Wednesday, August 13, 2025

Repekan Random

 Qaul Jumhur VS Qaul Minoriti


Semasa nak menukar minyak enjin Modenas KRIS MR3, aku cuba membuka palam penutup minyak yang berada di bahagian bawah motor itu. Perkara yang seharusnya mudah, ternyata susah pada petang itu. Sepana bersaiz 17 tu direngkoh kiri dan kanan, cuba untuk melonggarkan keketatan yang melindungi enjin. Mencari kekuatan yang seimbang supaya cukup kuat untuk membuka, dan tidak terlalu kuat sehingga merosakkan alurnya.


Asasnya mudah - membuka sesuatu skru mengikut jumhur ialah secara memusingkan lawan jam. Ah nampak mudah, bukankah hari-hari kita melihat jam? Tapi kekeliruan di sebalik palam minyak hitam ini bukan sekadar lawan jam yang biasa. Kita kena berfikiran bahawa kita ialah muka jam, dan bukan daripada kaca mata orang yang melihat jam. Perspektif yang berbeza akan menimbulkan kekeliruan dalam bidang ilmu yang jarang-jarang dipraktikkan; dan dalam kes ini: 6 bulan sekali.


Ketika cuba personifikasikan jam: yakni aku sebuah jam - untuk memilih pulasan sepana ke kiri atau ke kanan, fikiranku melayang. Adakah aku sebuah jam konvensional yang bernombor tulisan rumi, atau aku ialah jam yang bertulisan Arab? Kerana ternyata menurut pemerhatian aku, jarum jam bernombor Arab biasanya berpusing melawan arah jam konvensional terutamanya jam-jam yang dibawa pulang daripada Makkah. Namun jam besar di Menara Jam Makkah, jarumnya menurut arah jam konvensional seiring dengan nombornya bertulisan Roman.


Ah sudah.

Teringat pula di dalam Masjid al-Haram ada juga jam yang digantung banyak-banyak menunjukkan waktu semasa dan waktu-waktu solat. Namun aku tidak dapat mengingati adakah jam analognya berpusing ikut arah jam konvensional atau sebaliknya? Korek pula gambar-gambar semasa di Mekah dulu kot-kot ada gambar jam, namun tidak berjumpa. Barangkali tidak ada yang pelik (menurut arah jam konvensional), itu sebab tidak diingati.


Jadi, bila dikatakan 'arah jam', maka boleh kita simpulkan bahawa arah jam berdasarkan perspektif orang yang melihat jam, dan jam itu ialah jam analog konvensional. Namun jika seseorang menggunakan jam bernombor Arab yang mungkin jarumnya berpusing melawan arus, maka arah jam mereka mungkin berbeza. Pada perspektifnya, itu ialah betul. Jika aku sebuah jam, dan memandang jarum dengan perspektif muka jam, maka perspektifnya bagaimana? Daripada arah jam sahaja kita boleh mengeluarkan pelbagai pandangan. Namun yang paling aula, ialah pandangan jumhur - arah jam ialah arah jam yang konvensional.


Adakah pandangan lain salah? Tidak juga. Benarlah pandangan itu untuk perspektif yang tersebut. Tapi membuat pandangan daripada satu perspektif tanpa mengambil kira pandangan dan pengalaman orang lain, serta mengabaikan adat budaya sesuatu masyarakat dan tempat - maka itu ialah tidak tepat. Fiqh al-mizankah ini?


Perspektif.

Matahari bergerak, bulan bergerak, bumi bergerak. Siapa yang mengelilingi siapa? Itu semua ialah perspektif.


Matahari dan bulan bergerak mengelilingi bumi ialah perspektif awal manusia melalui pandangan mata secara kasar. Namun apabila bermain dengan matematik, astronomi dan sebagainya ternyata jika kita melihat daripada 'atas' sistem solar, bulan mengelilingi bumi manakala bumi mengelilingi matahari. 


Arah jam atau lawan jam bumi bergerak mengelilingi matahari?

Daripada bumi, kita akan nampak matahari yang mengelilingi bumi.

Daripada utara bumi di luar sistem solar, kita akan nampak bumi mengelilingi matahari melawan arah jam.

Manakala jika kita melihat daripada selatan bumi di luar solar sistem, kita akan nampak orbit bumi mengikut arah jam.


Arah jam yang mana satu? Orang yang melihat jam atau sebagai muka jam? Jam rumi atau jam bertulisan Arab?


Penyudahnya nak tukar minyak hitam Modenas Kriss MR3 ditangguhkan kepada petang esoknya memandangkan matahari dah hampir terbenam di ufuk barat Kuantan.


#falsampah

#merepek