Salam Alaik...
I
Adat pembangkang mesti menentang,
Hatta yang baik juga disanggah;
Semua ini salahnya sang bintang,
Bulan yang indah menjadi punah.
Hatta yang baik juga disanggah,
Kecil si hati yang dahulu besar;
Pecahnya hati menjadi parah,
Kerana mulut sangatlah kasar.
Kecil si hati yang dahulu besar,
Kerana luaran membalut yang dalam;
Hilang sudah cahaya bersinar,
Pabila gelap ditelan kelam.
II
Bulan tiada malamnya kelam,
Bintang menyinar menabur bakti;
Jiwa yang indah ditanam dalam,
Kerana kecewa melanda Hati.
Pandang emas tolaklah bakti,
Biarlah jiwa menjadi sengsara;
Manakan tidak kecewa hati,
Si tangan ini punya angkara.
III
Tasik Chini mitosnya naga,
Kini sudah semakin dilupa;
Bila nafsu tidak terjaga,
Maka padah datang menimpa.
Tanam bunga di dalam pasu,
Pasu indah beli di Cina;
Jagalah jiwa jagalah nafsu,
Kerna nanti badan merana.
IV
Cakap malam biar berbisik,
Cakap siang biar bermadah;
Jangan kita suka merisik,
Kelak nanti mengundang padah.
Bunga raya sudahlah layu,
Pabila daun menjadi tua;
Hati mana tidakkan sayu,
Pabila durjana angkara jiwa.
Pergi ke pasar mecari kain,
Sangatlah elok jika sutera;
Jangan disalah si orang lain,
Kerana diri membuat angkara.
IV
Kalau takut mengundang bahaya,
Jangan berani menunggang kuda;
Hati ini tidaklah terdaya,
Menahan habis sesal di dada.
Walau puas mencari bahan,
Tidak juga kujumpa bata;
Walau puas ku tahan-tahan,
Pecah jua air di mata.
V
Jangan diidam si buah duku,
Nanti kecewa dimakan haiwan;
Jangan begini wahai sayangku,
Sayangi keluarga ingatlah kawan.
Buah nenas resminya melekit,
Tidak terlawan si buah durian;
Bukan seorang bukan sedikit,
Masih ramai sayangkan bulan.
p/s: Sejak kebelakangan nie dapat pulak mood nak berpantun... Jaga tradisi dan seni orang lama... :)
"Ista'inu bi s-Sobri wa s-Solaah. Inna-Llaha ma'a s-Sobirin"