keadaan yang baik.. Aku lapor balik kat dia.. Dia balas: "Mungkin altenator, atau wiring rosak."

Aku dah prepare nak jalan kaki balik rumah nie.. Tapi, aku tenangkan diri, dan cuba google.. Sekali, senang je rupanya.. Mangkuk punya operator tak tau apa-apa.. Begini langkahnya:

1. Buka pintu kereta menggunakan kunci secara manual. Alarm akan berbunyi, Buat taktau sahaja.



2. Masuk dalam kereta. Tutup pintu, dan masukkan kunci ke dalam lubang kunci sebelah stereng tue. Pulas kepada posisi 'ON'. Tak perlu cuba start, sebab memang tak boleh start.





3. Cari butang merah di bawah dashboard di hadapan tempat duduk penumpang (sebelah tempat duduk driver). Ada butang merah yang comel, dan agak tersembunyi. Tekan butang tue dengan tenang.




4. Start enjin kereta, dan bergeraklah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Jangan lupa tukar bateri remote anda, atau pergilah ke pusat servis untuk tindakan lanjut.

Sila bagitau rerakan yang lain. Tak silap aku kereta Perodua yang lain pun boleh pakai teknik nie.




Friday, November 7, 2014

Secawan Kopi Panas Di Tebing Sungai Narayani

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen



2011

"One cup of coffee, please," pesan Sam kepada seorang pelayan di bar yang terbuka itu. Jam ketika itu mungkin menunjukkan pukul 8 atau 9 malam. Rakan-rakannya mungkin berehat di dalam chalet, setelah kepenatan meredah hutan dan mengharuk sungai mencari badak sumbu dan harimau yang tidak muncul-muncul. Malam itu, hanya dia seorang, keluar menghirup udara yang segar ditemani berpuluh manusia pelbagai bangsa dan beraneka ragam.

"Here's your coffee, sir. 8 rupees," tegur bartender sambil menolak perlahan secawan kopi susu yang masih panas ke arah Sam. Dia terus menghulurkan not berwarna perang keemasan, dengan berlatarbelakangkan gambar gunung tertinggi di dunia kepada bartender itu dan membuat isyarat tangan yang bermaksud 'simpanlah baki itu'. Sam mengangkat cawan itu dan berjalan perlahan ke arah tebing sungai Narayani-Rapti.



Bulan sabit mulai terbit di ufuk barat. Imejnya terpampang di permukaan sungai yang tenang itu. Sam duduk di sebuah bangku rehat yang diperbuat daripada kayu. Menghadap sungai, Sam meletakkan cawan kopi itu di sebelahnya. Dia mengatupkan matanya, dan cuba mendengar suara alam. Namun perbualan orang di sekelilingnya dengan pelbagai jenis bahasa menyukarkan fokusnya.

Dia menghirup kopi itu, untuk memanaskan badannya. Sebagai seorang Melayu, yang berasal dari negara yang beriklim khatulistiwa, suhu malam itu yang dijangka di bawah 10 darjah selsius menggigit tulangnya.3 lapis kemeja T dan selapis sweater tidak mampu menahan serangan zarah-zarah udara sejuk itu. Mungkin kerana dia hanya memakai selapis seluar jeans, dan berkasut Converse.

Dalam keseorangan melayan sejuk malam itu, ditemani secawan kopi panas, banyak yang difikirkannya. Daripada awal dia berkelana di bumi India, sehinggalah kini. Banyak ranjau yang ditempuhinya, dan banyak duri yang boleh dia elakkan, namun dek kerana kelalaian dia terluka dan melukakan. Matanya dipejam, dan direnung dalam-dalam mata hati, di manakah silapnya, dan di manakah boleh diperbaik. Namun, kedalaman pemikiran itu ternyata cetek.

Sekali sekala, angin yang menghembus menggetarkan badannya. Kopi yang pada awalnya panas, menjadi sejuk sekelip mata. Masa berfikir dan muhasabah diri sudah tamat. Di bawa kakinya melangkah meninggalkan tebing sungai yang indah itu menghala ke sebuah pekan kecil. Di sebuah kedai cenderamata, dia tertarik dengan sebuah 'fridge magnet' yang berwarna emas. "Sesuai sebagai satu hadiah perpisahan," bisiknya di dalam hati.

Sambil tangannya kanannya menyeluk saku, dia bergerak ke arah chalet. Ditemani anjing-anjing liar yang mengekorinya, dia menghembuskan asap rokok yang ternyata tebal di iklim sejuk. Taman Negara Chitwan, walaupun hanya seketika, memberikan satu kenangan yang amat berharga. Sebelum masuk ke dalam chalet, puntung rokok itu dibuang dan dipijak; seraya tangan kanannya meraba sebuah kotak kecil di dalam poket sweaternya. Dia melangkah masuk, dan terukir senyuman pahit nan sinis.









2014

Sebuah kotak putih, sedang dibiarkan berhabuk.

Saturday, November 1, 2014

Pra-perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014

Salam Alaik..

Suatu ketika dahulu, mungkin dua bulan yang lepas, hati aku penuh dengan pengharapan akan keajaiban. Harapan yang sangat tinggi, kiranya tidak pernah aku berdoa dan berharap setinggi itu. Sebab apa? Sebab hanya keajaiban yang mampu merealisasikan impian itu. Aku taburkan janji, dan bermacam lagi untuk satu harapan.

Namun, dalam pada berharap itu, ketika aku sedang memandu; aku terfikir, pada tahun 2013 ketika final Piala Malaysia antara Pahang VS Kelantan, harus juga ramai rakyat Kelantan yang mahukan Kelantan menang, namun harapan mereka terkubur begitu sahaja dengan gol Matias Conti. Ketika itu aku sedar, tak semestinya dengan doa yang separuh mati, janji yang ditabur berjuta kali mampu mengubah sesuatu keputusan. Kelak, akan kecewa juga bila tiba masanya.

Piala Malaysia 2014. Pahang VS JDT. Rekod Pahang dengan JDT memberikan kelebihan kepada Pahang. Mungkin satu Malaysia yang mencintai bola sepak kecuali penyokong JDT mahukan Pahang menang. Doa yang banyak mungkin menghujani pasukan Pahang. Namun, ingatlah, Tuhan tak semestinya bagi apa yang kita nak. Aku tak tau sapa bakal menang malam nie antara JDT dan Pahang. Harapan aku kepada Pahang, namun pemain JDT di atas kertas lebih superior berbanding pemain Pahang.

Apa-apa pun keputusan, hendaklah diterima. Walaupun referee berat sebelah, atau main sangat kotor, itu ialah takdir Tuhan. Jangan membuat provokasi, dan janganlah termakan dengan provokasi. Johor dan Pahang nie bersaudara sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi..

Apa-apapun, hogoh la demeh! Kalau 2013, ada segelintir penyokong JDT yang bagi panas line dalam twitter bila Kelantan VS Pahang walaupun diorang tak terlibat secara langsung.. Kali nie macam mana agaknya?

Friday, October 10, 2014

Matahari

Salam 'Alaik..

Seluruh kota
merupakan tempat bermain yang asyik
oh senangnya, aku senang sekali 
Kalau begini aku pun jadi sibuk
berusaha mengejar-ngejar dia
matahari menyinari semua perasaan cinta
tapi mengapa hanya aku yang dimarahi? 
Musim panas merupakan hari bermain gembira
sang gajah terkena flu bila tiada henti-hentinya
sang beruang tidur dan tak ada yang berani ganggu dia
oh sibuknya aku sibuk sekali

Aku tak pasti kalau ramai yang pernah dengar lagu nie. Yang pastinya inilah lagu intro cerita Crayon Shin Chan dalam bahasa Indonesia. Aku kenal Shin Chan melalui komik 'Dik Cergas', tapi pertama kali aku menonton kartun Shin Chan ialah ketika aku menengah rendah (aku tak ingat tahun). Ketika itu di rumah akak aku di Shah Alam. Anak sedara aku suka sangat dengan Shin Chan nie sampai aku kena tengok kartun tue hari-hari.

Oleh sebab banyak kali tengok, aku dah terhafal lagu nie. Walau liriknya abstrak daripada satu rangkap ke rangkap yang lain, tetap senang untuk dinyanyikan.

Walaupun aku dah diracun dengan Shin Chan semasa aku melepak di rumah akak aku tue, aku tetap tak layan Shin Chan selepas itu. Bagi aku, kartun Shin Chan nie membodohkan karakter yang bijak. Belum lagi kritikan akan gaya bahasa dan pemikiran yang agak lucah. Mungkin rasa lawak, tapi banyak lagi kartun yang lebih lawak seperti Doraemon.

Dah kenapa aku cerita tentang Shin Chan nie? Hehehe.. Mungkin tetiba aku teringat akan Shin Chan semalam, dan secara automatik lagu ini keluar usai makan malam.

Tahukah anda 'brainwash'? Aku tengok Shin Chan dalam jangka masa mungkin dua minggu je, tapi kesannya dalam minda sampai umur 25 tahun.

Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenal oleh Tun Dr Mahathir fokus ke arah peindustrian dan cara kerja, namun yang banyak memberi impak ialah ke arah Shin Chan, Ultraman, Dragon Ball, Sailor Moon, Doraemon dan sebagainya. Generasi X la katakan.

Kini Dasar Pandang ke Timur masih ketara dengan generasi Y yang meminati 'Korean Wave' (K-Pop, K-Drama dan K-Show). Malas cerita panjang. Anak sedara aku yang layan Shin Chan pun sekarang dah jadi kipas-susah-mati EXO (sebuah boyband K-Pop).

Regu Sepak Takraw Malaysia sekarang nie pun kena pandang ke Timur. Sukan asalnya daripada benua Asia Tenggara, habisnya kalah dengan orang baru dalam takraw. Lawak sungguh. Badminton Jepun tak hebat mana lima tahun lepas, namun sekarang dah menang Piala Thomas, kalahkan Malaysia. Dulu-dulu bola sepak mereka jauh di bawah Malaysia, sekarang?

Kehkehkeh.


Tuesday, October 7, 2014

Jatuh

Salam Alaik...

Ini ialah sebuah Cerpen

Mamat duduk termenung di beranda rumahnya. Duduk di atas tangga kayu jati, sambil memandang ke hadapan, jauh. Umurnya sudah menjangkau suku abad, namun masih tiada sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara. Makanpun masih disuap ibunya, petrol motor usangnya diisi oleh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM)™.. Dia masih termenung mengharap bulan jatuh ke ribanya. Dia mempersoal segala macam cabaran dan dugaan yang dihadapinya sepanjang 25 tahun ini.

Perlahan dia bangun, menuruni tangga. Dikuis selipar jepun lusuh itu dan dengan beratnya dia menyarungkan ke kakinya. Berdiri menghadap tangga, dia terbayang saat kali pertama dia jatuh.

17 tahun lepas, ketika dia berumur 8 tahun. Usai pulang dari sekolah dia berlari ingin cepat naik ke rumah. Kartun yang digemarinya akan bermula tidak lama lagi. Zaman itu belum ada Nickelodeon, Disney Channel atau Cartoon Network; hiburan di televisyen hanya berpaksikan apa yang ada dalam 3 stesen penyiar utama sahaja. Masa itu, memiliki televisyen pun perlu ada lesen.

Laju larinya, saat tiba di kaki tangga dia melepaskan kasutnya yang sudahpun berlumpur akibat sudah 5 hari dipakai. Musim hujan pula, dicampur pula dengan jalan di kawasan kampung yang tidak banyak berturap ketika itu. Ketika melangkah dua anak tangga sekaligus, ibu jari kakinya tersangkut di hujung anak tangga terakhir. Lalu tersembamlah dia jatuh menghentam lantai kayu. Sakitnya bukan kepalang.

Dengar dentuman kuat, berlarilah ayah dan emaknya daripada dalam rumah. Mamat meraung menangis. Nafasnya pendek, tersekat dek kerana tangis dan darah yang memenuhi hidung. Tidak lama, hanya 5 hari masa yang diambil oleh Mamat untuk membuang fobia kepada tangga. Dia sedar, jatuhnya dia kerana dia sendiri yang mencari malang. Banyak kali sudah dipesan, dia masih lagi gagah berlari menaiki tangga. Menjadi satu pengajaran berguna buat dirinya.

Kini, dia sudah boleh melangkah tangga itu dengan senang dan tanpa terjatuh walaupun selaju mana dia berlari. Pengalaman pertama, jatuhan pertamanya itu mengajar dia untuk bangun. Mamat fikir dia tidak akan jatuh lebih teruk daripada itu.

Mamat melangkah meninggalkan tangga itu. Kali ini dia berjalan tenang, menghirup udara segar. Jalan di kampung itu sudah berturap penuh. Tidak lagi lumpur atau batu menjadi tanda jalan. Besar perubahan di kampung itu dalam 17 tahun. Melintasi tanah kubur, dia teringat tragedi dua tahun lepas. Di saat dia tidak dapat menjangka dia boleh jatuh.

Ketika itu, umurnya 23 tahun. Sudah 5 tahun dia memandu dan menunggang motorsikal berlesen. Orang kampung memang memujinya kerana dia membawa motor dengan penuh berhati-hati. Tidak pernah dia lupa memakai topi keledar, dan hatta hendak masuk ke simpang menghala ke surau pun masih dia memberikan lampu isyarat. Begitulah cermatnya si Mamat ini.

Suatu hari itu ketika hari sangat cerah, dan membahagiakan, dia menunggang motornya untuk ke bandar. Seperti biasa, dia cermat dan mematuhi segala undang-undang jalan raya. Dia yakin bahawa dengan mengikut peraturan dia tidak akan jatuh lagi. Namun, peraturan Tuhan lebih hebat. Saat dia menunggang melintasi belukar di belakang balai raya, seekor babi meluru keluar dan melanggar motornya. Sedar-sedar dia sudah terbaring dengan motor menghempapnya.

Puas ditahan tangisnya, namun kepanasan eksos motor yang meleburkan kulit betisnya tidak tertanggung. Luka di sebelah kanan badannya laksana baru lepas balik perang. Mujur ada orang kampung yang hadir mesyuarat JKKK di balai raya. Terus mereka datang membantu mengangkat motornya itu. Dia jatuh lagi. Fobianya terhadap motor tidaklah lama, hanya dua minggu.

Kini, dia sudah tidak peduli. tentang undang-undang dan peraturan. Apa guna ikut peraturan jika kecelakaan masih menimpa? Jatuhnya dia kali kedua ini menguatkan lagi dirinya. Dia mampu bangun walaupun berdarah dan cedera teruk. Da yakin tidak akan ada lagi jatuh yang lebih teruk melainkan mati.

Selepas itu, dia hidup dengan penuh berani dengan keyakinan itu. Dia memecut motornya selaju 150km/j menyelit di kiri dan kanan kereta, dia mengharungi jeram maut untuk menangkap ikan, dia redah hutan tebal untuk mencari tongkat ali. Kiranya kehidupan dia penuh bahaya selepas insiden itu. Namun, dia masih belum mencapai kepuasan. Matlamatnya untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara masih belum tercapai.

Melintasi tanah kubur itu, dia masuk ke hutan di pinggir kampungnya itu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan olehnya. Dia hanya berjalan meredah hutan itu mencari sesuatu yang tidak pasti. Matahari yang pada awal perjalanan Mamat tegak menyinari bumi, kini sudah hampir terbenam. Dia tidak pernah berjalan di hutan di waktu malam sendirian. Dia mahu melakukan satu cabaran baru.

Dia berjalan dan terus berjalan. Calar di kakinya tidak dihiraukan, nyamuk yang kenduri di kulitnya ditepis dan ditampar yang mana sempat. Dia mahu bebas bergerak, dan melawan segala peraturan. Dan sedang dia berjalan, dia tersepat akar banir sebatang pokok yang tinggi lalu dia terjatuh. Ketika dia mahu bangun, dia terasa perit dan pedih di kakinya. Pemetik api yang dibawanya terus dinyalakan menerangi bahagian kecil kakinya.

Dia berpeluh, terkejut dan mula merasa takut. Dia bimbang bahawa ini kali terakhir dia jatuh, dan tidak mungkin lagi akan bangun. Dan saat itu, semua sejarah jatuh bangunnya mula bermain dalam mindanya. Kini dia khuatir, kini dia resah. Jatuhnya kali ini nampak mudah, namun hakikatnya, namun natijahnya membawa igauan. Dia bimbang, dia bimbang dia tidak akan mampu bangun lagi.

bersambung...

p/s: Kalau ada yang baca sampai habis, memang aku respek.. hehehe.. Terima kasih! Tunggulah sambungannya yang tidak akan kunjung tiba.. ^.^