Saturday, February 22, 2014

Aku dan Bahasa Melayu.

Assalamualaikum

Sejak belajar di sekolah perubatan ini, saya sudah semakin jarang menggunakan bahasa Melayu yang sempurna daripada segi tatabahasa dan kosa kata. Kadang-kadang saya membalas pendapat di laman sosial menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul atau terus menggunakan bahasa Inggeris.

Saya lima tahun yang lepas pastinya akan menempelak perbuatan saya yang sekarang. Kecintaan terhadap bahasa Melayu yang sebenar sudah pudar ditelan silibus pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa rojak dan pasar dalam penulisan saya sekarang jelas menunjukkan betapa saya sudah berubah.

Lima tahun yang lepas pastinya saya tidak berkenan dengan seseorang Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi sesama bangsa. Namun dalam situasi yang sudah berubah sekarang, saya merasakan perkara itu tidak dapat dielakkan. Bagaimana saya membentangkan keadaan pesakit kepada doktor pakar dalam bahasa Melayu yang sempurna? Saya mungkin boleh berkata, "pesakit berumur 40 tahun dan datang ke hospital dengan simptom batuk dan demam selama seminggu. Saya menjangkakan pesakit menghidap radang paru-paru". Namun, adakah doktor pakar itu mampu memahami saya?

Kosa kata bahasa Melayu saya juga menurun dengan mendadak. Hal ini mungkin disebabkan oleh kurangnya latihan dan komunikasi yang serius dalam bahasa Melayu. Penulisan dalam bahasa rojak dan pasar juga lebih mudah kerana singkat dan mudah difahami. Natijahnya, bahasa Melayu hilang seni, dan hilang kekuatannya.

Andainya saya diperlukan untuk menulis sebuah karangan dalam bahasa Melayu yang menepati piawaian tatabahasa dan kosa kata SPM sekarang, saya yakin saya boleh menulis dengan baik, namun tak sebaik sebelum saya melanjutkan pelajaran ke India.

Minggu lepas, saya membaca kembali karangan yang saya tulis untuk peperiksaan percubaan SPM yang bertajuk: Faktor-faktor Seseorang Merokok dan Cara-cara untuk Menurunkan Jumlah Perokok. Karangan yang diberi markah sebanyak 96/100 oleh guru cemerlang bahasa Melayu (Cikgu Maisarah Musa) hanya mempunyai SATU kesalahan tatabahasa tetapi cara pengolahan ayat jelas tidak menarik bagi saya.

Pada masa yang akan datang, saya akan mencuba untuk menulis dengan bahasa Melayu yang KURANG kesalahan tatabahasa dan penggunaan kosa kata yang sesuai. Penulisan dalam bahasa pasar lebih mudah, dan senang difahami. Walaupun begitu, kesenian dan keindahan bahasa Melayu harus dikekalkan tanpa mengorbankan matlamat utama dalam menulis dan berkomunikasi iaitu 'kefahaman'.

Bak kata pujangga: 'bahasa jiwa bangsa'. Bangsa Melayu kini hilang kemelayuannya sedikit demi sedikit dek kerana kehadiran sistem mesej singkat (SMS) dan laman sosial yang digunakan oleh golongan muda. Penggunaan kata-kata yang disingkatkan, selain ejaan-ejaan yang pelik serta bahasa rojak menjadi pertuturan dan penulisan harian golongan muda.

Gaya-gaya bahasa seperti ini mencorak jati bangsa generasi sekarang. Jika perkara ini tidak dibendung, nescaya keindahan bahasa Melayu dan penggunaan bahasa Melayu dengan tatabahasa dan kosa kata yang tepat akan hilang dan hanya dikuasai sebilangan kecil orang Melayu. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan satu ungkapan yang tepat untuk menggambarkan peri pentingnya pendidikan bahasa kepada generasi sekarang.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dengan cara menggunakan bahasa Melayu yang tepat daripada segi tatabahasa dan kosa kata. Kita juga hendaklah mendidik generasi sekarang dan yang akan datang supaya menggunakan bahasa yang pernah menjadi bahasa antarabangsa ini. Jikalau kita memandang enteng akan penggunaan bahasa yang tepat, nescaya tidak lama lagi bangsa Melayu akan menjadi bangsa rojak.

Tuesday, February 4, 2014

"Significant Life Event"

Salam Alaik..

4 Februari 2011, 3 tahun lepas.. Beberapa hari sebelum UNIS tahun kedua.. Tidak mempengaruhi keputusan UNIS namun menjadikan usaha ke arah UNIS itu sia-sia..

Mengubah banyak perkara dalam hidup ini..

Heh..