p/s: Ini ialah sebuah Cerpen
Motorsikal merahnya memecut dengan kelajuan sederhana tinggi meredah malam. Angin sejuk yang mencengkam tulang dan menggetarkan jari-jemarinya yang kemas mengawal 'handle'. Sunyi malam itu hilang dek kerana bunyi ekzosnya yang separa pecah. Destinasinya ialah gelanggang bola keranjang.
Berhenti sahaja enjin mengaum, kedengaran decit kasut-kasut yang menari-nari di atas gelanggang itu. Cuma bunyi bola keranjang yang melantun tidak kedengaran sebaliknya hanya bunyi bola bergolek, nipis. Malam itu bukan malam bermain bola keranjang, dan bukan juga malam untuk menonton bola keranjang. Malam itu ialah malam futsal. Malam mengajar asas-asas futsal seperti menghantar dan menerima hantaran bola. Mudah, tetapi biasalah, genetik XX memang susah untuk belajar benda itu. Genetik mereka memang sudah disetkan untuk handal memasak, hebat berleter, dan bertahan ketika membeli belah.
Mamat bukanlah seorang pemain futsal yang hebat. Malah, mengawal bola pun tidaklah mampu. Tapi jika sekadar untuk asas, tidaklah susah bagi Mamat. Lagipun peluang bersama Minah takkan dilepaskan. Mamat pun dengan genetik XY-nya memang berlagaklah dengan bola. Ditunjuknya kemahiran menghantar, dan cuba mengajar beberapa taktik yang dirasakan bagus dan berguna untuk Minah dan pasukannya. Sungguh, Mamat tahu, walaupun macam mana yang dia ajar, pasukan Minah tetap akan dengan 'caru'nya.
Usai menghabiskan asas, Mamat dan Minah duduk berehat. Peluh Mamat susah untuk dilihat kesannya. Mamat seorang yang rajin beriadah. Peluhnya mahal, tidak seperti Minah yang setahun dua kali sahaja beriadah berat.