Friday, November 1, 2013

Persatuan Sepak Raga Negeri Inderapura

Salam Alaik.

p.s.: Ini ialah sebuah fiksyen bangang


Tersebutlah sebuah kisah di sebuah negeri yang indah permai diberi namanya Inderapura, bahawa terdapatnya sebuah sukan yang sangat terkenal dalam kalangan rakyat jelata iaitu sepak raga bulatan. Adapun sukan ini menarik minat sebahagian besar rakyat di mana setiap pelusuk kampung dan daerah, dari Ulu Tembelang sampai la ke Kuala Jalai, merentasi Bantong sampai ke Kuala Pakan pernah bermain sepak raga bulatan ini.

Sungguhpun sepak raga bulatan ini sangat terkenal di Inderapura, namun pasukan negeri Inderapura tidaklah sehebat mana. Dengan gelaran Tok Mammoth, pasukan negeri ini tidaklah menyerlah dalam pertandingan sepak raga bulatan antara negeri-negeri beraja. Pertandingan sepak raga bulatan ini biasanya tidak dihadiri dan ditonton oleh rakyat jelata Inderapura melainkan hanya sebahagian kecil Ultras-man yang menggelar diri mereka Mammoth Force.

Kebanyakan rakyat jelata memang tak ambil tahu langsung akan pasukan negeri Inderapura ini.. Para pembesar berempat, berlapan dan berenambelas Inderapura pun tak ambil kisah serta tak pernah terfikir nak menonton perlawanan Sepak Raga Bulatan di Stadium Sepak Raga Darul Pura.

Kaum kerabat diraja Inderapura pula hanya pandang sikit-sikit sahaja pasukan negeri ini kerana pasukan negeri ini menjadi sumber kewangan pertaruhan dan sebagainya. Sukan diraja seperti laga ayam dan polo kuda kepang tidak lagi memberikan keuntungan yang besar..

Maka setelah hampir sepuluh tahun pasukan sepak raga negeri Inderapura jatuh dan jarang menang pertandingan, dan kerana Stadium Sepak Raga Darul Pura sedang mengalami pengubahsuaian, pasukan sepak raga negeri Inderapura perlu bermain di Stadium Sepak Raga Mini Samantan. Maka, dengan pengurus Sepak Raga yang baru dan penyokong semakin ramai di Samantan, pasukan sepak raga negeri Inderapura semakin meningkat dan berjaya masuk ke Liga Sepak Raga Utama Raja-raja.

Gambar hiasan: Sumber Malaysiatravelpedia.com
Di sinilah segala-galanya berubah.

Pasukan sepak raga negeri Inderapura mula meningkat naik. Pasukan negeri kembali bermain di Darul Pura. Perlawanan pertama menentang pasukan Riau-Lingga SRC berkesudahan dengan kemenangan Inderapura walaupun Riau-Lingga SRC mempunyai pemain-pemain sepak raga yang hebat diimport daripada Thailand. Perjalanan Inderapura dalam Liga Sepak Raga Utama Raja-raja bermula cemerlang dan namun tidak mampu memenangi liga itu.

Pada perlawanan separuh akhir Piala Persatuan Sepak Raga (SRA Cup), Pasukan sepak raga negeri Inderapura bertemu dengan Riau-Lingga SRC. Kekacauan berlaku di Stadium Sepak Raga Darul Pura kerana Persatuan Sepak Raga Negeri Inderapura (PSRNI) gagal mengawal tiket palsu dan ulat-ulat tiket. PSRNI juga menggunakan kesempatan kebangkitan rakyat dalam menyokong Pasukan sepak raga negeri Inderapura untuk mengaut untung. Separuh akhir SRA Cup menunjukkan Pasukan sepak raga negeri Inderapura jalan keluar.

Ketika berlangsungnya Piala Negara Rempah, Pasukan sepak raga negeri Inderapura tidak menunjukkan prestasi yang menarik di peringkat kumpulan. Namun atas kuasa Tuhan, Pasukan sepak raga negeri Inderapura berjaya ke pusingan kalah mati dan seterusnya ke perlawanan akhir PIala Negara Rempah setelah menewaskan PKNS SRC dan Rajah Putih SRA.

Di sinilah kecelakaan pembesar-pembesar

Perlawanan akhir Piala Negara Rempah antara Pasukan sepak raga negeri Inderapura dan Serambi Mekah SRA akan dilangsungkan di Stadium Alam Shah. Stadium yang mampu memuatkan 7000 orang itu berada di bahagian barat Negara Rempah. Sebanyak 2500 tiket masing-masing diberikan kepada Persatuan Sepakraga Inderapura dan Persatuan Sepakraga Serambi Mekah manakala baki 2000 tiket lagi dijual di Stadium Alam Shah.

Namun, daripada 2500 tiket yang diberikan kepada Persatuan Sepakraga Inderapura, hanya 1000 tiket dijual kepada rakyat jelata. 1500 tiket lagi diberikan kepada para pembesar negeri untuk diagihkan kepada kerabat, sekutu dan rerakan mereka. Maka banyaklah rakyat jelata yang cuba memberikan sokongan kepada Inderapura di perlawanan akhir gigit jari kerana tidak mendapat tiket, sedangkan pembesar yang selama ini mengaut hasil bumi Inderapura dan tidak langsung memandang kebangkitan Sepakraga Inderapura diberikan peluang.

Ada antara para pembesar Inderapura yang mendapat tiket tanpa perlu beratur menjadi celaka dengan menjual tiket itu kembali dengan harga yang lebih mahal. Tidak puas dengan merembat pokok Jati dan mengorek bijih TImah, pembesar celaka ini mahu menyembelih penyokong Inderapura pula. Pembesar-pembesar palsu ini, telah meremukkan harapan rakyat marhaen Inderapura.

Namun doa rakyat jelata tetap ada. Semoga pasukan sepakraga Negeri Inderapura berjaya memenangi Piala Negara Rempah kelak. "Kepada pembesar-pembesar yang suka mengambil kesempatan, anda boleh pergi mati." kata Mat Juling kepada Dato' Indera Jalai dengan nada marah.

Sekian.

No comments: