Saturday, May 14, 2011

Tanpa Tajuk

Salam Alaik...

Semua pernah rasa kesedihan, kan?
Dan kesedihan itu bertambah perit bila tidak ada siapa untuk mendengar luahan hati...
Kerna sedih itu terpaksa diperap dalam-dalam sendiri...
Hendak diluah dalam BukuWajah, serata alam akan tahu...
Hendak dikicau dalam Kicauan (Twitter), malulah jiwa...
Akhirnya jiwa sendiri merana...
Hendak berutusan Yahoo (Yahoo Messenger) terasa segan...
Eish...

Tapi dalam sedih kerana tidak tahu meluahkan kesedihan, aku lupa

لَا تَحْزَن، إِنَّ اللهَ مَعَنَا

"Jangan bersedih, kerana Allah bersama kita"

Thursday, May 12, 2011

Cerpen: Kami Semangat!! II

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen

Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Dusun yang dipengerusikan oleh Tok Nan si ketua kampung dimulakan dengan keindahan syair si pari-pari alunan Pak Tam Burung... Dewan serbaguna JKKK yang dibangunkan oleh kerajaan negeri pada 30 tahun lepas masih lagi tegak berdiri, walaupun tiangnya hampir sepertiga dimakan anai-anai...

Dato' Dompok, ADUN Dusun Seberang yang menjadi tetamu kehormat, basah lenjun akibat kepanasan hawa yang membakar lemaknya yang banyak... Maklumlah, kerja di pejabat berpendingin hawa, dan bergerak menaiki kereta Toyota Camry yang mewah; tidak biasa dengan cuaca terik dan membahang...

Habis syair dialunkan, maka seluruh hadirin mesyuarat bangun menghormati lagu Negaraku, dan lagu rasmi kampung, 'Sang Puaka Dusun'... Seraya habis berdiri dengan semangat, Tok Nan memulakan majlis dengan ucapan muqaddimah ala kedai kopi, sehinggakan kebanyakan hadirin mesyuarat menguap penat, barulah Tok Nan masuk ke agenda utama.

"Mesyuarat hari nie sebenarnye bukan nak bincang apa-apa... Cuma Dato' Dompok mahu memberitahu sesuatu," kata Tok Nan perlahan...

Setelah sepatah ayat itu diacukan, maka Tok Nan terus menyerahkan majlis kepada Dato' Dompok...

"Hari ini saya nak mengumumkan satu projek besar oleh kerajaan Barisan Rakyat... Dan seperti biasa, jika setuju, angkat tangan dan laungkan perkataan 'kami patriotik'... Kalau tak setuju, angkat jari tengah dan jerit 'kami benci negara'... Faham?"

"Faham," sahut penduduk kampung yang hadir...

"Projek besar ini akan memberi manfaat kepada semua penduduk, di mana komunikasi antara rakyat dan pemimpin dapat diperhebat... Tidak seperti sebelum ini, yang mana pemimpin seperti saya hanya turun bertemu rakyat khususnya kamu semua setiap 5 tahun... Kalau takde pilihanraya, maka komunikasi antara kamu semua dan saya terputus... Betul tak?"

"Benar!!!!", jerit penduduk kampung yang bersemangat waja...

"Jadi, atas inisiatif kerajaan Barisan Rakyat, kami semua bersetuju untuk mewujudkan emel 1Dusun sebagai satu platform untuk mendekatkan rakyat dan pemimpin... Dengan emel 1Dusun ini, kami sebagai pemimpin boleh menyampaikan berita kepada anda semua dengan pantas, malah lebih pantas dari radio dan TV... Jadi, adakah anda setuju dengan projek ini?"

"Kami patriotik!!!"

"Bagus... Itu tanda setuju, kan? Jadi, sehubungan itu, untuk menjayakan projek emel 1Dusun ini, kerajaan memerlukan bajet sebanyak RM5000... Jangan risau, kami tak makan duit kerajaan... Kami takkan guna duit anda semua secara langsung untuk menjayakan hal ini..."

"Inilah kerajaan yang mesra rakyat! Bagus!" kata Tok Nan mengampu sambil menunjukkan ibu jari ke arah hadirin...

Dato' Dompok menyambung, "Dalam perkara lain, kami pihak kerajaan Barisan Rakyat merasa bimbang dengan keadaan kesihatan rakyat di kampung Dusun ini... Menurut statistik pada tahun 1970, iaitu 41 tahun yang lepas, hampir 45% rakyat kampung Dusun menghidap kencing manis... Jadi, atas cadangan EXCO kesihatan negeri di bawah saya, pihak kerajaan Barisan Rakyat mengambil jalan menyelaraskan harga gula..."

Sambung Dato' Dompok lagi, "Oleh yang demikian, subsidi gula di kampung dusun dikurangkan sebanyak 20 sen... Nampak tak? Kami kurangkan nilai subsidi gula, ok! Kami bukan naikkan harga gula... Betapa kami sayang akan penduduk kampung Dusun... Di samping menyebabkan pengurangan pengambilan gula dalam kalangan penduduk, lantas mengurangkan insiden kencing manis, pengurangan subsidi dapat menjimatkan duit kerajaan sebanyak RM5000... Dengan RM5000 itulah kami pusing untuk buat emel 1Dusun..."

"Jadi memang emel 1Dusun tak guna duit kami, kan?" sampuk Tok Nan kabur...

"Ya! Tepat sekali Tok Nan.. Tak sia-sia jadi ketua kampung... Jadi adakah hadirin semua bersetuju dengan dua cadangan kerajaan ini?" kata Dato' Dompok...

"Kami patriotik!!" sahut penduduk kampung kecuali seorang iaitu Udin... Udin yang gila itu, sebagai tanda tidak setuju, mengangkat jari tengah dan menjerit, "saya benci negara!!!"...

Dato' Dompok atas dasar demokrasi mengarahkan penduduk kampung menumbuk Udin kerana menghina negara dan mencarut dalam mesyuarat yang mulia ini... Padan muka Udin...

"Jadi, disebabkan kami mendapat persetujuan penuh penduduk, maka projek emel 1Dusun akan dikuatkuasa bermula esok... Penduduk kampung boleh mendaftarkan nama dan pilih alamat emel pada Tok Nan esok... Selain itu, pengurangan subsidi juga akan bermula esok..."

Selepas itu, majlis diserahkan kepada Tok Nan... Tok Nan kemudian berkata, "saya harap semua faham apa isi mesyuarat kali ini... Tapi, besarlah hati saya nak mengulangi isi penting iaitu: 1. Projek emel 1Dusun; dan kedua ialah pengurangan subsidi gula... Esok, bolehlah membanjiri rumah saya untuk memilih alamat emel... Saya tangguh mesyuarat ini dengan ucapan terima kasih kepada Dato' Dompok..."

Dato' Dompok kemudiannya beredar dari majlis... Dalam perjalanan menaiki Toyota Camry itu, Dato' Dompok menghubungi Memanda Menteri Perdana Dato' Naqib dan memberitahu Dato' Naqib akan kejayaannya mempengaruhi penduduk kampung...

Keesokan harinya, sema penduduk kampung Dusun membanjiri rumah Tok Nan... Dalam fikiran mereka dipenuhi idea-idea untuk alamat emel mereka... Ada yang memikirkan, Justin_bibir; Awie_89; malah Tok Nan berkira untuk menggunakan Tok_Nan_KgDusun sebagai alamat emelnya...

Maka bermulalah upacara mendaftar alamat emel... Tok Nan kemudiaannya bertanya kepada Awie, seorang pelajar lulusan PMR di SMK Dusun Seberang tentang bagaimana nak daftar emel... Dan dengan sempoi Awie berkata, "nak buat emel kena ada komputer peribadi dan talian internet"...

Dan penduduk kampung tercengang... Baru mereka sedar, kampung mereka tidak ada talian internet...

TAMAT


Deklarasi: Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Segala watak dan tempat dalam cerita ini hanyalah rekaan penulis. Jika ada persamaan, itu tidaklah disengajakan.

hehe...... Baca juga Kami Semangat!!

Wednesday, May 11, 2011

Cerpen: Diari Seorang Lelaki IV

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Kelas pada pagi itu sangat memenatkan... Mendengar leteran sang penceramah memekakkan telinga... Walaupun leterannya tidak ditujukan terus kepada aku, tapi suaranya yang nyaring cukup membuatkan gegendang telingaku bergetar laju... Mendengar leteran selama setengah jam berkaitan disiplin dan keputusan peperiksaan cukup meletihkan badan dan otak... Natijahnya, balik rumah dalam keadaan longlai dan letih...

Menunggang motor berkuasa tinggi dengan kelajuan yang sederhana memerlukan fokus... Hendak pula keadaan trafik di India sangat ekstrim... Pemandu bas yang laju, auto yang sesuka hati memotong dan menyempit, dan pelintas jalan seperti kanak-kanak 5 tahun, langsung tak ada logik melintas jalan... Sungguh, perjalanan yang selama 5 minit ke rumah itu dipenuhi dengan carutan panas dan padat... Pakej lengkap untuk yang letih...

Sampai di rumah, setelah penat mencarut, pujian dan syukur kepada Tuhan semesta alam diucapkan, kerana Dia tidak membiarkan aku maut dalam keadaan mencarut dan panas hati... Ironi untuk seorang manusia yang penuh dengan sifat kemanusiaan... Sifat yang ada baik dan ada buruk, penuh dengan hitam dan putih, yang lembut dan kasar... Segalanya memang pakej manusia... Cukup untuk menjadi manusia yang normal, bukan nabi yang maksum...

Digagahkan tulang empat keratnya melangkah tangga, sambil menarik nafas dalam dan cuba menipu diri sendiri bahawa aku tidak penat... Sampai di bilik, dibukanya laptop, dan berlayarlah dia dalam dunia maya tanpa sempadan... Cukup internet baginya, dan segala penat minda hilang dilambung ombak maya... Berita penyelarasan harga gula menjadi topik utama dalam Malaysia Kini... Mengeluh panjang memikirkan keluarga di Malaysia yang kepenatan... Tidaklah selepas ini pulang dari kerja dijamu air yang manis, tapi air kosong penawar penat...

Persetankan berita Malaysia... Hidupku di India masih banyak perlu difikirkan... Perjalanan yang terkandas, perjuangan yang masih belum tamat, dan perasaan yang masih tidak stabil... Sungguh, perasaan yang tidak stabil itu lebih menghantui jiwa dari segalanya... Sedang terbaring penat, dan dialunkan lagu mendayu, fikiran melayang jauh mengenang peristiwa lama... Memori-memori yang silih berganti, ditambah lagu yang berbaur melankolik menjadi santapan sayu jiwa dan fikiran... Akhirnya, jiwa sendiri merana terfikir peristiwa lama...

Menjemput memori sedih, seperti mencari pedang dan menusuk diri sendiri, tepat di bahagian jantung yang berdegup... Melayan memori itu, menjadi jantung semakin layu, dan perlahan... Dan kekaburan mata dek dikaburi titis-titis halus menjadi penutup... Teridurlah dengan sendiri di bawah payungan ilusi pohon kemboja... Dan perjalanan dalam tidur menyambung keindahan asmara, yang pernah dirasai dahulu...

Bila tiba waktu petang, setelah peluh membanjiri katil kerana kepanasan hawa, bangunlah sang pemimpi itu dari keindahan ilusi dan bergerak dalam realiti... Diambil tuala kecil dan bergerak longlai menuju ke bilik air... Wudhu' diangkat dan solat dikerjakan... Kemudian dipersiapkan diri menuju ke padang bola... Paksa diri bermain setiap petang untuk melupakan kepedihan... Di atas padang, segala jerit, maki hamun, larian yang bertenaga mampu menyembunyikan perasaan sebenar... Setiap bentesan, rembatan padu, dan gol membantu mengalihkan perasaan... Dan keadaan itu hanya untuk sejam...

Dan perasaan lama kembali setelah habis bermain bola sepak...

Salahkah caraku menghilangkan sedih? Salahkah metodeku menjahit kekoyakan hati? Diacukan soalan kepada seorang rakan... Jawabnya mudah, salah! Tidakkah kau mengambil pengajaran dari ayat-ayat Tuhan? Tidakkah kau melupakan segala apa yang telah kau perjuangkan selama ini? Kembalilah sang pemimpi! Buang segala imaginasi dan hiduplah dengan aman... Ambillah pengajaran, dan janganlah kau berduka... Ingatlah kata-kata Allah dalam Quran

"Mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan sabar dan solat (doa), sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar"

Dan ingatlah pesan Nabi kepada Abu Bakar

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"

Bangunlah dari mimpimu, hadapilah kedukaan, dan bersabarlah...

Dan senyaplah aku memikirkan kata-kata indah itu... Sesungguhnya tidaklah Allah jadikan setiap perkara itu sia-sia... Dan Dia tahu apa yang tidak kita tahu...

Nada dering 'Yang Terindah' keluar dari telefon genggamku... Aku alihkan pandanganku, dan melihat langit... Mengabaikan telefon yang bising berbunyi, sambil berbisik sendiri, "kenapa perlu sedih, jika banyak lagi benda gembira berlaku pada diriku? Adakah tidak aku bersyukur?"

Saturday, May 7, 2011

Ringkas!

Salam Alaik...

Aku mahu mengucap rasa rindu.
Ingin ku luah, tidak bertempat.
Rasa dengki melihat dunia.
Tersenyum melihatmu senyum.

Sekian, terima kasih.

Monday, May 2, 2011

Gambar Satelit Rumah Osama Ben Laden di Pakistan


Salam Alaik...

Pagi sebelum aku pergi kelas, aku membuka twitter aku dan terlihat tweet Dato' Saifuddin Abdullah bahawa Presiden Obama akan melakukan sidang media berkaitan keselamatan kebangsaan (national security)... Lepas tue beliau menyambung bahawa kenyataan itu berkemungkinan berkaitan dengan kematian ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden...

Osama bin Laden disyakki bersembunyi di Pakistan sejak ogos tahun lepas, dan kedudukannya disahkan pada tahun ini sebelum operasi diluluskan oleh Obama pada Jumaat dan operasi tentera yang melibatkan 20-25 anggota SEAL AS dilancarkan pada Ahad sebelum Obama disahkan maut dalam tembak menembak...

Lokasi rumah Osama berhampiran dengan Akademi Tentera Pakistan, di sebuah banglo bernilai sejuta dollar Amerika... Adakah benar itu Osama? Setakat ini, apa yang aku boleh cakap bahawa OSama telah terbunuh kerana USA telah menjalankan ujian DNA ke atas mayatnya...

Apa-apa pun, wallahu a'lam...

Osama juga manusia biasa yang boleh terbunuh... Dia bukanlah Ulama besar kerana ulama' besar akan tahu bahawa Nabi S.A.W melarang umatnya membunuh orang awam, dan dalam perang Nabi S.A.W melarang membunuh tawanan yang tanpa senjata... Al-Qaeda di bawah pimpinan Osama jelas dan nyata membunuh orang awam, tak kira di USA, atau Libya malah di Pakistan dan Afghanistan sendiri...

Wallahu a'lam...

Patah tumbuh hilang berganti... Hilang Osama, siapa pulak yang bakal menjadi sasaran USA untuk menghalalkan perangnya? Semoga Allah merahmati Osama sebagai seorang Muslim, dan wajar bagi kita menghormati Osama sebagai seorang Muslim, walaupun dia 'pengganas'... Al-fatihah untuknya, dan semoga ahli al-Qaeda yang lain bertaubat dan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah...

Wallahu a'lam...

Berita penuh (berubah dari masa ke masa):

Kematian Osama dilaporkan pada jam 11.20pm waktu tempatan pada 1 Mei 2011. Tentera AS membunuh Osama dalam kejadian tembak menembak yang berlarutan sehingga 40 minit di Abbottabad, 150km daripada Islamabad, Pakistan. Mayatnya diambil oleh pasukan US dan di bawa ke Amerika untuk pengesahan lanjut. Semakan DNA telah disahkan berdasarkan DNA kakak Osama (menurut CNN) dan Reuters pula melaporkan bahawa semakan DNA akan keluar dalam masa beberapa hari. Mayat disahkan Osama berdasarkan teknik pengenalan muka dan juga kenyataan penduduk di rumah Osama.

Kedudukan Osama di Abbottabad telah disyakki oleh pihak perisikan Amerika sejak Ogos 2010. Siasatan lanjut dilakukan dan kemudiannya pihak perisikan mengesyaki sebuah rumah yang 8 kali lebih besar dari rumah sekeliling, bernilai hampir sejuta dollar tetapi tidak mempunyai talian telefon dan internet. Selain itu, sisa sampah juga dibakar dan gerak-geri ahli rumah tersebut mencurigakan. Hal ini secara langsung menunjukkan bahawa rumah tersebut melindungi seseorang yang penting.

Intipan melalui pengimejan satelit dilakukan secara berhati-hati selama 8 bulan dan sebanyak 5 mesyuarat ketenteraan antara Obama dan pegawai tinggi Amerika dijalankan sebelum misi ini diberikan kelulusan pada 29 April 2011. Pada 1 Mei 2011, sepasukan tentera yang terdiri daripada CIA dan SEAL melakukan operasi bersama dan menyerang rumah Osama bin Laden.

Saturday, April 30, 2011

Champions

Salam Alaik...

Pasukan bolasepak MMMC berjaya memenangi pertandingan bolasepak antara kolej perubatan seluruh India... Walaupun aku bukan salah seorang player atas padang, tapi aku tetap berbangga... Haha... Apa-apa pun malas nak cakap banyak, layan je la 2 ketul gambar yang aku edit macam haramm nie...


Macam harammm dak aku edit? Kehkehkeh...

p.s: Aku ingat nak letak tag 1Malaysia, tapi takpelah... Macam tak sesuai pulak... haha