Friday, November 7, 2014

Secawan Kopi Panas Di Tebing Sungai Narayani

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen



2011

"One cup of coffee, please," pesan Sam kepada seorang pelayan di bar yang terbuka itu. Jam ketika itu mungkin menunjukkan pukul 8 atau 9 malam. Rakan-rakannya mungkin berehat di dalam chalet, setelah kepenatan meredah hutan dan mengharuk sungai mencari badak sumbu dan harimau yang tidak muncul-muncul. Malam itu, hanya dia seorang, keluar menghirup udara yang segar ditemani berpuluh manusia pelbagai bangsa dan beraneka ragam.

"Here's your coffee, sir. 8 rupees," tegur bartender sambil menolak perlahan secawan kopi susu yang masih panas ke arah Sam. Dia terus menghulurkan not berwarna perang keemasan, dengan berlatarbelakangkan gambar gunung tertinggi di dunia kepada bartender itu dan membuat isyarat tangan yang bermaksud 'simpanlah baki itu'. Sam mengangkat cawan itu dan berjalan perlahan ke arah tebing sungai Narayani-Rapti.



Bulan sabit mulai terbit di ufuk barat. Imejnya terpampang di permukaan sungai yang tenang itu. Sam duduk di sebuah bangku rehat yang diperbuat daripada kayu. Menghadap sungai, Sam meletakkan cawan kopi itu di sebelahnya. Dia mengatupkan matanya, dan cuba mendengar suara alam. Namun perbualan orang di sekelilingnya dengan pelbagai jenis bahasa menyukarkan fokusnya.

Dia menghirup kopi itu, untuk memanaskan badannya. Sebagai seorang Melayu, yang berasal dari negara yang beriklim khatulistiwa, suhu malam itu yang dijangka di bawah 10 darjah selsius menggigit tulangnya.3 lapis kemeja T dan selapis sweater tidak mampu menahan serangan zarah-zarah udara sejuk itu. Mungkin kerana dia hanya memakai selapis seluar jeans, dan berkasut Converse.

Dalam keseorangan melayan sejuk malam itu, ditemani secawan kopi panas, banyak yang difikirkannya. Daripada awal dia berkelana di bumi India, sehinggalah kini. Banyak ranjau yang ditempuhinya, dan banyak duri yang boleh dia elakkan, namun dek kerana kelalaian dia terluka dan melukakan. Matanya dipejam, dan direnung dalam-dalam mata hati, di manakah silapnya, dan di manakah boleh diperbaik. Namun, kedalaman pemikiran itu ternyata cetek.

Sekali sekala, angin yang menghembus menggetarkan badannya. Kopi yang pada awalnya panas, menjadi sejuk sekelip mata. Masa berfikir dan muhasabah diri sudah tamat. Di bawa kakinya melangkah meninggalkan tebing sungai yang indah itu menghala ke sebuah pekan kecil. Di sebuah kedai cenderamata, dia tertarik dengan sebuah 'fridge magnet' yang berwarna emas. "Sesuai sebagai satu hadiah perpisahan," bisiknya di dalam hati.

Sambil tangannya kanannya menyeluk saku, dia bergerak ke arah chalet. Ditemani anjing-anjing liar yang mengekorinya, dia menghembuskan asap rokok yang ternyata tebal di iklim sejuk. Taman Negara Chitwan, walaupun hanya seketika, memberikan satu kenangan yang amat berharga. Sebelum masuk ke dalam chalet, puntung rokok itu dibuang dan dipijak; seraya tangan kanannya meraba sebuah kotak kecil di dalam poket sweaternya. Dia melangkah masuk, dan terukir senyuman pahit nan sinis.









2014

Sebuah kotak putih, sedang dibiarkan berhabuk.

No comments: