Friday, February 15, 2013

Antara Politik yang dirasa dan Bola Sepak

Salam Alaik..

P/s: Ini ialah sebuah cerpen

Pak Man Telo yang baru menjenamakan semula Warung Pak Berahim dengan Restoran Telo telah melakukan banyak penambahbaikan yang tidak tercapai dek akal penduduk kampung Dusun Seberang.. Kini Restoran Telo telah mempunyai 9 buah meja dengan kapasiti biasa 36 pengunjung dan boleh ditambah sehingga 50 pengunjung pada satu-satu masa..

TV buruk milik Pak Berahim telah dijual kepada Apek Besi Buruk, dan digantikan dengan TV LCD 50 inci serta paparan projektor ke skrin yang seluas 4 meter persegi.. Kini Restoran Telo, satu-satunya restoran di Kampung Dusun Seberang sudah mempunyai kemudahan saluran TV satelit Skybox.. Di sebalik penambahbaikan itu, harga teh tarik kurang manis dan minuman-minuman ruji yang lain masih sama..

13 Februari 2013, tarikh yang dipilih Pak Man Telo untuk membuka restorannya.. Majlis doa selamat selepas Isyak itu diketuai oleh imam baru Kampung Dusun Seberang,  Imam Seman Pakau.. Dan segala makanan dan minuman percuma daripada Isyak sehinggalah subuh 14 Februari 2013.. Awal pagi itu, ada tayangan khas perlawanan kelab gergasi bola sepak eropah, Real Madrid menentang Manchester United..

Sebenarnya warga Kampung Dusun nie tak cakna sangat tentang bola sepak eropah.. Mereka hanya taat dan setia kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang.. Hatta pasukan Malaysia pun diorang nie tak endah sangat.. Sebut Amar Rohidan atau Safiq Rahim, mampus diorang nak kenal.. Yang diorang kenal semua pemain Pahang dan yang pernah main dengan Pahang atau Shahzan Muda seperti Farizal Marlias..

Dulu, ada la dua orang yang layan bola sepak Inggeris, iaitu Jantan dengan Lambung; dua-dua sokong Liverpool.. Dua-dua dah meninggal dunia 20 tahun lepas, dah tinggal sejarah sama seperti Liverpool..

Awal pagi itu, hampir seluruh penduduk kampung Dusun Seberang turun ke Restoran Telo untuk menonton Real Madrid lawan Manchester United.. Diorang datang pun sekadar sebab nak tengok rebranding restoran itu, kerana makan minum percuma dan yang paling penting ingin melayan seni bola sepak sebenar.. Ada seorang je yang tak berminat nak melayan seni bola sepak - Aki Ali

Aki Ali tarik kerusi plastik yang masih bau kilang tue dan duduk bersama Pak Tam Leman.. Setelah memesan dua gelas teh tarik kurang manis, Aki Ali memulakan bicara panjang tentang topik kegemarannya..

"Pilihanraya Umum ke-13 dah dekat dah nie.. Aku nie taat dan setia memang tak berbelah bahagi kepada Barisan Rakyat.. Dah 55 tahun Barisan Rakyat memerintah, takdenye dikacau aku.. Sejak kebelakangan nie banyak dah diorang bagi kat aku nie.. Awal dulu dapat RM500 baucer, pastu dapat RM5000 sebab sawit aku, pastu dapat RM500 lagi.. Anak aku di Petraberjaya tue dapat RM250, anak sedara aku belajar kat UiTM dapat RM250 baucer buku.. Apa lagi yang kita nak? Banyak dah kerajaan Barisan Rakyat Bagi"

Pak Tam Leman mengangguk, namun matanya tetap ke arah skrin.. Perlawanan dah masuk minit ke-15.. Aki Ali, yang hanya memandang tanah menyambung bicara,

"Aku nie besok nak pergi rumah Tok Nan, daftar skim lesen motor.. Bayar sikit je.. Dah lama dah aku berangan nak lesen sendiri, tapi tak menjadi sebab mahal sangat nak dapat lesennye.. Nie kerajaan dah nak bagi murah, aku tak boleh lepas peluang.."

GOLLLLLLLL!! Jerit komentator dalam TV.. Pengunjung Restoran Telo masih tenang..

Pak Tam Leman yang dari tadi duk dengar Aki Ali bercakap, kini mengeluarkan suara, "Aki, ini semua rasuah halal yang Barisan Rakyat bagi untuk tarik undi.. Diorang dah terdesak sangat dah nie Aki.. Saham sawit tue yang kerajaan dagangkan di bursa saham sedang tak stabil.. Nilai ringgit pun dah tak stabil jugak.. Negara sedang dalam inflasi, hutang bersepah.. Rasuah kiri kanan ada.. Harga barang naik.. Macam-macam lagi Aki.. Kalau Pakatan Nasional pegang negara, ekonomi akan naik.. Takde tindakan yang boleh menjahanamkan kewangan negara boleh berlaku.."

Aki Ali terus mencelah: "Cuba Aki tanya kamu satu soalan.. Kalau ekonomi Malaysia naik, kalau negara tidak inflasi, kalau negara tidak berhutang, adakah kamu kaya? Kalau dah kerja ladang toreh getah, macam tue jugak la.. Kalau harga getah sawit naik, untung la.. Harga barang memang akan sentiasa naik.. Kamu ingat kalau Pakatan Nasional pegang negara harga barang akan turun? Tidak! Kamu kata nilai ringgit jatuh, kamu rasa ke? Tidak!"

Pak Tam Leman tekun mendengar, namun matanya seperti biasa menghadap ke TV.. Aki Ali menghirup teh tariknya kemudian menyambung, "kerajaan Barisan Rakyat bagi dah dekat RM6000 kat aku nie.. Kamu pun dapat dekat RM10000 daripada kerajaan.. Sekurang-kurang kita merasa duit, merasa nak membeli barang.. Tanah sawit kita tue pun katanya nanti dah nak jadi milik kekal.. Kalau Pakatan Nasional memerintah, ada kamu rasa duit?  Pung-pang kabor ekonomi naik, hutang takde pelbagai.. Tapi ada kamu rasa?"

"Hak milik kekal tanah tue dah dekat 15 tahun dah janjinya," balas Pak Tam Leman

"Itulah kamu.. Benda buruk kerajaan Barisan Rakyat je kamu ingat.. Cuba kamu sebut ke aku nie benda yang secara zahirnya kamu dapat, yang kamu rasa, yang kamu nikmat kalau Pakatan Nasional menang? Kalau Barisan Rakyat menang, katanya ada lagi dapat RM1000 baucer.. Belum campur benda lain lagi.." semangat Aki Ali bercerita..

GOLLLLLLLLL - kali ini Ronaldo pulak menjaringkan gol.. Kedudukan terikat 1-1 pada minit ke 20..  Restoran Telo tetap kaku macam biasa..

"Aku nie bukan sokong sangat Barisan Rakyat tue.. Cuma kalau aku undi Barisan Rakyat tue, aku merasa banyak benda.. Takde la sekadar teori.. Aku taktau la kamu faham ke tidak benda aku cakap nie Leman.. Aku tak paksa kamu undi apa pun.." ujar Aki Ali perlahan..

Pak Tam Leman mengangguk lagi..

"Kalau pemimpin atas rasuah, kalau Dato' Dompok rasuah, kamu rasa apa? Ada dia ambik duit kamu? Kalau Mezah Pakatan Nasional tue tak rasuah, kamu rasa apa? Ada kamu dapat duit? Sama je.. Kamu kayuh basikal tue je la, kerja kat sawit kamu tue la.. Duit apa pun tak dapat, baucer ke, lesen ke, bonus ke tak dapat apa," hasut Aki Ali sambil menimbulkan soalan..

Pak Tam Leman perlahan mengalihkan pandangannya ke arah Aki Ali seraya berkata, "Aki, Aki dapat duit tue Aki dah seronok dah.. Cuba bayangkan jalan kampung Dusun nie berturap baru, bekalan elektrik tak pernah putus, air paip bersih tak keruh.. Aki tengok duit sahaja.. Tak adil.. Bangunan sekolah Kampung Dusun tue tunggu masa je nak runtuh syilingnya, natijah rasuah la tue, Aki.."

"AH, DEME NIE BUKAN NAK DENGO CAKAK ORANG TUE! DEME TAK HIDUP ZAMAN JEPUN DULU BULEH LA CAKAP!!" bentak Aki Ali sambil bergerak keluar restoran.. Semua mata tertumpu ke arah Pak Tam Leman..

Keesokan harinya Pak Tam Leman dipulaukan satu kampung kerana membawa anasir subversif dan tidak bersyukur dengan kurniaan kerajaan.. Perniagaan Pak Man Telo semakin maju, penduduk Kampun Dusun Seberang mula cakna dengan bola sepak Malaysia dan Inggeris.. Pukul 8 malam semua tercongak menonton Buletin Utama sebelum pergi Isyak berjemaah di masjid Kampung Dusun..

Cerita ini takde kena mengena dengan yang hidup atau yang meninggal dunia.. Nama watak adalah rekaan semata-mata dan kalaulah sama, tidaklah disengajakan..

1 comment:

Anonymous said...

Anwar's website was hacked just now! the website may be hacked but that won't silence us!!