Wednesday, October 31, 2012

Peleraian

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah sajak yang dibaca pada Malam Bacaan Sajak Atas Atap 2012 di Jerantut..



Menerong Belantik,
panahnya tepat ke dada.
Membunuh saki rasa,
yang pernah dalam jiwa

Panahnya menyasar bulan,
namun hatiku terasa pedih,
mengharap Pari datang menghalang,
namun hilang di balik bayang..

Di bawah darah purnama,
ku baca puisi lara,
yang lama telah ku karang,
seperti suatu gurindam perang

Melayang mata jauh berbatu,
tika hati dihempas jatuh,
berderai telah sekian lama,
namun sambungnya tidak utuh..

Di balik kibas sayap sang kelawar,
ku gagah kaki berdiri,
berlatar bandarku ini,
memaniskan malam yang tawar..

Bayu lembut yang biasa sejuk,
malam ini membawa bahang,
meniup keringat yang mengalir dari setiap liang,
hilang dalam minda melangut..

Merah jambu warna baju,
tidak seceria mainan mata, 
yang kuyu layu menahan sayu, 
dan hati yang asyik meronta..

Luaran fizikal membawa lakonan semata,
senyum melirik dalam paksa, 
seindah basilika terbina, 
namun doktrin dalamnya palsu..

Hilai tawa sorak sang pendengar, 
membawa garam segenggam, 
kepada luka-luka yang lama, 
yang tidak bisa menjadi parut..

Kepul-kepul asap meredah angkasa, 
tanda jiwa mencari tenang,
ketika memoir silam menjelma, 
cubalah jangan dikenang..

Kertip-kertip terbakarnya cengkih, 
membawa sejuk ke dalam dada, 
yang sarat dipenuhi kehitaman, 
menunggu masa untuk rebah..

Alunan biasa cengkerik berkrik, 
persis mainan lagu rindu, 
pabila hati mendamba mainan jiwa, 
belaian jiwa yang lama..

Dan kepul-kepul awan, 
menutup baki cahaya hiba, 
menutup sedih sang purnama, 
yang awalnya tadi dipanah duka..

Sungguh! Puisi ini puisi karut, 
dikarut dengan mainan jari, 
dari arahan minda bercelaru.. 
Apa bermain di jiwa, dikarang tiada tapis..

Indah, huduh, carut, maki caci;
 terpulang kepada pendengar, 
yang punya akal sendiri.. 
Moga alamku menjadi sempadan..

Ku tamatkan kisah ini, 
dengan satu harapan, 
yang telah lama ku harap,
 namun tidak pernah ku kecap..

Agar hidupku kembali terisi, 
dengan cerita sakti, 
dan berbahagialah diri ini, 
sehinggalah ke alam abadi..

Saturday, October 13, 2012

Tiada Kata Secantik Bahasa

Salam 'Alaik...

Berada di puncak Gunung Ledang minggu lepas memang membuatkan aku rasa tenang.. Melihat alam, dan berjalan di tengah kehijauan hutan membuatkan aku lupa masalah biasa aku; apa yang aku ingat hanyalah kepenatan dan keindahan.. Sampai di puncak, segala penat hilang sekelip mata, puas rasa jiwa dengan kejayaan yang bagi aku agak besar..

Begitulah resminya..

Bilamana kita cuba mencapai sesuatu dengan penat lelah dan usaha yang gigih, kejayaan yang hadir selepas itu memang mengasyikkan.. Bayangkan jika menjawab soalan matematik tambahan, dan setelah jalan kerja yang hampir satu muka surat, jawapan kita betul! Terasa hebat dan terasa gembira dengan diri sendiri..

Semakin kuat berusaha, semakin lama melaksanakan misi, apabila visi menjadi nyata; tiada siapa yang mampu menarik kebahagiaan dalam diri.. Sungguh!

Dan bila mana apa yang telah dicapai itu hilang dibawa angin sesudah penat melawannya, kekecewaan yang tiba selepas itu membawa diri memahami perkataan trauma.. Trauma untuk gigih, trauma untuk mengulangi perkara yang sama dan trauma dalam memiliki sesuatu yang berharga..

Di saat kehilangan itu, jiwa cuba berlakon bahawa tidak ada apa yang berlaku, namun setakat mana mampu dipakai topeng? Tatkala topeng ditanggalkan, datang satu angin lara membawa susuk ini jatuh sedalam-dalamnya..Dan ketika merangkak kembali keluar, dan cuba bangkit setelah terduduk; topeng itu kembali disarung, dan segala kepedihan ditutup dengan sempurna..

Hanya menunggu bila masa topeng itu kembali tercabut lagi.. Hanya menunggu masa kosong, dan segala pemikiran dan memori meluruhkan topeng itu..

Tapi syukur kepada Tuhan, topeng itu sudah jarang sekali luluh.. Namun, masih tetap dalam hati, ingin mencabut topeng itu apabila jiwa sudah tenteram, apabila memori lama sudah tidak berjaya mengubah rasa.. Rasa ini pada awalnya ku anggap sementara, namun rupanya lama..

Cuma satu harapku, agar rasa ini tidak mengubah citarasa.. Tidak lagi menjadi dinding membawa trauma.. Biar dinding itu hilang, biar rasa itu norma..

Senyum.. Menulis dalam keadaan mengantuk, di malam minggu ketika tidak ada apa yang ingin dilakukan.. Jangan dilayangkan khabar angin di atas dasar karangan ini.. Ini hanya mainan kata, yang sengaja ditulis untuk mengisi ruang kosong dalam blog ini..

Selamat Hari Minggu!

Thursday, October 11, 2012

Subuh

Salam 'Alaik..

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi.. Kesejukan pendingin hawa jelas merencatkan tidur Mamat.. Walaupun dengan comforter yang tebal, Mamat tetap menggigil.. Manakan tidak, dia anak kampung yang jarang sekali tidur di dalam bilik yang berpendingin hawa, 17 darjah selsius pulak tue.. Dia sebenarnya masih dalam kejutan budaya.. Dia masih kaget dan tidak biasa dengan cara hidupnya yang baru itu..

Bangun daripada katil bersaiz permaisuri itu, dia terus berjalan menuju ke bilik air.. Dengan senyap dia menyalakan lampu dan menyelesaikan urusannya dalam bilik kecil itu.. Dilempangnya muka, untuk mengesahkan bahawa dia tidak bermimpi..

Mamat kembali masuk ke dalam bilik.. Jaket tebalnya yang berwarna merah hati dipakai.. Kunci motornya masih ada dalam kocek jaketnya itu.. Dia perlahan keluar daripada apartment itu dan turun dengan lif.. Sampai di 'basement', dia menghidupkan enjin motornya dan meluru keluar.. Destinasi: masjid..

Masjid masih lagi sepi.. Pintu depan masjid pun masih belum dibuka.. Dia masuk ke masjid menggunakan pintu sisi.. Ketika itu hanya dia seorang dan bilal.. Selesai tahiyatul masjid, dia bersandar di tiang, dan memikirkan perkara semalam.. Sungguh, tidak tercapai dek akalnya..

Usai  imam memberi salam kedua, Mamat terus ke arah motorsikalnya.. Pagi yang dingin itu dibelah dengan bunyi motornya yang rempit.. Dia kena pulang awal, kerana ada aktiviti pagi itu..

[bersambung kelak, takde mood nak tulis]

Tuesday, October 9, 2012

Khali

Salam Alaik..

P/s: Ini ialah sebuah sajak..

Resmi bulan ikut mentari
resmi malam ikut siang
pabila hilang resmi
makanya kiamat hampir terjadi

fitrah tidak boleh ditolak
andai ditolak, hilanglah norma

mengenang sebuah rasa
rasa yang tidak biasa
hanya memberi setitik bisa
yang bisa membuat binasa

rasa yang gunsur
membawa akal nangkur
bilamana kebejatan ini bakal mustakid?
sedang hati mengkis jiwa
yang rosak akibat derhaka

pernah satu tika
jiwa ini berapir-apir di langit indah
membawa norma ke dalam diri
hatta tika itu
haluan mata tidak berubah

bila tiba masa kecewa
bejat kembali membuat onar
segala mata berubah arah
memandang manusia berlainan rupa

saat ini
jiwa mula bersoal jawab
di mana mahu diletak cinta
di mana mahu disusun minat
tatkala tahu ombak mencanak
masih berani berumah di tepi pantai

nafsu ini
harus ditahan
kelak menebal
sengsara sendiri
biarlah diisi
jiwa khali ini
dengan satu rasa
yang tidak membinasa