Sunday, March 8, 2015

Ilusi Kepada Realiti

Salam Alaik..

Penggera telefon bimbit berbunyi. Melihat skrin, pana seketika. Kenapa tarikh ini? Selongkar diari lama, yang terkatup rapat. Berdebu dan berhabuk. Muka surat itu, ditulis dengan kod, sebuah kod yang sudah lama tidak dipakai. Masih boleh otak ini membaca kod itu, secara perlahan, walau tidak lagi dipraktikkan. Ialah, kod itu hanya dua orang sahaja tau, kod sejak zaman sekolah dulu. Hanya Nasha dan aku yang boleh baca. Itupun sebab Nasha yang hebat 'decipher'. Kalau tidak, aku sorang je yang mampu membacanya.

Kandungannya? Biarlah kekal berhabuk dan berdebu. Selain itu, tarikh lapan mac juga ada aku tulis sebuah sajak. Sebuah sajak yang aku pernah kongsi dalam FB, dan twitter barangkali. Namun, bila aku cari dalam blog, tidaklah aku temui. Mungkin ada tersorok di balik pos-pos yang banyak dan bersepah ini. Sajak yang biasa rasanya, jika aku baca sekarang. Namun waktu aku menulis sajak itu, barangkali lain perasaannya.

Haha..

Enam tahun pasca pertama kali menghirup udara India. Kenangan manis, masin, pahit, tawar, masam dan umami terlalu banyak di tanah tamadun Indus itu. Namun jika disimpulkan, rasa-rasa itu bergabung menjadi satu makanan hidup yang memberi pengalaman dan pengajaran yang tidak ternilai. Kita perlu melihat ke belakang, untuk belajar menempuhi apa yang bakal berada di hadapan. Mereka yang melupakan sejarah, akan mengulangi sejarah itu. Dan aku berbelah bahagi sama ada mahu melupakan atau mengingatkan. Adakah aku mahu mengulang memori itu, atau cukuplah satu?

Satu demi satu, perkara yang mengejutkan tiba dalam satu malam. Dari jatuh yang persisnya tidak mampu lagi bangun, sehingga terbang sehingga tidak lagi terasa mahu menjejak bumi. Kata-kata perlahan dan lembut, berisi gula. Kerdipan mata, senyum yang bukan biasa dan bukannya menyeringai. Mengajar cara mengesan penipuan dan kepalsuan, dalam pada masa yang sama cuba menghantar isyarat bahawa kata-kata itu ialah kata-kata nista.

Payah nak faham, bukan? Memang aku tidak berniat untuk memahamkan. Cuma sengaja menulis, menulis dalam cubaan membuka kotak memori.


No comments: