Saturday, February 22, 2014

Aku dan Bahasa Melayu.

Assalamualaikum

Sejak belajar di sekolah perubatan ini, saya sudah semakin jarang menggunakan bahasa Melayu yang sempurna daripada segi tatabahasa dan kosa kata. Kadang-kadang saya membalas pendapat di laman sosial menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul atau terus menggunakan bahasa Inggeris.

Saya lima tahun yang lepas pastinya akan menempelak perbuatan saya yang sekarang. Kecintaan terhadap bahasa Melayu yang sebenar sudah pudar ditelan silibus pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa rojak dan pasar dalam penulisan saya sekarang jelas menunjukkan betapa saya sudah berubah.

Lima tahun yang lepas pastinya saya tidak berkenan dengan seseorang Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi sesama bangsa. Namun dalam situasi yang sudah berubah sekarang, saya merasakan perkara itu tidak dapat dielakkan. Bagaimana saya membentangkan keadaan pesakit kepada doktor pakar dalam bahasa Melayu yang sempurna? Saya mungkin boleh berkata, "pesakit berumur 40 tahun dan datang ke hospital dengan simptom batuk dan demam selama seminggu. Saya menjangkakan pesakit menghidap radang paru-paru". Namun, adakah doktor pakar itu mampu memahami saya?

Kosa kata bahasa Melayu saya juga menurun dengan mendadak. Hal ini mungkin disebabkan oleh kurangnya latihan dan komunikasi yang serius dalam bahasa Melayu. Penulisan dalam bahasa rojak dan pasar juga lebih mudah kerana singkat dan mudah difahami. Natijahnya, bahasa Melayu hilang seni, dan hilang kekuatannya.

Andainya saya diperlukan untuk menulis sebuah karangan dalam bahasa Melayu yang menepati piawaian tatabahasa dan kosa kata SPM sekarang, saya yakin saya boleh menulis dengan baik, namun tak sebaik sebelum saya melanjutkan pelajaran ke India.

Minggu lepas, saya membaca kembali karangan yang saya tulis untuk peperiksaan percubaan SPM yang bertajuk: Faktor-faktor Seseorang Merokok dan Cara-cara untuk Menurunkan Jumlah Perokok. Karangan yang diberi markah sebanyak 96/100 oleh guru cemerlang bahasa Melayu (Cikgu Maisarah Musa) hanya mempunyai SATU kesalahan tatabahasa tetapi cara pengolahan ayat jelas tidak menarik bagi saya.

Pada masa yang akan datang, saya akan mencuba untuk menulis dengan bahasa Melayu yang KURANG kesalahan tatabahasa dan penggunaan kosa kata yang sesuai. Penulisan dalam bahasa pasar lebih mudah, dan senang difahami. Walaupun begitu, kesenian dan keindahan bahasa Melayu harus dikekalkan tanpa mengorbankan matlamat utama dalam menulis dan berkomunikasi iaitu 'kefahaman'.

Bak kata pujangga: 'bahasa jiwa bangsa'. Bangsa Melayu kini hilang kemelayuannya sedikit demi sedikit dek kerana kehadiran sistem mesej singkat (SMS) dan laman sosial yang digunakan oleh golongan muda. Penggunaan kata-kata yang disingkatkan, selain ejaan-ejaan yang pelik serta bahasa rojak menjadi pertuturan dan penulisan harian golongan muda.

Gaya-gaya bahasa seperti ini mencorak jati bangsa generasi sekarang. Jika perkara ini tidak dibendung, nescaya keindahan bahasa Melayu dan penggunaan bahasa Melayu dengan tatabahasa dan kosa kata yang tepat akan hilang dan hanya dikuasai sebilangan kecil orang Melayu. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan satu ungkapan yang tepat untuk menggambarkan peri pentingnya pendidikan bahasa kepada generasi sekarang.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dengan cara menggunakan bahasa Melayu yang tepat daripada segi tatabahasa dan kosa kata. Kita juga hendaklah mendidik generasi sekarang dan yang akan datang supaya menggunakan bahasa yang pernah menjadi bahasa antarabangsa ini. Jikalau kita memandang enteng akan penggunaan bahasa yang tepat, nescaya tidak lama lagi bangsa Melayu akan menjadi bangsa rojak.

Tuesday, February 4, 2014

"Significant Life Event"

Salam Alaik..

4 Februari 2011, 3 tahun lepas.. Beberapa hari sebelum UNIS tahun kedua.. Tidak mempengaruhi keputusan UNIS namun menjadikan usaha ke arah UNIS itu sia-sia..

Mengubah banyak perkara dalam hidup ini..

Heh..

Tuesday, January 14, 2014

The (Neo)Scream 2014

Salam Alaik..

Aku nak jual lukisan nie.. *Harga RM2 sebagai pendahuluan, kemudian 25 sen sebulan selama 12 bulan.. Aku bukak dalam blog sebab tak dapat sambutan dalam FB..

Kehkehkeh..

*Harga tak termasuk kos penghantaran.

Warna dalam gambar tak melambangkan warna sebenar lukisan kerana beza daripada pencahayaan dsb..

Nama: The (Neo)Scream
Tahun: 2014
Bahan: Pastel (krayon) di atas kertas
Saiz: 23cm x 19cm (approx.)
Pelukis: Aku


Thursday, January 9, 2014

UBAH

Salam 'Alaik..


"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

[Surah al-Ra'd ayat 11]

Ayat "sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" sering digunakan untuk situasi seseorang yang belum baik untuk berubah kepada lebih baik.. Namun pada hakikatnya, ayat ini lebih kepada situasi di mana seseorang yang dah sedia baik, namun menjadikan diri mereka sendiri kurang baik..

Kiranya kalau baca ayat penuh, kita tahu bahawa sesuatu kaum itu sebenarnya aman dan bahagia sahaja sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah.. Namun, oleh kerana kesalahan mereka, Allah dengan kuasa-Nya menimpakan bala (keburukan/azab) kepada kaum tersebut.. Konteks ayat ini sebenarnya bukan kalau kita nak jadi lebih baik, kita kena ubah diri kita, tapi sebenarnya kalau kita taknak nasib kita lebih buruk, jangan kita melakukan kesalahan yang ke arah itu..

Faham tak apa yang aku cuba sampaikan?

Aku tak kata bahawa orang yang guna ayat ini untuk menyeru kepada kebaikan itu salah.. Tidak! Aku cuma kongsikan konteks yang lebih tepat.. Aku tak kata konteks yang biasanya difahami itu tidak betul, cuma kurang tepat berbanding yang sebenarnya..

Isi lain ayat nie termasuklah, kalau Allah nak bagi bala, takde sapa boleh tahan..  Kehendak-Nya itu takde sapa boleh elak.. Dialah Tuhan sekalian makhluk, maha berkuasa atas sesuatu..

Perbahasan bab Qada' dan Qadar ini bab lain dan aku tak hebat dan tak berani nak kongsi tentang aqidah.. ^^

Macam biasa, ada perkongsian lain, atau persoalan boleh komen.. Akan ku rujuk kepada pihak lebih autoriti insya Allah..

P/s: Ini berdasarkan rujukan daripada pelbagai sumber dan bukan idea aku secara total..

Tuesday, January 7, 2014

"Dia itu Seorang Munafiq dan Ahli Neraka"

Salam 'Alaik..

Hanya Tuhan dan para rasul-Nya yang mengetahui status seseorang secara spesifik di hari pembalasan.. Itu fakta.. Siapa kita untuk menyatakan bahawa Khomeini itu ahli Neraka? Adakah sesiapa zaman sekarang yang berani menjamin perkara itu? Siapa sekarang ini yang berani menjamin diri sendiri itu ahli Syurga? Sejak bila kita mampu untuk mengetahui nasib seseorang di hari akhir?

Allah itu Tuhan yang Maha Mengetahui.. Tuhan sekalian makhluk yang berkuasa atas setiap sesuatu.. Secara asasnya, segala apa yang berlaku atas kehendak-Nya..

Begitu juga dalam hal melabelkan seseorang itu munafiq.. Munafiq dari segi syarak ialah orang yang 'menampakkan Islam dan kebaikan tetapi menyembunyikan kekufuran dan kejahatan'.. Nifaq ada dua macam iaitu nifaq dari segi i'tikad (akidah) dan nifak dari segi perbuatan.. Nifaq i'tikad ialah orang yang langsung tiada iman dalam hati (kufur) namun perbuatannya menampakkan sebaliknya.. Nifaq perbuatan pula ialah orang yang beriman namun perbuatannya menyerupai orang-orang munafiq..

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
Ada empat hal yang jika berada pada diri seseorang, maka ia menjadi seorang munafiq sesungguhnya, dan jika seseorang memiliki kebiasaan salah satu daripadanya, maka berarti ia memliki satu kebiasaan (ciri) nifaq sampai ia meninggalkannya, bila diberi amanah dia khianat, bila berbicara dia berdusta, bila berjanji ia memungkiri dan bila bertengkar ia melampaui batas.
(HR Bukhari, Muslim dan selainnya)

Hadis di atas nie dah self-explained tentang ciri-ciri munafiq.. Kita tahu apa ciri-ciri munafiq dan mungkin ciri-ciri itu ada pada kita atau orang yang lain.. Namun untuk mengatakan seseorang secara spesifik itu munafiq (contoh: Mustafa ialah seorang yang munafiq) itu tidak boleh.. Bagaimana kita mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hatinya dan terus menghukumnya neraka? Hanya Tuhan dan rasul-Nya yang tahu.. Zaman Nabi S.A.W, hanya Nabi je yang tahu siapa yang munafiq atau tidak.. Para sahabat yang lain tak berani nak melabelkan orang lain munafiq..

Kita tahu bahawa Khomeini itu seorang Syiah, dan syiah menurut ahlii sunnah wal jamaah merupakan mazhab akidah yang sesat.. Namun, apakah kita tahu bahawa Khomeini akan ke neraka? Begitu jugak Abdullah dan Aminah (bapak dan mak Nabi S.A.W) kerana tiada riwayat jelas menyatakan tentang mereka..

Kita mungkin boleh kata apa yang Tuhan atau Nabi kata.. Contoh dalam Quran Allah kata yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu (ditempatkan) pada tngkatan yang paling bawah dari Neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (QS. An-Nisaa’: 145)..

Maka kita boleh kata orang munafiq itu tempatnya di neraka paling bawah.. Namun secara spesifik, tak boleh..

Dalam hal Abu Talib (bapak sedara Nabi yang banyak back-up Nabi), dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: Dari Al Abbas bin Abdul Muthalib, berkata, “Wahai Rasullulah, apakah engkau bisa memberi manfaat kepada Abu Thalib, sebab dia dulu memeliharamu dan membelamu?” Jawab nabi, “Benar, dia berada di neraka yang paling dangkal, kalau bukan karenaku niscaya dia berada di neraka yang paling bawah“ . Hal ini, kita boleh kata sebab Nabi dah kata macam tue..

Tidak ada yang dijamin syurga dan neraka dalam dunia ini melainkan apa yang telah diceritakan oleh Allah dalam Quran (e.g Abu Lahab dan isterinya dalam neraka) atau Hadis (e.g 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga); serta para nabi dan Rasul-Nya (ahli Syurga)..

Setelah aku tulis panjang lebar nie, harap faham la apa yang aku cuba sampaikan.. Aku bukan nak kata bahawa Syiah itu mazhab yang bertepatan dengan syarak, dan semestinya aku bukan Syiah.. Ingin aku bagitau lagi sekali kesimpulannya ialah kita tidak boleh menjamin seseorang itu secara spesifik ahli syurga atau ahli neraka serta kita tak boleh melabel seseorang itu secara spesifik: munafiq..

Wallahu a'lam..

p/s: Ada perkongsian lain, pendapat lain atau soalan boleh tembak di ruang komen.. Aku akan panjangkan kepada autoriti insya Allah..

Ini berdasarkan rujukan daripada pelbagai sumber dan bukan idea aku secara total..

Sunday, January 5, 2014

Senarai Semak 20 Perkara Yang Harus Dilakukan Dalam Umur 20-an.

Salam alaik..

Menjelang 5 Januari 2014, umur aku sudah mencapai 24 tahun, 4 bulan dan 5 hari.. Maksudnya dah 4 tahun 4 bulan dan 5 hari aku berada dalam umur 20-an..

Makanya beberapa hari lepas aku terbaca sesuatu yang kawan aku pos dalam FB, tentang "The 20 Things You Need To Accomplish In Your 20s".. Jadi, dalam 20 perkara itu, apa yang dah aku lakukan?


  1. Apa yang dah jadi, biarkan terjadi. Lihatlah ke depan. Senang cerita, sebelum aku masuk 20-an, tidak ada perkara yang 'gagal' dalam hidup aku. Bila masuk umur 20-an, ketika di INTEC dan MMMC, kegagalan itu aku rasai.. Banyak aspek kegagalan yang dah aku tempuhi.. Penyesalan tidak lagi berguna melainkan hanya sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi perkara yang sama.. Biar jatuh 7 kali, asalkan kita bangun 8 kali.. (^^)
  2. Terima bahawa kita sudah dewasa. Aku sebelum 24 tahun sering memikirkan bahawa umur aku 18 tahun.. Baru-baru nie sahaja aku menyedari sebenarnya aku dah 24 tahun.. Sekarang, bila orang tanya umur, aku akan terfikir 25 tahun walaupun mulut menyebut 24 tahun.. Sekarang masa untuk bertanggungjawab atas tindakan sendiri.. Sekarang bukan masa untuk terlalu main-main walaupun boleh untuk main-main.. Hehe..
  3. Belajar untuk kekalkan dan menyusun persekitaran. Persekitaran yang kucar-kacir dan serabut akan menjadikan hati dan jiwa tertekan. Namun persekitaran dalam dunia pelajar medic dan insya ALlah sebagai pegawai medic memang tidak akan lari daripada keserabutan dan kucar-kacir.. Di mana masa dibayar dengan nyawa.. Namun, janganlah serabut sangat sampai muka pun macam takde nyawa.. Itulah pentingnya gila-gila..
  4. Belajar untuk kekalkan susuk tubuh. Badan aku masih normal, dan berat badan serta BMI meningkat daripada tak cukup berat kepada sederhana (normal).. Dan akan aku cuba kekalkan pada tahap ini.. Baru dua tahun aku merasa BMI normal.. Sungguhpun memberi kesan kepada pecutan, namun apa ada hal? Pakaian dan kekemasan juga dah dititikberatkan memandangkan profesyen sebagai pegawai perubatan (insya Allah) memang mementingkan perkara itu..
  5. Pakai pakaian yang kemas. Dah aku komen kat atas.. Sekarang aku pi kenduri kawen pun pakai baju Melayu atau T-Shirt berkolar atau kemeja.. Takde dah pergi pakai kolar bulat atau jersi bola sepak.. Hehe..
  6. Mula menyimpan harta. Ini masih belum dapat direalisasikan memandangkan aku belum bekerja.. TBA..
  7. Belajar untuk sesuaikan diri. Dunia dan manusia berubah. Jadi, kenalah kita berubah mengikut dunia. Kalau kita kekal dengan cara kita, walau ada cara yang lebih baik: jumud.. (^^).. Dalam hal agama tetap kena kembali kepada Quran dan sunnah..
  8. Tetapkan ciri-ciri pasangan sesuai.  Ini aku malas nak komen.. Masih belum terfikir.. Tunggu habis belajar baru fikir.. RAM dalam kepala aku tak cukup besar untuk fikir semua hal.. Haha
  9. Memantapkan silaturrahim dengan keluarga. Yup.. Sejak balik daripada India aku cuba untuk memantapkan hubungan ini.. Antara penyesalan aku ketika di India ialah tak dapat balik rumah selalu.. Jadi jangan komplen kalau aku selalu balik Jerantut walaupun jarak Melaka-Jerantut 4 jam perjalanan..
  10. Kawan ketat. Aku dah melengkapkan diri aku dengan kawan-kawan ketat.. Kawan-kawan yang daripada sebelum sekolah sampai sekarang.. Kami Buddyz selamanya insya Allah..
  11. Cari perkerjaan yang kita suka. Takleh nak komen tentang nie.. Opsyen aku tinggal tiga: doktor, lecturer dan administration.
  12. Dapatkan bentuk badan yang diimpikan. Lihat no 4.
  13. Belajar untuk up-to-date dengan perkara semasa. Dunia dalam talian, FB, twitter dsb memang memudahkan aku untuk sentiasa peka dan tahu isu semasa.. Daripada hal sukan, politik sampailah kepada isu-isu agama dan etika.. Jadi, dah berjaya dibuat!
  14. Selalu membaca. Aku kalau terpaksa menunggu, atau memang tak tau nak buat apa, aku akan membaca.. Tapi sekarang nie aku masih membaca 'Doktor Umum' yang dah lama aku mula tapi tak habis-habis.. Membaca dalam talian selalu la.. Selalu je aku bukak Wikipedia kalau aku nak tahu tentang sesuatu..
  15. Fikirkan tujuan hidup. Dah fikir lama dah secara umum.. Menggunakan dunia untuk kebaikan akhirat.. Cuma tindakan je belum sampai tahap itu.. Perancangan dah ada..
  16. Bebas hutang. Tak kerja lagi, takde kereta sendiri lagi, takde rumah sendiri lagi. Dijangka akan mula berhutang secara serius setelah bekerja.. Tak boleh elak.. Kadar perbelanjaan akan meningkat meninggalkan kadar pendapatan..
  17. Simpan duit. Takleh lagi. Benda nie aku nak buat lama dah. Tapi sebab aku boros dan bangang, jadi susah nak simpan duit.. Mungkin setelah aku bekerja nanti aku akan simpan..
  18. Date the wrong person(s). Tak reti aku nak terjemah.. Tak boleh komen tentang nie.. Sebab apa kena date the wrong person? Supaya kelak nanti kita tahu pilihan kita tepat.. Ha ha ha.. Macam mana nak date the wrong person? Entah.. Kalau dah tau 'wrong' takkan nak date pulak ye?
  19. Punyai tempat sendiri. Macam biasa.. Tunggu aku dah kerja.. Penting sebab nanti nak hidup dengan aman.. Takde la serabut nak cari rumah sewa.. Dah la harga rumah dan tanah makin meningkat.
  20. Tanggung diri sendiri. Tahun depan insya Allah.. (^.^)..
Jadi, kepada sesiapa yang sedang atau sudah berada dalam umur 20-an: apakah pencapaian anda sekarang nie? 20/20? 10/20?

Benda nie bukan Muslim yang buat.. Jadi jangan komplen kenapa takde hal agama.. Hahaha..