p/s: Ini ialah sebuah cerpen
Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Dusun yang dipengerusikan oleh Tok Nan si ketua kampung dimulakan dengan keindahan syair si pari-pari alunan Pak Tam Burung... Dewan serbaguna JKKK yang dibangunkan oleh kerajaan negeri pada 30 tahun lepas masih lagi tegak berdiri, walaupun tiangnya hampir sepertiga dimakan anai-anai...
Dato' Dompok, ADUN Dusun Seberang yang menjadi tetamu kehormat, basah lenjun akibat kepanasan hawa yang membakar lemaknya yang banyak... Maklumlah, kerja di pejabat berpendingin hawa, dan bergerak menaiki kereta Toyota Camry yang mewah; tidak biasa dengan cuaca terik dan membahang...
Habis syair dialunkan, maka seluruh hadirin mesyuarat bangun menghormati lagu Negaraku, dan lagu rasmi kampung, 'Sang Puaka Dusun'... Seraya habis berdiri dengan semangat, Tok Nan memulakan majlis dengan ucapan muqaddimah ala kedai kopi, sehinggakan kebanyakan hadirin mesyuarat menguap penat, barulah Tok Nan masuk ke agenda utama.
"Mesyuarat hari nie sebenarnye bukan nak bincang apa-apa... Cuma Dato' Dompok mahu memberitahu sesuatu," kata Tok Nan perlahan...
Setelah sepatah ayat itu diacukan, maka Tok Nan terus menyerahkan majlis kepada Dato' Dompok...
"Hari ini saya nak mengumumkan satu projek besar oleh kerajaan Barisan Rakyat... Dan seperti biasa, jika setuju, angkat tangan dan laungkan perkataan 'kami patriotik'... Kalau tak setuju, angkat jari tengah dan jerit 'kami benci negara'... Faham?"
"Faham," sahut penduduk kampung yang hadir...
"Projek besar ini akan memberi manfaat kepada semua penduduk, di mana komunikasi antara rakyat dan pemimpin dapat diperhebat... Tidak seperti sebelum ini, yang mana pemimpin seperti saya hanya turun bertemu rakyat khususnya kamu semua setiap 5 tahun... Kalau takde pilihanraya, maka komunikasi antara kamu semua dan saya terputus... Betul tak?"
"Benar!!!!", jerit penduduk kampung yang bersemangat waja...
"Jadi, atas inisiatif kerajaan Barisan Rakyat, kami semua bersetuju untuk mewujudkan emel 1Dusun sebagai satu platform untuk mendekatkan rakyat dan pemimpin... Dengan emel 1Dusun ini, kami sebagai pemimpin boleh menyampaikan berita kepada anda semua dengan pantas, malah lebih pantas dari radio dan TV... Jadi, adakah anda setuju dengan projek ini?"
"Kami patriotik!!!"
"Bagus... Itu tanda setuju, kan? Jadi, sehubungan itu, untuk menjayakan projek emel 1Dusun ini, kerajaan memerlukan bajet sebanyak RM5000... Jangan risau, kami tak makan duit kerajaan... Kami takkan guna duit anda semua secara langsung untuk menjayakan hal ini..."
"Inilah kerajaan yang mesra rakyat! Bagus!" kata Tok Nan mengampu sambil menunjukkan ibu jari ke arah hadirin...
Dato' Dompok menyambung, "Dalam perkara lain, kami pihak kerajaan Barisan Rakyat merasa bimbang dengan keadaan kesihatan rakyat di kampung Dusun ini... Menurut statistik pada tahun 1970, iaitu 41 tahun yang lepas, hampir 45% rakyat kampung Dusun menghidap kencing manis... Jadi, atas cadangan EXCO kesihatan negeri di bawah saya, pihak kerajaan Barisan Rakyat mengambil jalan menyelaraskan harga gula..."
Sambung Dato' Dompok lagi, "Oleh yang demikian, subsidi gula di kampung dusun dikurangkan sebanyak 20 sen... Nampak tak? Kami kurangkan nilai subsidi gula, ok! Kami bukan naikkan harga gula... Betapa kami sayang akan penduduk kampung Dusun... Di samping menyebabkan pengurangan pengambilan gula dalam kalangan penduduk, lantas mengurangkan insiden kencing manis, pengurangan subsidi dapat menjimatkan duit kerajaan sebanyak RM5000... Dengan RM5000 itulah kami pusing untuk buat emel 1Dusun..."
"Jadi memang emel 1Dusun tak guna duit kami, kan?" sampuk Tok Nan kabur...
"Ya! Tepat sekali Tok Nan.. Tak sia-sia jadi ketua kampung... Jadi adakah hadirin semua bersetuju dengan dua cadangan kerajaan ini?" kata Dato' Dompok...
"Kami patriotik!!" sahut penduduk kampung kecuali seorang iaitu Udin... Udin yang gila itu, sebagai tanda tidak setuju, mengangkat jari tengah dan menjerit, "saya benci negara!!!"...
Dato' Dompok atas dasar demokrasi mengarahkan penduduk kampung menumbuk Udin kerana menghina negara dan mencarut dalam mesyuarat yang mulia ini... Padan muka Udin...
"Jadi, disebabkan kami mendapat persetujuan penuh penduduk, maka projek emel 1Dusun akan dikuatkuasa bermula esok... Penduduk kampung boleh mendaftarkan nama dan pilih alamat emel pada Tok Nan esok... Selain itu, pengurangan subsidi juga akan bermula esok..."
Selepas itu, majlis diserahkan kepada Tok Nan... Tok Nan kemudian berkata, "saya harap semua faham apa isi mesyuarat kali ini... Tapi, besarlah hati saya nak mengulangi isi penting iaitu: 1. Projek emel 1Dusun; dan kedua ialah pengurangan subsidi gula... Esok, bolehlah membanjiri rumah saya untuk memilih alamat emel... Saya tangguh mesyuarat ini dengan ucapan terima kasih kepada Dato' Dompok..."
Dato' Dompok kemudiannya beredar dari majlis... Dalam perjalanan menaiki Toyota Camry itu, Dato' Dompok menghubungi Memanda Menteri Perdana Dato' Naqib dan memberitahu Dato' Naqib akan kejayaannya mempengaruhi penduduk kampung...
Keesokan harinya, sema penduduk kampung Dusun membanjiri rumah Tok Nan... Dalam fikiran mereka dipenuhi idea-idea untuk alamat emel mereka... Ada yang memikirkan, Justin_bibir; Awie_89; malah Tok Nan berkira untuk menggunakan Tok_Nan_KgDusun sebagai alamat emelnya...
Maka bermulalah upacara mendaftar alamat emel... Tok Nan kemudiaannya bertanya kepada Awie, seorang pelajar lulusan PMR di SMK Dusun Seberang tentang bagaimana nak daftar emel... Dan dengan sempoi Awie berkata, "nak buat emel kena ada komputer peribadi dan talian internet"...
Dan penduduk kampung tercengang... Baru mereka sedar, kampung mereka tidak ada talian internet...
TAMAT
Deklarasi: Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Segala watak dan tempat dalam cerita ini hanyalah rekaan penulis. Jika ada persamaan, itu tidaklah disengajakan.
hehe...... Baca juga Kami Semangat!!
2 comments:
Haha kesimpulan isu.
kesian Udin sikit je cerita untuk dia.
boring x komen aku?
haha aku antisosial, xpandai nak komen, facebook pun xde....apatah lg emel
smart.
Post a Comment