Wednesday, February 13, 2008

Padah Ghairah Budaya A

Muhammad Redzwan bin Abdullah

2007896284

Sydney

Ulasan Artikel: Padah Ghairah Budaya A


Dewasa ini, institusi-institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang terkenal dan dipandang tinggi, memberikan penekanan yang serius dalam pengambilan mahasiswa-mahasiswa baru. Antara syarat utama kemasukan yang diambil serius ialah bilangan gred A dalam peperiksaan awam contohnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini jelas telah mempengaruhi masyarakat kita dengan menjadikan bilangan gred A sebagai penanda aras kecemerlangan seseorang pelajar sehinggakan segelintir rakyat negara ini terlalu obses menambahkan bilangan A dalam keputusan peperiksaan mereka. Perlumbaan mengejar A tidak menjadi masalah dahulu kerana perkara itu dianggap sebagai persaingan positif. Tetapi, apabila pengaruh budaya A ini menjadi semakin parah, dan budaya A telah berakar umbi dalam set minda setiap pelajar, ini menjadikan bilangan A yang banyak adalah wajib dan tidak boleh tidak perlu didapatkan juga. Kes yang terbaru melibatkan seorang pelajar India yang gagal mendapat bilangan A yang dihajatinya, membunuh diri kerana terlalu kecewa. Hal inilah yang merungsingkan pelbagai pihak di negara kita. Inilah padah akibat terlalu obses mengejar bilangan A.

Ada pihak yang menilai kecemerlangan berorientasikan bilangan gred A sahaja. Hal ini disangkal oleh seorang pensyarah pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin, yang dipetik daripada majalah Massa, 14 Mac 2003, seseorang individu hanya dapat dilebel sebagai insan cemerlang jika mereka menekankan aspek akademik dan intelektual serta aspek etika dan dan nilai-nilai murni seorang manusia. Jikalau diambil dari pandangan seorang intelektual seperti ini, jelas menyatakan bahawa kecemerlangan perlu dinilai berpaksikan beberapa aspek. Bukan hanya bertunjangkan bilangan gred A sahaja. Hal ini perlu diambil tahu oleh semua rakyat negara ini agar pemikiran yang negatif seperti ini perlu dibasmi.

Pembasmian budaya seperti ini amat payah untuk dilakukan kerana budaya ini menular bagaikan virus yang cepat merebak dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya para pelajar. Sikap ibu bapa yang terlalu mendesak anak-anak mereka untuk mendapat bilangan A yang banyak kerana pada pendapat mereka, bilangan A adalah penentu masa hadapan anak-anak mereka. Malah minda mereka telah tertanam bahawa akademik adalah ‘lesen’ bagi mereka untuk bekerja kelak. Apabila tekanan dari ibu bapa ini bertambah serius, anak-anak akan menjadi murung, dan secara tidak langsung membunuh sifat positif yang ada dalam diri mereka. Adakah cemerlang pelajar yang mempunyai 10 1A tetapi mempunyai emosi yang tidak stabil dan kemurungan? Tidak dinafikan ada pelajar yang berjaya menyerap tekanan seperti ini, tetapi kalau boleh kita hendak melihat semua pelajar berjaya dengan cemerlang. Menurut seorang pakar kaunseling dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd Nor,yang dipetik daripada laman web, www.harakahdaily.net, istilah ‘Sekolah Terbaik’ ataupun ‘Pelajar Terbaik’ juga tidak patut dibangkitkan kerana ianya akan hanya menimbulkan suasana tegang kepada semua pihak. Istilah-istilah tersebut menyebabkan pihak sekolah menyusun aktiviti akademik semata untuk mengejar nama.

Selain itu, para pelajar juga kini cenderung menghabiskan masa dengan belajar di pusat-pusat tuisyen dalam usaha untuk menambah bilangan A dalam peperiksaan mereka. Hal ini merampas masa usia remaja mereka. Mereka telah dikongkong dengan pelajaran sehinggakan tidak ada dalam diri mereka kemahiran bersosial, kemahiran bersukan dan sebagainya. Hal ini menambahkan tekanan kepada pelajar apabila mereka tidak mempunyai saluran untuk melepaskan tekanan. Jika tertekan membaca buku selama 8 jam sehari, adakah logik melepaskan tekanan dengan membaca buku lagi? Tentulah tidak. Jadi apabila tiada tempat untuk melepaskan tekanan, bunuh diri dan perkara negatif lain akan dipilh pelajar itu. Akhirnya kecemerlangan yang dicari lenyap. Hal ini seumpama menyuruh kambing menanduk bukit, bukit tidak runtuh tetapi tanduk yang patah. Menurut Dr. Tuah Iskandar Al-Haj, yang dipetik daripada majalah Dewan Masyarakat, isu Februari 2002, ahli keluarga, kaunselor, guru, dan teman rapat amat penting dalam menangani masalah tekanan ini. Tetapi, budaya mendapatkan bilangan A ini perlulah dikikis dari minda ibu bapa dan pelajar itu dahulu, barulah tekanan ini dapat dibereskan.

Kesimpulannya, ghairah kepada budaya A ini perlulah dihapuskan dan dilenyapkan. Pelbagai cara boleh dilaksanakan agar set minda pelajar dan ibu bapa terhadap hebatnya bilangan A dalam slip keputusan dapat dihapuskan. Bilangan A bukanlah penentu kejayaan kerana tanpa kemahiran sosial, pelajar itu akan menjadi seperti manusia yang kera sumbang, tanpa kemahiran sukan atau kokurikulum, pelajar itu akan kehilangan sesuatu yang juga dianggap penting dalam melangkah ke dalam menara gading atau institusi pengajian yang lain. Ghairah kepada budaya A tidak memberi keuntungan malah merugikan pelajar itu sendiri dan secara tidak langsung menghilangkan satu aset negara yang berkemungkinan boleh berjasa kepada bangsa, agama dan negara.
(688 patah perkataan)
Sumber-sumber:

1.Majalah Massa, 14 Mac 2003

2.Majalah Dewan Masyarakat, isu Februari 2002

3.www.harakahdaily.net

1 comment:

Anonymous said...

amboi...promote artkl sndri nmpk..hahah =D