Wednesday, August 13, 2025

Repekan Random

 Qaul Jumhur VS Qaul Minoriti


Semasa nak menukar minyak enjin Modenas KRIS MR3, aku cuba membuka palam penutup minyak yang berada di bahagian bawah motor itu. Perkara yang seharusnya mudah, ternyata susah pada petang itu. Sepana bersaiz 17 tu direngkoh kiri dan kanan, cuba untuk melonggarkan keketatan yang melindungi enjin. Mencari kekuatan yang seimbang supaya cukup kuat untuk membuka, dan tidak terlalu kuat sehingga merosakkan alurnya.


Asasnya mudah - membuka sesuatu skru mengikut jumhur ialah secara memusingkan lawan jam. Ah nampak mudah, bukankah hari-hari kita melihat jam? Tapi kekeliruan di sebalik palam minyak hitam ini bukan sekadar lawan jam yang biasa. Kita kena berfikiran bahawa kita ialah muka jam, dan bukan daripada kaca mata orang yang melihat jam. Perspektif yang berbeza akan menimbulkan kekeliruan dalam bidang ilmu yang jarang-jarang dipraktikkan; dan dalam kes ini: 6 bulan sekali.


Ketika cuba personifikasikan jam: yakni aku sebuah jam - untuk memilih pulasan sepana ke kiri atau ke kanan, fikiranku melayang. Adakah aku sebuah jam konvensional yang bernombor tulisan rumi, atau aku ialah jam yang bertulisan Arab? Kerana ternyata menurut pemerhatian aku, jarum jam bernombor Arab biasanya berpusing melawan arah jam konvensional terutamanya jam-jam yang dibawa pulang daripada Makkah. Namun jam besar di Menara Jam Makkah, jarumnya menurut arah jam konvensional seiring dengan nombornya bertulisan Roman.


Ah sudah.

Teringat pula di dalam Masjid al-Haram ada juga jam yang digantung banyak-banyak menunjukkan waktu semasa dan waktu-waktu solat. Namun aku tidak dapat mengingati adakah jam analognya berpusing ikut arah jam konvensional atau sebaliknya? Korek pula gambar-gambar semasa di Mekah dulu kot-kot ada gambar jam, namun tidak berjumpa. Barangkali tidak ada yang pelik (menurut arah jam konvensional), itu sebab tidak diingati.


Jadi, bila dikatakan 'arah jam', maka boleh kita simpulkan bahawa arah jam berdasarkan perspektif orang yang melihat jam, dan jam itu ialah jam analog konvensional. Namun jika seseorang menggunakan jam bernombor Arab yang mungkin jarumnya berpusing melawan arus, maka arah jam mereka mungkin berbeza. Pada perspektifnya, itu ialah betul. Jika aku sebuah jam, dan memandang jarum dengan perspektif muka jam, maka perspektifnya bagaimana? Daripada arah jam sahaja kita boleh mengeluarkan pelbagai pandangan. Namun yang paling aula, ialah pandangan jumhur - arah jam ialah arah jam yang konvensional.


Adakah pandangan lain salah? Tidak juga. Benarlah pandangan itu untuk perspektif yang tersebut. Tapi membuat pandangan daripada satu perspektif tanpa mengambil kira pandangan dan pengalaman orang lain, serta mengabaikan adat budaya sesuatu masyarakat dan tempat - maka itu ialah tidak tepat. Fiqh al-mizankah ini?


Perspektif.

Matahari bergerak, bulan bergerak, bumi bergerak. Siapa yang mengelilingi siapa? Itu semua ialah perspektif.


Matahari dan bulan bergerak mengelilingi bumi ialah perspektif awal manusia melalui pandangan mata secara kasar. Namun apabila bermain dengan matematik, astronomi dan sebagainya ternyata jika kita melihat daripada 'atas' sistem solar, bulan mengelilingi bumi manakala bumi mengelilingi matahari. 


Arah jam atau lawan jam bumi bergerak mengelilingi matahari?

Daripada bumi, kita akan nampak matahari yang mengelilingi bumi.

Daripada utara bumi di luar sistem solar, kita akan nampak bumi mengelilingi matahari melawan arah jam.

Manakala jika kita melihat daripada selatan bumi di luar solar sistem, kita akan nampak orbit bumi mengikut arah jam.


Arah jam yang mana satu? Orang yang melihat jam atau sebagai muka jam? Jam rumi atau jam bertulisan Arab?


Penyudahnya nak tukar minyak hitam Modenas Kriss MR3 ditangguhkan kepada petang esoknya memandangkan matahari dah hampir terbenam di ufuk barat Kuantan.


#falsampah

#merepek

Wednesday, February 5, 2025

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah CERPEN 

ONE LAST PATIENT...

Jalan raya daripada rumahnya di Indera Mahkota 15 lengang menuju ke Hospital Besar Kuantan. Ramai penduduk Kuantan yang masih bercuti kerana Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada hari Khamis memungkinkan cuti hujung minggu yang panjang. Redz bergerak perlahan menuju ke tempat kerja, dengan sebatang rokok menyala di luar tingkap kereta. Sampai di tempat parkir kebiasaannya, masih awal. Jam menunjukkan pukul 7.40 pagi, masih sempat untuk melepak sambil minum kopi sebelum memulakan rondaan pesakit. Biasanya rondaan dijalankan berdua, namun rakannya yang sama-sama meronda di periphery iaitu seluruh Hospital selain wad perubatan dan wad nefrologi, turut bercuti. Bermula daripada tingkat satu, perlahan-lahan dia memulakan rondaan.

Dadanya mula terasa disiat-siat apabila tiba di tingkat 5. Perasaan ini sudah seminggu menghantui dia. Kadang-kadang ada, dan selalunya tiada. Habis sudah Gaviscon Double Action, Omeprazole 20mg, Susu Segar dan sebagainya, namun sakit hirisan di ulu hari itu tidak hilang sempurna. Ada juga dalam kepalanya ini ialah serangan jantung, namun tidak diendahkan kerana tidaklah sakit ketika berlari atau berjalan, malah lebih terasa apabila berada dalam keadaan rehat. Semalamnya, boleh sahaja dia membantu kariah Masjid menumbangkan beberapa ekor lembu dan membantu melapah sedikit sebelum terasa pedihnya ulu hati. Usai mengeluarkan perut dan membantu sedikit untuk melapah, dia pun bergerak pulang ke rumah tanpa menunggu daging korban. "Kalau nak bagi, tak payah tunggu pun takpe. Kalau tak dapatpun, takde masalah."

Biasanya pedih itu akan hilang selepas beberapa minit. Pedih itu tidak akan lama. Namun selesai melihat pesakit di tingkat 5, pedih ulu hati itu tidak habis lagi. Malah makin terasa kuat disiat-siat. Digagahkan lagi diri menaiki tangga. Terus ke tingkat 7. Sampai di tingkat 7, dia berhenti sebentar di hadapan papan putih yang menyenaraikan nama-nama pesakit. Ada seorang pesakit yang hari sebelumnya berada di CICU tingkat 3 namun sudah dipindahkan ke wad tingkat 7. Dia menarik nafas panjang. Kali ini kombo dengan jantung yang berdebar. Dia merasakan ini perkara baru yang signifikan. Pedih ulu hati dan jantung berdebar, barangkali serangan jantung, barangkali pendarahan dalam perut.

Dia sudah berjanji dengan isteri dan anak-anak, seusai kerja akan terus bergerak pulang ke kampung. Mereka sudah balik lebih awal memandangkan cuti yang panjang. Tinggal seorang diri di rumah bukanlah satu yang ganjil, malah kadangkala memang didamba. Kebebasan, masa lapang, Netflix and Chill. Baju-baju raya sudah disimpan kemas dalam but kereta. Kiranya bila dah pukul 5, akan terus bergerak pulang ke kampung tanpa singgah ke Indera Mahkota semula. Ada photoshoot juga katanya di sana, jadi kepulangannya amatlah dinanti.

Sambil dia mengemaskini senarai pesakit di periphery, dan jam menunjukkan pukul 10.35am, dia mula menaip juga kepada seorang rakan sekerja - Nan. "Aku nak pi ED jap, gastrik teruk nau. Ni list passover, dan ada satu prosedur di CCU femoral catheter," tidak dihantar, namun disimpan. Kerana ada seorang lagi pesakit yang tinggal untuk dilihat sebelum kononnya mahu pergi ke Kecemasan. Setelah mengenalpasti kedudukan pesakit, Redz melangkah masuk ke dalam wad itu. Dia senyum ke ara seorang jururawat yang sedang menulis laporan di mejanya. Redz mengambil fail pesakit dan membukanya.

bersambung.....

Friday, January 17, 2025

Menjaga Kerahsiaan: SULIT DAN PERSENDIRIAN

 Salam Alaik..

Dalam kerjaya yang bersifat professional ini, memang diajar sejak daripada awal bahawa kerahsiaan adalah teramat penting. Terutamanya kerahsiaan berkaitan pesakit dan penyakitnya. Secara umumnya seseorang doktor, tidak boleh dengan sengaja tanpa kebenaran pesakit untuk memberitahu diagnosis kepada pihak ketiga. Hatta, untuk menuntut insurans sekalipun, pesakit perlu memberikan kebenaran kepada syarikat insuran/takaful untuk pengeluaran laporan perubatan pesakit, walhal hal itu untuk pesakit itu sendiri.

Sebagaimana itu, maka hal ehwal pesakit mestilah kekal dalam rekod fail pesakit, dan antara perawat dan pesakit serta keluarganya sahaja.

Kalau ikutkan, banyak benda yang boleh dibawangkan. Kalau ingin berkongsi cerita sebagai ibrah, tanpa menyebut nama spesifik maka dibolehkan. Namun jika secara spesifik, itu adalah haram.

Begitu juga, jika ada seseorag rakan bertanya kepada aku tentang seseorang pesakit (kawan juga), maka aku akan elakkan daripada menjawab kerana itu ialah kerahsiaan. Kenapa masuk wad, bila keluar wad dan sebagainya. Contoh, jika Abu masuk wad kerana jangkita kuman dalam paru-paru dan pada masa yang sama tetiba kita tahu dia juga positif HIV, maka JANGAN sesekali memberitahu diagnosis itu TANPA kebenaran pesakit. Jika diasak pertanyaan, cukup katakan jangkitan kuman dalam paru-paru. Selebihnya biarlah tanya tuan badan sendiri.

*****

Bila sebut tentang penyakit, aku sendiri pun berpenyakit. Dan aku sangat tidak suka bercerita tentang penyakit aku melainkan kepada orang tertentu sahaja. Hatta kalau disebut sebut, aku agak tidak selesa. Cukuplah mendoakan kesihatan dan kesejahteraan, jangan throwback jauh sangat. Tu sebab aku kalau orang cerita tentang kisah aku dulu, aku diam je tidak menambah dan tidak mengurang. Lagipun masa tu aku mana sedar apa-apa, aku pun tak boleh nak sahkan kebenaran atau tidak. Kalau nak cerita di belakang aku no problem. Asalkan aku tak dengar je. Hahaha. Hatta masuk wad untuk pemeriksaan lanjut pun aku buat diam-diam je. Aku malas nak melayan soalan.

Hal ini spesifik untuk aku je la.

Ada juga yang suka heboh hebohkan, dan suka beritahu orang yang dia sakit. Kena beritahu dalam grup whatsapp, kawan-kawan yang dia telah didiagnosis penyakit sekian-sekian. Suka dilawati dan diziarahi. Tidak mengapa, takde salah pun. malah lebih bagus sebab ramai yang akan doakan. Tapi bukan style aku. Aku suka dilihat sihat, dan segar. Tu sebab cruciating chest pain pun masih boleh round kat hospital naik tangga, senyum kat staf dan sebagainya.

*****

Dah.

Monday, December 2, 2024

Permintaan Nan Berbeza

 Salam Alaik...

Setiap orang ada preference yang berbeza tentang sesuatu. Setiap preference / kecondongan itu bergantung kepada pengalaman, pendidikan dan cara hidup seseorang. Kecondongan seseorang yang berumur 60 tahun tidak sama dengan kecondongan dia pada umur 40 tahun, sebagaimana pembelajaran dan pengajian seseorang boleh mengubah kecondongan. Apa yang difahami dan hendak difahami sebelum membaca sesebuah buku boleh berubah seusai membacanya, begitu juga kecondongan keluarga B40 tidak sama dengan keluarga T20.

Begitu juga dalam beragama. Kecondongan seseorang manusia terhadap agama seperti Islam dan selainnya sangat dipengaruhi oleh cara hidup. Di Malaysia MAJORITI akan  memilih agama berdasarkan agama keturunan dan sangat jarang untuk seseorang itu berlainan dengan agama mak dan ayahnya. Untuk mengubah kecondongan ini, sesuatu perlu berlaku contohnya enlightment, atau perkahwinan dan sebagainya. Dalam contoh yang lebih khusus, pemilihan akidah Islam juga dipengaruhi pelbagai faktor.

Bagi seseorang yang berada dalam keluarga yang kuat agama Islamnya, maka pemilihan akidah biasanya mengikut keturunan. Jika ayahnya seorang Ustaz beraliran Asya'irah, maka besar kemungkinan anaknya akan beraliran Asya'irah. Dan ini hanya untuk yang mengkaji aliran tauhid sahaja. Dan boleh juga berubah jika membaca atau mengaji dengan lebih detail. Kebanyakan daripada kita tidak tahu pun kita Asya'irah, Maturidiyah atau Hanabilah.

Antara doa yang banyak aku ucapkan ketika berada di Mekah, di hadapan Kaabah ialah......

---------------------------------------------------------------------------------------------

Isu Lain...

Kekadang kita lebih sudu daripada kuah. Kekadang kita tafsir/quote apa yang orang tak cakap pun. Contoh: bila dikatakan HARAM keluarga si mati membuat kenduri untuk jamu orang tahlilan dan uruskan jenazah, bukanlah bermakna diHARAMkan bacaan tahlil dan yasinan untuk si mati.


Baca tahlil dan yasin untuk si mati, buatlah (khilaf dalam kalangan ulama tentang sampai atau tak). Namun janganlah paksa (atau paksa-rela) keluarga yang sedang bersedih itu menyediakan makanan untuk jemaah.


"Kami tak paksa pun" - tak paksa secara literal, tapi dari segi adatnya dipaksa.


"Bukan diorang (keluarga si mati) masak pun, mereka order je" - duit tetap daripada keluarga si mati.


"Bukan keluarga si mati pun bayar atau sediakan makanan, tapi keluarga jauh yang lain (sepupu sepapat) yang bayarkan" - buat kat masjid surau la, jangan buat di rumah si mati. Nanti keluarga si mati juga kena mengemas, bayar bil air elektrik dsb.


Banyak alasan tidak menghalalkan perkara yang haram (atau sebahagian kecil kata makruh, dan ada pendapat janggal yang kata harus).


Nak buat filem pendek yang mencerminkan 'ekstrim' tidak ada masalah. Tapi jangan label orang yang tak kata sebegitu dengan cara macam tu.

Tuesday, November 26, 2024

Of Nasi Lemak Telur Mata Dua

 Salam Alaik..

Kehidupan merupakan satu anugerah yang tidak ternilai buat kebanyakan manusia. Namun ada yang mengimpikan kematian sama ada kerana stress di dunia ataupun mencari jalan menuju ke akhirat (syahid).

One last meal.

Nasi lemak dan dua telur mata menjadi rutin dahulu. Saat rajin singgah di Bay Route sebelum mula kerja. Hatta pagi hari raya aidil adha 2024, aku mulakan dengan nasi lemak dua telur mata di rumah. Sambalnya banjir, timunnya banyak. Keindahan jika menyediakan nasi lemak di rumah.


Banyak yang berputar dalam kepala ini kebelakangan ini. Di samping memikirkan apa yang telah berlaku (throwback), dan apa yang boleh berlaku, namun sangat sedikit digunakan untuk memikirkan apa yang akan berlaku.

Ada orang bijak pernah berkata: Aku tidak pernah merancang sesuatu melebihi daripada 6 minggu kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam masa itu, sempatkah, bolehkah? Hidup ini terlalu singkat untuk memandang ke hadapan untuk perkara-perkara mikro. Namun untuk significant milestone, memandang ke hadapan itu penting.

Kenangan lama itu penting sebagai pengajaran untuk masa hadapan. Segala memori yang pahit akan menjadi gelak tawa mendatang dan pengalaman yang berharga. Manakala memori yang indah akan sentiasa memberi impak positif kepada diri ini.

Soalan-soalan tentang masa lalu tidaklah boleh dijawab kerana banyaknya halangan sama ada daripada segi moral dan etika, atau kerana kelompongan kotak  memori. Namun satu persatu menerjah ke dalam minda tatkala melihat coreta-coretan lama.

Terasa ingin menulis satu cerita panjang, namun tidak bermasa. Kompilasi kisah-kisah kecil, certot cerpen cerdek pula terlalu ringkas untuk menerangkan fatwa semasa yang berubah-ubah. Berubahnya fatwa dek kerana minda semakin terbuka, perjalanan hidup dan pengalaman yang membina serta keadaan semasa yang berubah daripada keadaan dahulu.

Tujuan tulisan ini hanya sekadar menulis, dan melihat adakah kelajuan menaip masih sama atau berkurang, dan kebolehan menulis masih ada. Tulisan ini tidak berkepala, tidak berisi dan tidak ada kesimpulan melainkan tulisan yang terbit secara bersahaja dan keluar tiba-tiba.

Maka, berakhirlah.

Selawat dan Salam atas Junjungan Kita Muhammad Sallallahu alaihi Wassallam.

Alhamdulillah, dan alhamdulillah atas setiap sesuatu.

Semoga Allah merahmati umur kita yang lalu dan umur kita yang mendatang.

Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh


Friday, April 28, 2023

Hospital Kluster Pahang Timur

 Salam Alaik.

Hospital Kluster Pahang Timur (HKPTm) merupakan satu inisiatif meletakkan beberapa hospital yang berdekatan lokaliti di bawah pengurusan kepakaran hospital tertieri.

HKPTm merupakan kluster yang terdiri daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Pekan, Hospital Rompin dan Hospital Muadzam Shah.

Logo