Wednesday, February 5, 2025

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah CERPEN 

ONE LAST PATIENT...

Jalan raya daripada rumahnya di Indera Mahkota 15 lengang menuju ke Hospital Besar Kuantan. Ramai penduduk Kuantan yang masih bercuti kerana Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada hari Khamis memungkinkan cuti hujung minggu yang panjang. Redz bergerak perlahan menuju ke tempat kerja, dengan sebatang rokok menyala di luar tingkap kereta. Sampai di tempat parkir kebiasaannya, masih awal. Jam menunjukkan pukul 7.40 pagi, masih sempat untuk melepak sambil minum kopi sebelum memulakan rondaan pesakit. Biasanya rondaan dijalankan berdua, namun rakannya yang sama-sama meronda di periphery iaitu seluruh Hospital selain wad perubatan dan wad nefrologi, turut bercuti. Bermula daripada tingkat satu, perlahan-lahan dia memulakan rondaan.

Dadanya mula terasa disiat-siat apabila tiba di tingkat 5. Perasaan ini sudah seminggu menghantui dia. Kadang-kadang ada, dan selalunya tiada. Habis sudah Gaviscon Double Action, Omeprazole 20mg, Susu Segar dan sebagainya, namun sakit hirisan di ulu hari itu tidak hilang sempurna. Ada juga dalam kepalanya ini ialah serangan jantung, namun tidak diendahkan kerana tidaklah sakit ketika berlari atau berjalan, malah lebih terasa apabila berada dalam keadaan rehat. Semalamnya, boleh sahaja dia membantu kariah Masjid menumbangkan beberapa ekor lembu dan membantu melapah sedikit sebelum terasa pedihnya ulu hati. Usai mengeluarkan perut dan membantu sedikit untuk melapah, dia pun bergerak pulang ke rumah tanpa menunggu daging korban. "Kalau nak bagi, tak payah tunggu pun takpe. Kalau tak dapatpun, takde masalah."

Biasanya pedih itu akan hilang selepas beberapa minit. Pedih itu tidak akan lama. Namun selesai melihat pesakit di tingkat 5, pedih ulu hati itu tidak habis lagi. Malah makin terasa kuat disiat-siat. Digagahkan lagi diri menaiki tangga. Terus ke tingkat 7. Sampai di tingkat 7, dia berhenti sebentar di hadapan papan putih yang menyenaraikan nama-nama pesakit. Ada seorang pesakit yang hari sebelumnya berada di CICU tingkat 3 namun sudah dipindahkan ke wad tingkat 7. Dia menarik nafas panjang. Kali ini kombo dengan jantung yang berdebar. Dia merasakan ini perkara baru yang signifikan. Pedih ulu hati dan jantung berdebar, barangkali serangan jantung, barangkali pendarahan dalam perut.

Dia sudah berjanji dengan isteri dan anak-anak, seusai kerja akan terus bergerak pulang ke kampung. Mereka sudah balik lebih awal memandangkan cuti yang panjang. Tinggal seorang diri di rumah bukanlah satu yang ganjil, malah kadangkala memang didamba. Kebebasan, masa lapang, Netflix and Chill. Baju-baju raya sudah disimpan kemas dalam but kereta. Kiranya bila dah pukul 5, akan terus bergerak pulang ke kampung tanpa singgah ke Indera Mahkota semula. Ada photoshoot juga katanya di sana, jadi kepulangannya amatlah dinanti.

Sambil dia mengemaskini senarai pesakit di periphery, dan jam menunjukkan pukul 10.35am, dia mula menaip juga kepada seorang rakan sekerja - Nan. "Aku nak pi ED jap, gastrik teruk nau. Ni list passover, dan ada satu prosedur di CCU femoral catheter," tidak dihantar, namun disimpan. Kerana ada seorang lagi pesakit yang tinggal untuk dilihat sebelum kononnya mahu pergi ke Kecemasan. Setelah mengenalpasti kedudukan pesakit, Redz melangkah masuk ke dalam wad itu. Dia senyum ke ara seorang jururawat yang sedang menulis laporan di mejanya. Redz mengambil fail pesakit dan membukanya.

bersambung.....

Friday, January 17, 2025

Menjaga Kerahsiaan: SULIT DAN PERSENDIRIAN

 Salam Alaik..

Dalam kerjaya yang bersifat professional ini, memang diajar sejak daripada awal bahawa kerahsiaan adalah teramat penting. Terutamanya kerahsiaan berkaitan pesakit dan penyakitnya. Secara umumnya seseorang doktor, tidak boleh dengan sengaja tanpa kebenaran pesakit untuk memberitahu diagnosis kepada pihak ketiga. Hatta, untuk menuntut insurans sekalipun, pesakit perlu memberikan kebenaran kepada syarikat insuran/takaful untuk pengeluaran laporan perubatan pesakit, walhal hal itu untuk pesakit itu sendiri.

Sebagaimana itu, maka hal ehwal pesakit mestilah kekal dalam rekod fail pesakit, dan antara perawat dan pesakit serta keluarganya sahaja.

Kalau ikutkan, banyak benda yang boleh dibawangkan. Kalau ingin berkongsi cerita sebagai ibrah, tanpa menyebut nama spesifik maka dibolehkan. Namun jika secara spesifik, itu adalah haram.

Begitu juga, jika ada seseorag rakan bertanya kepada aku tentang seseorang pesakit (kawan juga), maka aku akan elakkan daripada menjawab kerana itu ialah kerahsiaan. Kenapa masuk wad, bila keluar wad dan sebagainya. Contoh, jika Abu masuk wad kerana jangkita kuman dalam paru-paru dan pada masa yang sama tetiba kita tahu dia juga positif HIV, maka JANGAN sesekali memberitahu diagnosis itu TANPA kebenaran pesakit. Jika diasak pertanyaan, cukup katakan jangkitan kuman dalam paru-paru. Selebihnya biarlah tanya tuan badan sendiri.

*****

Bila sebut tentang penyakit, aku sendiri pun berpenyakit. Dan aku sangat tidak suka bercerita tentang penyakit aku melainkan kepada orang tertentu sahaja. Hatta kalau disebut sebut, aku agak tidak selesa. Cukuplah mendoakan kesihatan dan kesejahteraan, jangan throwback jauh sangat. Tu sebab aku kalau orang cerita tentang kisah aku dulu, aku diam je tidak menambah dan tidak mengurang. Lagipun masa tu aku mana sedar apa-apa, aku pun tak boleh nak sahkan kebenaran atau tidak. Kalau nak cerita di belakang aku no problem. Asalkan aku tak dengar je. Hahaha. Hatta masuk wad untuk pemeriksaan lanjut pun aku buat diam-diam je. Aku malas nak melayan soalan.

Hal ini spesifik untuk aku je la.

Ada juga yang suka heboh hebohkan, dan suka beritahu orang yang dia sakit. Kena beritahu dalam grup whatsapp, kawan-kawan yang dia telah didiagnosis penyakit sekian-sekian. Suka dilawati dan diziarahi. Tidak mengapa, takde salah pun. malah lebih bagus sebab ramai yang akan doakan. Tapi bukan style aku. Aku suka dilihat sihat, dan segar. Tu sebab cruciating chest pain pun masih boleh round kat hospital naik tangga, senyum kat staf dan sebagainya.

*****

Dah.