#INI IALAH FIKSYEN
MUQADDIMAH
Tubuh ini bukanlah tubuh yang
tegap. Kurus kering namun sedikit tinggi berbanding majoriti yang lain.
Berkulit sedikit gelap kerana sering berjemur di bawah matahari. Muka cengkung,
hidung yang sedikit besar. Mujurlah rambut lurus, dan halus. Sekali pandang,
bukanlah ciri-ciri lelaki idaman yang kacak dan bergaya. Hanyalah seorang
lelaki berwajah awam, yang mungkin lebih sedikit muka boleh diterima berbanding
separuh populasi spesis bangsa yang lain. Kiranya, tidaklah ada yang boleh
dibanggakan sangat, dan kalau dalam hirarki natural selection, mungkin
pertengahan. Tidak ada dalam pemikiran ini mendapatkan seseorang yang cantik,
comel sebagai pasangan.
Sebelum berangkat pergi, ada la
seorang Wanita yang juga cantik ditinggalkan. Perhubungan yang ada kala baik
ada kala suram, serius dan tidak serius. Ada dan kadang-kadang tiada. Tidak ada
kekuatan atau kehendak yang lebih sekadar asalkan ada. Namun cukuplah buat
modal berborak dan sebagainya, supaya ada modal untuk merindui dan dirindui.
Dan sejarah serta bab baharu pun bermula setelah tiba di sini.
Kiranya tiba seperti kosong.
Memori di Persediaan selama setahun setengah dulu diabaikan kerana tidak
signifikan dan memberikan satu penampar dalam hidup Ketika teraba-raba dan
tercari-cari gaya hidup dan arah jalan.
Diberikan tempat yang menarik
dalam dewan syarahan, bersebelahan dengan seseorang yang cantik. Memang, memang
sudah diketahui bahawa orang itu out of my league. Sangat. Jadi, sekadar
berbual sebagai teman semeja dan sekelas. Namun setiap saat yang berdetik,
setiap jam yang berlalu, setiap hari yang berganti mencetuskan perasaan yang
semakin bertambah. Sekali lagi, tamparan kendiri supaya beringat tentang status
sendiri.
Manakala seorang itu sudahlah
berpunya, yang mempunyai pun berbadan tegap, bermuka kacak dan berkulit cerah.
Pemain ragbi, hidung sedang molek dengan mukanya. Takkanlah pacal nan hina ini
berkebarangkalian yang secubit apatah lagi nan tinggi. Jadi perasaan itu harus
disimpan kemas-kemas dan dikawal supaya tidak keterlaluan.
Pada suatu pagi, maka aku dan dia
merancang untuk berjalan. Sekadar antara kawan. Aku menunggang motor, dan dia
membonceng daripada asrama menuju ke pantai. Jantung ini laju berdetak, namun
tidak melampau kerana masih menjaga batas. Sampai di pantai hanya sekadar
melayan pantai, tidak ada kurang tidak ada lebih. Borakan pun biasa-biasa
sahaja, awkward. Biasalah aku jarang sekali berdua Bersama perempuan
bukan mahram, walaupun hanya di pantai.
6 bulan di bumi ini, akhirnya
tiba masa pulang ke kampung. Dikisahkan dituliskan bahawa berpulanglah kami
berempat, aku, dia dan dua orang lagi. Perjalanan itu tidak lebih hanyalah
perjalanan empat sekawan pulang ke kampung. Namun dalam perjalanan itu pelbagai
aktiviti, borakan yang menarik. Sikit-sikit lama lama berbunga. Namun sekali
lagi, keindahan itu harus dibendung habis-habisan. Setibanya di transit, dia
Bersama dengan kekasihnya, manakala aku dan dua lagi meneruskan perjalanan.
Maka tamatlah fasa pertama.
DUA
Kembali semula ke sini, ya masih
sama kedudukan di dalam kelas. Masih orang yang sama di sebelah kiri dan kanan.
Perasaan yang dibendung pun masih dibendung. Tidak ada beza satu dua atau tiga.
Muka masih lagi cengkung, kulit mungkin makin gelap dek kerana panasnya kampung
dan penuh aktiviti di luar. Boraknya borak biasa, guraunya gurau biasa.
Hidup ini penuh dengan kejutan.
Aku, dia dan dua orang yang lain berjalan pula ke ibu negeri yang kira-kira
berjam-jam menaiki kenderaan awam. Tujuannya ialah dua orang lagi yang seorang
ingin mencari kamera dan seorang lagi ingin berjumpa rakan lama. Aku dan dia
hanyalah menumpang meneman. Perjalanan inilah bermulanya perasaan tidak
dibendung. Semasa dalam kenderaan awam, maka dia mula selesa. Dan kadangkala
dia tidur berbantalkan bahu aku.
Sebagai seorang gagak, aku tidak
tahu bagaimana mahu memberikan respon dalam hal ini. Hendak ditolakkah? Tapi
haruslah aku menikmati setiap bait-bait ini. Takkanlah merak kayangan menumpang
sayap sang gagak ditolak.
Tidak tahu, apakah statusnya.
Namun hati ini masih menolaknya dan dalam masa sama menariknya. Memang seronok
berteman, namun teman itu berpunya. Maka labelan teman tapi mesra itu tepat
ketika itu.
Tidaklah mudah untuk menghalang
perasaan, dan etika, dan moral. Semuanya bermain dalam minda dan segala macam
argumen baik atau buruk dikira. Indahnya, dan pedihnya bermuka-muka. Sekali
lagi, ini ialah perkara nan signifikan dek kerana bezanya darjat, status dan
penerimaan. Barangkali bagi dia, aku hanyalah penumpang sementara dia
berseorangan di sini. Namun bagi aku, dialah hampir segalanya di sini.
TIGA
Aku, dia dan lapan yang lain
mengorak Langkah berjalan ke utara negara. Trip pelancongan yang mengambil masa
dua minggu. Ketika ini cinta sudah berputik, namun masih belum diterjemah.
Sekadar ada dan tiada seperti biasa. Gambar diambil melalui kamera banyaknya
gambar dia. Sekadar memendam rasa supaya menjaga pelbagai aspek sini dan sana.
Etika, agama, common sense dan sebagainya. Selagi gagak dan merak
menjadi jalan cerita, selagi itulah cerita ini masih ada penghalang.
Tiba di satu tempat nan lapang,
dipenuhi pasir-pasir nan halus, kami semua bergembira. Barangkali aku dan dia
sering berbual bersama. Apa yang dibualkan hanyalah topik-topik halus. Namun
secara kimianya, reaksi semakin hangat walaupun luarannya nampak tenang.
Gurau-gurau halus menjadi permainan. Di sini, kami menyewa van besar, dan
secara azalinya tiba-tiba aku duduk di sebelah dia.
Perjalanan diteruskan ke tanah
tinggi pula. Kerana kesejukan maka aku berikan pinjam jaket aku kepada dia. Act
of gentleman barangkali. Aku pun ketika itu walaupun keding, tidaklah
terimpak sangat dengan kesejukan. Setiap hari yang berlalu dalam perjalanan ini
menguatkan lagi rasa cinta dan kasih. Makan bersama, duduk bersebelahan,
bergurau bersama, dan tidur bersebelahan dalam van. Mujur bilik berlainan!
Sedikit sebanyak perjalanan ini membuka satu kotak yang aku tanam dalam-dalam,
yang aku simpan dan cuba elakkan.
Hampir ke penghujung perjalanan,
kami singgah di satu bandar lambang cinta abadi. Dan sekali lagi banyak gambar
dia yang aku ambil dan simpan, malah ada juga gambar kami bersama berdua di
hadapan monumen cinta abadi itu. Masih menjaga batas-batas, namun dalam hati
aku jelas sekali, aku sudah tersangkut dek fitnah dunia yang mengindahkan.
Pada esoknya, dia kena pulang ke
kampung kerana ingin meraikan ulang tahun kelahiran bersama teman lelakinya
(ya!). Namun malam itu aku mencari dia meminta gambar-gambar yang dia ambil
sepanjang trip ini, untuk aku kompilasikan dan simpan dalam cakera keras. Dia
menyerahkan pena pemacunya, dan aku menyedut segala gambar yang ada. Dan di
sini, aku jumpa sesuatu yang tidak sepatutnya aku jumpa. Sedih, dan kecewa.
Namun aku poker-facekan sahaja. Aku berjuma dengan dia di tangga hotel
itu. Sambil menghadap bilik 306, aku dan dia berdua berbual kecil.
Aku mengekspresikan secara lembut
bahawa aku akan bersedih dan merindui dia bila dia akan pulang ke kampung.
Namun aku kawal juga emosi supaya tidaklah terlalu desperate. Aku juga
kawal emosi dan perkataan walaupun aku sedih dan kecewa sejam sebelum itu. Kami
berbual kosong, dan aku mungkin juga menjadi sweet pada malam itu.
Apabila ingin mengucapkan selamat tinggal, dia layangkan satu ciuman ke pipi
aku sebelum dia laju-laju bergerak balik ke biliknya. Jantung aku terhenti.
Masa juga terhenti. Aku duduk di tangga itu sambil otak memutarkan segala
sesuatu. Termenung, terkesima, adakah ini kecewa, sedih atau bahagia? Seronok,
sedih, kecewa, bahagia, rindu pada hari yang sama!
Perjalanan aku dan tujuh orang
yang lain sudah berbeza suasananya. Mungkin bagi orang lain, sama. Bagi aku,
berbeza. Jauh bezanya, dan kekosongan.
Itulah kisah TAHUN PERTAMA. Tahun
mencuba untuk menolak rasa. Tahun cuba untuk mengelak murka. Tahun untuk
menjaga.
EMPAT
Sekembalinya dia ke sini semula,
aku dan dia seperti biasa. Tidaklah berpanggil dengan gelaran apa-apa melaikan
hanya teman. Sementelah dia pun baru pulang berjumpa dengan kekasih sebenar
dia. Aku macam biasa, bagai pungguk rindukan bulan, menunggu bulan jatuh ke
riba. Selain berbual biasa dalam kelas (dia masih di sebelah aku – itulah
sistem di sini) duduk di tempat yang sama sahaja. Selalu juga berhubung melalui
Yahoo Messenger ataupun Skype. Masa dalam talianlah lebih berbunga-bunga, di
hadapan kena cover. Dan sekali lagi juga, aku keliru. Siapakah dia untuk
aku. Dan aku rasakan dia lebih keliru siapakah aku untuk dia?
Pada suatu malam minggu, aku dan
dia kebosanan. Teman serumah dia semua keluar berjalan. Tinggalkan dia sendiri
di rumah. Aku berseloroh mesej dia, “jom la kita tengok movie.” Dia pun
setuju! Ah sudah. Aku tidak bersedia dengan jawapan itu. Tapi aku iakan sahaja.
“Jom tengok kat rumah aku la,” kata dia. Aku lagi tak bersedia dengan jawapan
ini. Setelah setting masa, aku pindahkan data dalam pena pemacu, aku
terus bergerak menunggang motor ke sana. Kami pun menonton cerita, barangkali
The Exorcist. Namun malam berlabuh awal kerana ternyata walaupun seram,
tidaklah menarik. Dia mengajak aku tidur di biliknya. Aku pun tanpa banyak soal
setuju dengan cara diam. Namun itulah sahaja. Tidak ada lebih tidak ada kurang.
Bulan-bulan mendatang perkara ini
diteruskan lagi. Datang, dating, tengok movie, berborak dan tidur
bersama – namun ditekankan, tidak lebih dan tidak kurang. Subuh aku gerak
keluar balik ke rumah aku sendiri, dan kekadang singgah di masjid untuk solat
Subuh. Perasaan sayang itu ada, dan aku menganggap ini ialah satu perhubungan
romantis, namun aku masih ada sekelumit iman untuk elak membawanya ke next level.
Kekadang ada juga berpelukan, bercumbuan, namun tidak akan sampai ke tahap yang
tidak ada u-turn. Ah, zaman berlalu. Dan aku masih secara umumnya
teruna.
LIMA
Kekerapan aku ke rumah dia mungkin
seminggu sekali atau dua kali. Hari hari aku terasa indah. Dan aku masih
keliru, siapakah aku di sisi dia, dan siapakah dia di sisi aku. Tiba masa cuti
semester, aku pun pulang ke kampung, dan dia pun sama. Alkisahnya kisah aku dan
dia diketahui oleh teman lelakinya. Teman lelakinya pun telefon, mesej dan
sebagainya menangis, marah dek kerana perbuatan aku. Aku senyum sinis. Ya, mungkin
aku sepertinya merampas, namun aku masih ada inhibition. Aku memohon
maaf, sebagai gentleman dan berjanji tidak akan buat lagi.
Sepulangnya kami ke sini, aku
tidak lagi kerap ke sana. Aku cuba sekali lagi untuk menahan diri sebagaimana
aku menahan diri pada setahun pertama. Kami berhubung seperti hanya rakan
biasa. Namun jelas aku dan dia kesunyian juga dan merindui perhubungan kami
yang dulu. Akhirnya kami kembali. Namun di situ ada kesilapan. Apabila Tuhan
dah tutup aib, janganlah diteruskan akan dosa. Aku tidak mengerti sehinggalah
satu pagi di hari ahad, aku dan dia menjadi buah mulut manusia setempat.
Banyak fitnah yang aku dan dia
lakukan, namun tidaklah sampai setara dengan tuduhan yang berlegar. Aku masih
menjaga sekelumit iman yang ada ini. Aku masih menjaga perbatasan terakhir.
Yang aku yakin orang lain susah untuk jaga. Aku jaga elok-elok sempadan akhir
ini supaya aku ada jawapan kelak. Namun bukan senang meyakinkan manusia lain.
Bagi mereka, bila bersama, mesti bersama. Walhal, tidak pernah setahun aku dan
dia, kami melintasi sempadan itu.
Aku bersyukur aku ada iman
senipis bawang itu berbanding tidak ada iman langsung.
Dan itulah tahun kedua aku, tahun
yang penuh kebahagiaan dan kesenangan dan kekeliruan.
ENAM
Memasuki tahun ketiga. Aku berduka. Sedih.
Kebodohan dan ketamakan sendiri. Mengetahui dia lebih banyak terimpak memberikan
kesan yang lebih dalam kepada aku. Aku sedih dalam sendirian. Bermandikan air
mata sentiasa, setiap malam dan dalam pancuran air. Namun aku tidak boleh melakukan
apa-apa. Aku bersedih. Sendirian.
Dia, mungkin mengambil masa
berbulan untuk kembali memijak bumi. Setiap kali aku terserempak dengan dia
daripada jauh, jantung aku berhenti, sebagaimana berhenti jantung aku dahulu di
tangga hotel. Cuma kali ini aku tak mampu menghadam dan melayan perasaan, aku
hanya mampu lari daripada keadaan. Daripada tahun ketiga, keempat dan kelima,
apabila bersua dia daripada jauh, aku terus terkesima, terdiam, bersedih dan
merindui. Itulah, tahun kesedihan.
Mujurlah aku dan dia sudah
berbeza batch. Lebih mudah untuk berurusan. Andai kata aku dan dia masih
bersama satu batch, dan dia masih di sebelah aku, bagaimana aku ingin hidup
dalam keadaan berdebar-debar?
KONKLUSI
Selepas peristiwa itu, setelah
dia bangkit semula, dia berubah 180 darjah menjadi lebih baik, bersama dengan
usrah dan menuntut ilmu dan beramal dengannya. Dia bertudung labuh, memakai sarung tangan panjang (handsock)
dan menjadi lebih baik sehingga kini insyaALlah. Aku pula turun dan naik iman.
Ilmu dah semakin matang, amal mungkin konsisten. Kalau ada kebaikan daripada
perhubungan aku dan dia, aku akan pandang perubahan pada dia sekarang. Kalau
tidak berlaku peristiwa yang memisahkan kami, aku tidak tahu di mana aku
sekarang, dan di mana dia.
MONOLOG
Barangkali jikalau tidak berlaku peristiwa di pagi ahad itu, aku dan dia akan terus terjerumus ke dalam lembah yang tidak ada patah balik. Dan selepas itu, sesudah dia pulang ke kampung bersama teman lelakinya, aku pula terus sendirian, melayan hati yang lara. Dan kedua-dua penyudahnya, tidaklah baik bagi aku daripada segi perasaan.
No comments:
Post a Comment