Tentang Saya

Salam Alaik...


Bila nama blog ini 'Bila Redz da Tsar Mencarut', jangan sangka bahawa aku betul-betul mencarut. Ini semua hanyalah gimik aku sahaja, supaya nampak macam kejam dan keras. Korang pernah baca tak majalah 'Lanun'? Yea, nama majalah tue majalah Lanun, tapi isi dalamnya terselit unsur keagamaan. Dari situlah terbit idea menamakan blog aku ini dengan nama yang ranggi.

Nama asal blog nie pada awalnya ialah 'Be The Redz', tapi sebab aku mengutamakan bahasa Melayu, maka aku menggunakan nama blog Melayu, nama aku tue bukan melayu la semestinya. Aku pun nak identiti rahsia jugak. Ala-ala nama pena. Faisal Tehrani boleh ada nama pena, takkan aku tak boleh?

Nama sebenar aku Redzwan. Itulah dapat permulaan 'Redz'. 'da Tsar' kat belakang tu sekadar menggambarkan aku macam ketua la, sebab Tsar (dalam inggerisnya Czar) bermaksud pemerintah. Sekurang-kurang nama aku ada maksud, bukan main letak Redz Halloway, atau Redz Copperfield etc. Nampak tak poin aku kat situ? Ada jugak orang cadang kat letak nama Redzwan al-Bahanji (Redzwan dari Pahang), tapi aku taknak, nanti ada orang ingat aku nie syeikh tareqat mana atau terpengaruh dengan Tehrani pulak.

Aku asal dari Jerantut, membesar kat Jerantut. Bila dah besar aku lari pergi Temerloh sebab belajar kat sana. Lepas bertapa kat gua hira', aku pergi belajar kat Shah Alam. UiTM. Korang tau la UiTM, kan? Terkenal kot dengan bapok dan universiti Tanah Melayu. Sebab ramai gile orang Melayu kat sana. Lepas UiTM, aku merantau ke negeri ketamadunan Indus. Aku belajar kat sana dalam bidang Tabib. Bukan ahli Nujum atau tabligh. Walaupun aku belajar kat India yang mempunyai banyak syiah (bukan majoriti), aku tetap tak terpengaruh dengan dakyah mengkafirkan para sahabat. Sekarang aku menghabiskan saki-baki bidang ketabiban di Melaka.

Aku serius tak berkenan dengan MLM. Kau bagi la score A ke, Luxor ke, atau apa-apa je, semestinya aku tolak dengan kat-kata, "nanti la aku fikir". Kau belanja aku minum, aku minum. Kau belanja aku makan, aku makan. Tapi kalau kau paksa aku masuk MLM, kau salah besar! Perniagaan konon. Ptuih! Duit atas angin kot.

Kalau kau ajak aku sembang bab politik dan isu semasa, aku sanggup layan. Cuma aku risau kau orang je yang tak sanggup layan aku. Aku memang minat sembang bab politik. Kalau aku tak jadi tabib, aku dah jadi penganalisis politik dah. Pegh, sembang politik satu perenggan dah cukup buat aku muak. Kalau nak sembang politik dengan aku, biarlah berfakta. Jangan jadi macai.

Kalau kau orang tanya aku bab agama. Biasanya aku akan jawab 'tak pasti' melainkan kalau aku pernah terbaca, atau pernah tahu tentang tue. Kalau kau tanya aku mazhab apa, aku taknak jawab. Yang penting aku bukan Imamiyah, atau Zaidiyyah atau Ismailiyyah. Kalau kau orang tanya aku bab aqidah, aku jawab mudah, "aku masih Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan aku bukan Syiah". Kalau kau nak tanya aku bab Tauhid, maka aku akan jawab mengikut perihal sukatan KBSM Pendidikan Agama Islam.

Aku suka main bola sepak petang-petang. Aku tak hebat, tapi kalau sekadar tendang tue boleh la. Masa di India dulu aku boleh lari laju, sekarang dah gemuk. Posisi aku versatil. Mana-mana boleh kecuali bek tengah. Aku takut tanduk bola.

Pasukan bola sepak yang aku sokong secara tegar ialah Pahang FA, Manchester United dan tim batch aku. Secara separa tegar, aku layan tim Malaysia. Selain daripada tue, aku pun ambil tahu tentang tim Melaka.

Aku boleh faham dan cakap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahasa Arab sikit-sikit je boleh baca. Nak cakap Bahasa Arab, tak fasih. Bahasa-bahasa lain seperti Perancis, Korea dsb aku hanya tahu beberapa perkataan. Tapi aku boleh baca (walau tak faham) ejaan bahasa Russia dan Korea.

Aku kurang meminati muzik. Jika ditanya akan muzik retro atau rock kapak Malaysia, aku tak tahu melainkan yang benar-benar terkenal sahaja. Begitu juga perihal muzik-muzik lain seperti Inggeris, Bollywood dan K-pop. Aku suka tengok 'Variety Show' tak kiralah Korea (Running Man, Cool Kiz) ataupun Jepun (Gaki No Tsukai). Aku jugak layan drama Inggeris seperti The Mentalist, White Collar, Modern Family dan The Big Bang Theory. Drama yang dah tamat aku tak sebut. K-drama aku layan setahun sekali. Drama Melayu aku tak layan sebab aku jarang bukak TV. Filem dan drama Inggeris biasanya aku muat turun daripada torrent.

Aku rasa perkara asas tentang aku korang dah tau. Facebook aku kalau nak 'tambah' ada kat birai kanan blog aku. Kalau korang fikir nak 'tambah', sila 'tambah' sekarang. Nanti bila aku dah jadi terkenal, aku approve kawan-kawan aku je. Twitter aku boleh diikut dengan alamat @RedzDerCzar. Ok? Nak dengar isi hati boleh ikut. Sebab luahan hati aku jarang berkumandang di Facebook atau Blog. Aku takde instagram. Kalau tetiba ada nama aku dalam instagram, itu akaun palsu (bajet terkenal).

Kau nak komen atau taknak komen dalam blog aku, aku langsung tak kisah. Tapi kalau tak puas hati, korang komen je. Aku terima dengan hati yang terbuka. Sebab negara ni negara demo-kerasi, maka kalau komen melanggar etika, aku padam. Faham? Kalau rasa nak komplen tentang isi dan gaya penulisan, boleh komplen dalam komen atau emel je kat aku. Kalau mintak aku buang entri atau edit, aku akan buat jika aku rasakan relevan. Tapi biasanya permintaan Anonymous tidak akan dilayan.

(maklumat sah sehingga 08 Oktober 2014)

Kemaskini 2024

Saya sudah berkahwin pada tahun 2016 dan mempunyai 3 budak kecil (2018, 2020 dan 2022)! Pernah berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 dan Klinik Kesihatan Ketereh (2015-2017), dan kini menetap dan berkerja di Kuantan.

Saya juga pernah mati selama beberapa minit pada 30 Jun 2023. Jangan tanya apa yang saya lalui sepanjang kematian saya, kerana saya tidak akan bercerita.



P/s: Gambar kat bawah kredit kepada Irfan Bakhtiar
Habis