Monday, January 30, 2012

La Tahzan InnaLlaha Ma'ana.

Salam 'Alaik.

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai maut" - [Ali 'Imran, 3:185]

"Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh" - [an-Nisa', 4: 78]


Sesungguhnya aku berada dalam keadaan sedih yang nyata, apabila mencapat khabar bahawa ayahku yang aku sayangi telah kembali ke rahmatuLlah. Sungguh, itu adalah perancangan Allah, dan perancangan Allah itulah yang terbaik.

"Sesungguhnya kita milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya juga kita kembali" - [al-Baqarah, 2:156]

Aku biasanya sangat tenang, dan punyai air mata yang sangat mahal. Tetapi pabila mendengar berita yang tidak aku sangkakan, aku menjadi sedih dan menangis. Menangis seorang diri mengenang akan aku yang jauh di bumi India ketika ayahku menghembuskan nafas terakhirnya. Aku hanya lewat sebulan, daripada tarikh yang aku jangka akan pulang iaitu 4 Mac 2012. Tetapi tidaklah Allah melambatkan kematian hamba-Nya walau sesaat.

"Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang itu apabila tiba waktu ajalnya. Dan Allah Maha Teliti dengan apa yang kamu kerjakan" - [al-Munafiqun, 63:11]

Ayat ke-11 al-Munafiqun memang sentiasa berada di mulutku ketika solat, ketika menunggang motor dan ketika mana aku lapang. Dan tidaklah aku menyangka ujian yang aku terima amatlah dekat denganku. Aku sering mengharap agar aku sempat untuk bersama ayahku ketika di Malaysia, sempat untuk berbual dengannya, sempat untuk meminta maaf dengannya, dan sempat untuk melihat dia buat kali terakhir, dan mengucup wajahnya. Doaku untuk ayah bertahan selama 40 hari tidak diperkenan. Allah lebih mengetahui. Mungkin 40 hari untuk bertahan itu terlalu berat untuk ayahku.

Pulangnya ke rahmatuLlah ketika aku masih berada di India menambahkan lagi sesalanku. Sesungguhnya jika aku tidak menambah 6 bulan pengajianku, nescaya aku sempat untuk sekurang-kurang menyembahyangkan jenazahnya di rumah, dan sempat mengikutinya ke kubur. Allah ialah sebaik-baik perancang. Harus aku redha.

Ayah banyak membantuku. Ayah banyak berjasa kepadaku. Tetapi aku tidak sempat membalas jasanya ketika dia masih di dunia, tidak sempat dia melihat aku bersama segulung ijazah MBBS, dan memanggil aku Doktor. Dan aku sangatlah celaka kerana pernah juga melawan cakapnya. Mohon ayah memaafkan segala dosa-dosaku kepadanya.

Barangkali ketika ini aku sudah berada di Bengaluru International Airport, menunggu kapal terbang AirAsia pada jam 17:15 IST untuk bergerak ke Tanah Tumpahnya Darahku. Menjejak Tanah Air pada jam 00:00 MST, awal 33 hari daripada apa yang aku rancang. Moga aku diberikan kekuatan untuk melawat pusara ayah esok, dan mendoakan kesejahteraannya. Ya Allah yang Maha Kuat, berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku kekuatan.

Ya Allah berikanlah aku kekuatan.

"Ya Allah, ampunilah ayahku, kasihanilah ayahku, sejahterakan ayahku, dan maafkanlah kesalahan ayahku, hormatilah kedatangan ayahku, lapangkanlah kubur ayahku, dan bersihkanlah ayahku dengan air, ais dan embun, serta sucikanlah ayahku daripada sebarang dosa sebagaimana Kau sucikan kain putih daripada kotoran dan najisnya. Masukkanlah ayahku ke dalam syurga, dan lindungilah ayahku daripada seksa kubur dan seksa api neraka."

"Ya Allah, sesungguhnya ayahku berada dalam tanggungan-Mu dan berada di sisi-Mu. Jagalah ayahku daripada fitnah kubur dan seksa api neraka. Engkau ialah Zat yang menepati janji dan kebenaran, maka ampunilah ayahku dan kasihanilah ayahku. Sesungguhnya Kau ialah Zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

"Ya Allah, Kau ialah Tuhan ayahku, Kau telah mencipta ayahku, dan Kau telah memberikan rezeki kepada ayahku, Kau telah menunjukkan ayahku kepada Islam, Kau telahpun mengambil ruhnya danKau mengetahui dirinya baik yang tidak terlihat mahupun terlihat. Aku datang memohon pertolongan-Mu, maka ampunilah ayahku."

Sesungguhnya ini ialah ujian yang berat. Bantulah aku menghadapinya dengan tenang. Selamatkan perjalananku pergi dan pulang.

Ya Allah, tanamkan kekuatan dalam diriku dan keluargaku seperti mana Kau tanam kekuatan dalam diri Rasul-rasul-Mu.

Ya Allah, jadikanlah aku istiqamah dalam mendoakan ayahku. Jadikanlah aku anak yang soleh, supaya aku mampu mendoakan ayahku dan memberi ayahku ganjaran di sana. Ya Allah, tabahkanlah aku dalam menghadapi perkara ini. Elakkanlah aku daripada melakukan larangan-Mu. Lindungilah aku dan rahmatilah aku. Semoga aku mampu mendoakan kesejahteraan ayahku di sana.

"Ya Allah lindungilah aku daripada kesedihan yang telah berlaku dan yang akan berlaku."

Ya Allah, sesungguhnya aku redha dengan pemergian ayahku, dan aku tahu bahawa Kau sentiasa bersama kami.

"La tahzan, innaLlaha ma'ana."

Ayah dan Keluarga
29/05/41 - 29/01/12
Ogos, 2011M | Syawal, 1432H

Friday, January 27, 2012

Air dan Batu

Salam Alaik.

Ya, mungkin air mampu menghakis batu, jika titisnya konsisten selama berpuluh malah beratus tahun. Mampukah kesabaran sehingga ke tahap itu?

Sampai masa titis air itu akan beralih arah sendiri, kerana buat apa cuba menebuk batu jika perbuatan itu sia-sia? Sia-sia kerana mengambil masa yang lama.

Belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Buat apa nak asah belakang parang jika boleh membeli parang baru? Atau guna sahaja matanya. Pergi sahaja ke tukang besi dan minta dibuatkan pedang mata dua, dan bukan parang.

Ya, berusaha dengan tekun dan rajin, serta sabar mampu memberi hasil. Tidak aku menyangkal walau sesekali. Tetapi adakah berbaloi usaha yang lama untuk suatu hasil yang sedikit? Kenapa tidak gunakan jalan pintas untuk hasil yang sama?

Bukanlah aku mengkeji peribahasa Melayu. Tidak!

Hidup mesti terus. Jika satu jalan sempit, pilih jalan yang luas. Jangan jadi pungguk rindukan bulan. Jangan menunggu bulan jatuh ke riba.

Usaha tetap usaha. Cuma usaha dengan 'bijak'.

Tuesday, January 24, 2012

Perasaan

Salam Alaik..

Aku sering menyimpan perasaan-perasaan sensitifku daripada khalayak.. Perasaan sedih terutamanya, hanya dilafazkan dalam 'twitter' memandangkan perasaanku senang tenggelam dalam lautan 'tweet' manusia-manusia yang berada di 'timeline'..

Sungguh aku berada dalam kesedihan sekarang.. Sedih kerana jauhnya aku daripada Tanah Tumpah Darah tika mana aku diperlukan di sana..

Berikan aku kekuatan untuk aku harungi kurang lebih 40 hari yang mendatang ini..

"Ya Allah, permudahkanlah"
"Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perasaan sedih dan perkara yang menyedihkan"

Dan seperti biasa, dari luar aku tersenyum. Bergelak ketawa, berbual lebat persis tiada apa yang berlaku. Tapi dalam minda aku sering berdoa kepada-Nya, agar aku sempat berada di Tanah Tumpah Darah. Hanya 40 hari lagi lebih kurang.

Ya Allah, perkenankanlah.

Sunday, January 22, 2012

Lama Benar

Salam Alaik..

Pos terakhir sekali bertarikh 28 November 2011.. Dekat dua bulan jugak la aku tak menulis.. Bukan sebab aku malas, atau takde idea, cuma apabila laptop kesayangan aku buat hal, aku payah nak menulis.. Serius!

Banyak yang berlaku selama aku tidak menulis nie.. Ada yang bagus, ada yang buruk.. Hidup sebagai pelajar tahun ketiga memang agak sibuk kerana posting agak jauh.. Sekarang aku posting 'Medicine'.. Kelas yang lama, dan peluang untuk berjumpa laptop agak payah untuk aku mengemaskini blog dan hal ehwal semasa Malaysia..

Sepanjang ketiadaan laptop nie, aku banyak menulis di blog mikro Twitter sahaja.. Mudah, peribadi, dan ringkas.. Kalau aku rasa nak sentuh sesuatu isu dengan lebih panjang, aku gunakan status Facebook..

Pos kali ini sekadar pemanas badan.. Mungkin ada pos dalam masa terdekat atau mungkin tidak.. Bergantung kepada masa..

Secara ringkas, kini tinggal kurang lebih 40 hari lagi aku di India.. Masa untuk melepak dah hampir tamat.. Hidup di Melaka katanya lebih sesak dan memerlukan lebih fokus dan semangat untuk belajar.. Hehe..

Hanya ada satu cabaran yang aku bimbangkan di Melaka.. Tentang hati dan jiwa.. Selama setahun terakhir aku di India nie, faktor hati dan jiwa banyak menyebabkan aku senyap sendiri. memikir jalan yang aku tempuh, pilihan yang aku buat, dan kesan terhadap apa yang telah aku rancang dan lakukan..

Apa yang harus aku lakukan dalam 40 hari terakhir ini? Adakah harus melakukan perkara gila, atau hanya melepak dan ikut rutin harian?

Senyum.Sendiri.

Apakah Tahun 2012 akan memberikan aku kenangan yang indah tetapi natijahnya pahit, atau kenangan yang pahit dengan natijah yang manis? Tunggu dan lihat..

Apa-apapun, 2012 tidak akan sama dengan 2011, dan akan jauh berbeza daripada 2010..

Dengar lagu Waving Flag jap..

Sehingga bertemu lagi..

p/s: Pos pertama setelah sekian lama nie memang ala-ala peribadi atau diari sikit.. Sila berlembut dengan saya yang dah lama tak menulis nie..