Monday, February 6, 2017

Jika Mampu Aku Menasihati Aku Yang Dulu

Salam alaik..

Jika aku mampu kembali ke masa lalu dan menasihati aku yang dulu, nescaya aku akan pergi ke tahun 2007, dan dengan nada serius aku akan menasihati "pergilah ke UK, dan jadilah cikgu matematik."

Kini, tidaklah aku menyesali pilihan ini. Tapi jika mampu untuk ku ubah, nescaya akan ku ubah. Karier ini karier yang murni namun cara kerja, suasananya agak melemaskan. Aku biasa-biasa sahaja. Hendak mendiagnosa diri sendiri akan kemurungan, masih belum menepati kriteria ICD 10.

Mungkin perasaan ini hanyalah sementara aku masih Doktor Siswazah, di kala masa ruang lingkup ditekan oleh hampir semua lapisan kerja hospital, namun aku rasakan saat aku menjadi Doktor Penuh, tidak kurang juga cabarannya.

Berdepan dengab kerenah pesakit sudah memenatkan, ini pula ditambah dengan gaya kerja dan 'rakan-rakan sekerja' yang persisnya berpegang teguh dengan kata-kata 'kerana nila setitik...'. Kerja sekian lama dengan baik tidaklah dipandang, namun hanya satu silap nan kecil, terus dibambu (bukan pengalaman aku).

Seringkali aku berfikir, hendak sahaja aku menjadi petani, namun tanggungjawab kepada pesakit, keluarga, dan rakan sekerja tidak boleh diabaikan. Memang ramai lagi yang mampu menggalas tugas ini, dan akulah salah seorang daripadanya.

Berapa ramai rakan sekerja aku yang kemurungan? Berapa ramai mereka yang hilang kualiti hidup secara seluruhnya? Masa, hubungan tidak mudah dibeli dengan gaji yang tinggi. RM200 untuk bertugas atas panggilan sehari tidak mampu membayar harga nyawa. Gaji beribu-ribu tidak boleh menggantikan masa bersama keluarga.

Mungkin kurangnya masa aku bersama keluarga kerana aku bertugas jauh, 480km daripada mereka. Namun mereka-mereka yang bertugas berhampiran juga sama. Cuti sehari dalam seminggu (yang tidak semestinya jatuh pada hujung minggu) dan masa 'post call' dihabiskan untuk tidur dan mengembalikan tenaga. Bila masa mahu bersama keluarga beriang ria?

Andai aku mampu menasihati aku yang dulu. Dan aku coretkan ini bukan untuk melarang mereka yang ingin memilih jalan ini, tapi lebih kepada berharap mereka bersedia dengan cabarannya. Karier lain juga tidak kurang cabarannya, namun dari sudut pandang aku, cabaran jalan ini lebih berat.

Aku tekankan tidaklah aku menyesali jalan ini, namun aku berfikir kemungkinan di jalan yang tidak aku pilih. Aku tidak murung, cuma aku bersedih hati. Aku masih aman dan waras dikala menyahut cabaran.

Banyak boleh diubah dalam profesyen ini. Dan generasi akulah yang boleh mengubahnya.

P.s.: Dah hampir dua bulan tak menjejak kaki ke Jerantut.