Wednesday, May 30, 2012

Khayalan Menjelma


Salam 'Alaik

p/s: Ini ialah sebuah 'puisi'

Mimpi
Ada baik ada buruk
bila baik cerita kepada orang yang dipercaya
bila buruk 'ludah' tiga kali ke kiri

Ada mimpi
tak tahu baik atau buruk
membangkit rindu
membangkit sedih
membangkit gembira kerana lama tidak berjumpa

Terima kasih
menyerikan tidurku
yang harusnya pendek
aku panjangkan
semata untuk mimpi itu

Dan mimpi itu
sangat indah
tapi pelik
3 perkara
digabung sekali
semua rasa
Hendak dicerita tidak sesuai
untuk meludah tidak sesuai

Khayalan menjelma
pabila fikiran
melayang menjauh
mengenangkanmu

Selamat Pagi!

29052012 0813

Sunday, May 27, 2012

Jangan Pandang Sebelah Mata

Salam Alaik...

Sesungguhnya Hasan al-Basri pernah berkata,

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan".

Seringkali kita bersikap skeptikal apabila rakan-rakan kita yang kita tahu bahawa dia seorang yang agak 'lagha' memberi nasihat kepada kita. Seringkali kita membalas dalam hati, mahupun secara zahir, "ala, kau pun kuat mencarut, kejadah apa nak nasihat aku?". Seringkali kita mengambil nasihat rakan kita itu dan kita kemudiannya kita campakkan ke dalam tong sampah.

Aku juga sering mencampakkan nasihat rakan-rakanku yang tidak sebulu atauyang aku anggap sama taraf dengan aku. Aku ketika itu lupa untuk mengambil nasihat-nasihat mereka daripada sudut yang positif. Kenapa tidak aku tanamkan satu 'set minda' bahawa tika mana seseorang menasihati aku, merupakan satu luahan tanda kasihnya kepada aku.

Nabi SAW berkata,

"Seorang Mukmin itu cermin kepada Mukmin yang lain" - [HR Thabrani dan Abu Daud]

Anggaplah rakan kita yang menegur kita itu mahu menambahbaik kita. Bersyukurlah selagi mana ada rakan kita yang sanggup menegur kita apabila kita melakukan kesalahan. Sungguh, teguran itu ialah satu nikmat jika diambil dari sudut yang positif.

Cuba bayangkan jika kita tidak ditegur. Cuba bayangkan selama ini kita kuat mencarut, dan tidak ada seorangpun dari kawan-kawan kita yang menegur kita, alangkah ruginya. Kita umpama berada dalam zon yang selesa. Maka keburukan yang kita lakukan akan terus dilakukan. Dan kita akan terus hanyut dalam keburukan itu.

Janganlah sombong dengan orang yang menegur kita.

Manalah tahu jika kita ditegur, terbuka pintu hati kita untuk berubah!
Walaupun kekadang orang yang menegur kita itu membawa teguran yang salah, jangan dicampak begitu sahaja sambil mata menjeling tajam. Berilah dia penjelasan. Dan berikan dia semangat untuk menegur kita lagi di masa lain.

Kepada rerakanku, janganlah takut dalam menegur aku. Janganlah biarkan aku terus melakukan kesalahan. Jika ada kala aku membuang nasihatmu dahulu, janganlah putus asa dalam menegurku. Sungguh, tanpa teguran kalian, siaplah aku dalam kelalaian.

Hal Dunia

Teguran bukan sekadar dalam hal akhirat sahaja. Hal dunia juga boleh ditegur. Jikalau nampak aku salah ambil 'history taking', atau salah prosedur ketika melakukan 'venopuncture', tegurlah aku. Elakkanlah aku daripada melakukan kesilapan yang sama kelak.

Dan jika aku yang tidak hebat mana ini menegur kalian, ambillah isinya, jangan dipalingkan muka dan dipandang sebelah mata. Mungkin ada benar teguran aku. Jikalau salah aku menegur, tegurlah aku kembali. Barangkali dalam 100 teguran aku, satu boleh diambil manfaat.

Mungkin aku tidak sempurna, tapi mungkin juga ada benarnya ketika aku menyampaikan teguran dan pendapat aku.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk" - (Surah al-Nahl: 125).

Wallahu a'lam.

Friday, May 25, 2012

Inilah Pilihanku

Salam alaik..

Kalau ada je tulis 'Ward work' dalam jadual untuk grup aku, aku rasa seronok.. 'Ward work' nie lebih kurang 'aktiviti bebas' la.. Boleh nak lepak wad ambil kes, boleh jugak tolong jururawat dalam hal-hal yang biasa, boleh pergi Bilik Darah untuk ambik darah pesakit (Venopuncture), atau boleh je nak memonteng dengan tidur di bilik..

Aku pun tak tahu untung apa la kat grup aku.. Banyak bebenor ward work nie (secara relatif).. Minggu nie je dah dua kali ward work.. Seronok! Tak perlu nak dengar lecturer membebel.. Kalau dia nak mengajar aku tak kesah, ini banyak bebel dari ajar.. "Kami student MBBS, bukan PG pun"..

Biasanya bila ward work, destinasinya hanya satu, iaitu Bilik Darah.. Bila dah nama 'student', memang eksaited la bila sampai bab praktikal.. Selama nie duk cucuk patung je, tak best langsung.. Takde nilai kemanusiaan.. Bila dapat peluang di Bilik Darah dengan 'manusia', makanya semangat tiba!

Memula memang agak payah untuk mencari salur darah.. Kekadang dah jumpa, cuma tidak dapat dikeluarkan darah tue.. Tapi bila dah 3-4 kali, senang je jadinya.. Rabu lepas, dapat 8 pesakit untuk ambik darah, alhamdulilLah kelapan-lapan berjaya dikeluarkan darahnya dengan sekali suntik.. Kalau cucuk banyak kali naya jugak ke orang ye dop?

Ada yang datang untuk ujian rutin biasa, ada yang datang untuk follow-up penyakit TB dan SLE.. Aku sebagai 'student' akan berbuat sebaik dan seramah mungkin la.. AlhamduliLlah la dalam sakit-sakit diorang tue aku tak menyeksa diorang lagi dengan dua-tiga kali cucuk.. Hehe.. Dimudahkan oleh ALlah kerja aku hari tue..

Waktu arwah ayah ada dulu, aku sering melihat jururawat bertungkus lumus mengambik darah dan nak masukkan kanula.. Masa aku teman ayah di Emergency selepas raya tahun lepas, aku ingin je cakap kat nurse tue, ajar saya, biar saya buat.. Tapi memandangkan aku tak tahu lagi, aku simpan dalam hati..

Kenapa tetiba aku cerita diari peribadi pulak nie? Ah ye..

Posting di wad A2, wad yang majoritinya pesakit stroke, aku terasa sayu.. Ada sekali (dua minggu lepas agaknya), aku duk belek fail sorang pakcik nie.. Lumpuh separuh badan.. Tetiba air mata aku berkumpul beramai-ramai, hati duk sebak.. Aku teringat kat arwah ayah aku, yang tidaklah aku sempat berkhidmat kepadanya masa dia belum berpisah daripada dunia dulu.. Aku tahan air mata, pastu aku doakan pakcik tue dalam hati agar bertambahkualiti hidupnya.. Lepas tue aku keluar wad.. Aku pi kafeteria. ambik sarapan..

Minggu nie pun duk posting di wad A2..

La tahzan, innaLlaha ma'ana.


Wednesday, May 23, 2012

Wordless Wednesday

Salam alaik..


Sekuntum mawar merah yang mempunyai makna kesepian dalam kisah di sebaliknya.

Friday, May 18, 2012

Rumah Agam di Tepi Pantai

Salam 'alaik...

P/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Zack terbangun awal pagi itu.. Mimpi yang dialaminya pada jam 4 pagi tadi membuatkan jantungnya berdegup kencang, umpama derapan kaki kuda yang sedang berlumba di trek.. Dia bangun dan meludah ke kiri, dan tanpa disedari terkena isterinya yang sedang nyenyak tidur.. Mujur isterinya tidak terbangun.. Dia lap muka isterinya dengan kain selimut dengan selembut mungkin, dengan harapan isterinya tidak terbangun..

Usai mandi dan bersolat tahajjud dua rakaat, dia membancuh secawan Nescafe 3 dalam 1 lalu bergerak menuju ke balkoni rumah dua tingkatnya.. Malam itu tiada angin yang bertiup kencang daripada Laut China Selatan yang betul-betul berhadapan dengan balkoninya.. Dia letakkan cawan Nescafe itu di atas meja lalu duduk di atas kerusi malas yang memang sengaja dia letak di luar.. Dinyalakan sebatang rokok dan dihembus dengan garang.. Sambil memikirkan kenangan lalu..

***
8 tahun lalu...

Bunyi motor Honda petak Imam Mat mengaum menelan laungan azan Bilal Tam yang baru dikumandangkan. Entah apa yang menyebabkan Imam Mat lambat ke surau pada pagi itu.. Biasanya sebelum azan sudah terpacul dia di surau, mungkin membantu Bilal Tam dan Siak Yop menyusun sejadah dan mengalunkan selawat, zikir dan bacaan al-Quran..

Zack bingkas bangun dari pembaringannya.. Dia mengejutkan Irene yang berada di sebelahnya, dan memberitahu hajatnya bahawa dia mahu pulang.. Irene yang sedang mamai hanya mengangguk dan sempat memesan agar dikunci pintu rumahnya.. Zack melayangkan ciuman ke dahi Irene dan terus memakai baju dan seluarnya yang berselerakan di lantai.. Dia keluar rumah Irene lantas memecut keluar dengan motor berkuasa tingginya meredah malam..

Destinasinya, surau yang melaungkan azan tadi.. Setibanya di surau, dia pantas mengambil wudhu' dan masuk ke surau dan menunaikan solat sunat dua rakaat di belakang tiang.. Dia melihat ada 5 orang di surau itu, termasuklah dia dan Tok Hasan, Tok  Penghulu kampung itu.. Dia mengeluarkan 'iPhone'nya dan membuka aplikasi Quran Haq dan membaca surah as-Sajdah, yang dia pernah hafal dahulu.. Habis membaca surah yang penuh dengan cerita dan pengajaran itu, Bilal Tam membaca iqamah.. Dan semua jemaah di dalam surau itu bangun untuk menunaikan solat subuh berjemaah..

***

Zack menghirup sisa-sisa akhir Nescafenya.. Dia kemudian masuk ke bilik dan mengejutkan isterinya, Scha daripada tidur..  Scha duduk di atas katil, dan memandang suaminya.. Zack menunjukkan isyarat bahawa dia ingin subuh di masjid.. Scha, faham dengan mudah kerana dia tahu, memang itulah rutin suaminya sejak dari mula berkahwin setahun lepas.. Selepas Scha masuk ke bilik air untuk mandi, Zack bergerak dengan motornya ke masjid..

Selesai imam membaca doa selepas solat, Zack membaca Quran, cuba mengulangkaji surah-surah yang telah dihafalnya.. Daripada beberapa ayat di awal al-Baqarah, dua ayat akhir surah Aali 'Imran, surah as-Sajdah dan surah al-Waqiah.. Memang itulah rutin hariannya selepas subuh.. Tidak pernah gagal untuk memastikan ayat-ayat suci itu sentiasa lekat dalam kepalanya..

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Zack singgah di Warung Pak Samad.. Dia membeli dua bungkus nasi kerabu daging, dan senaskah surat khabar, Harakah Malaysia.. Dia tahu Scha memang suka makan nasi kerabu daging.. Dan setiap hari dia tidak pernah jemu bersarapan dengan nasi kerabu daging.. Cuma, jika seleranya lain, akan Scha beritahu sebelum Zack bergerak ke masjid..

Sampai di rumah, Scha menunggunya di balkoni.. Di atas meja terdapat satu teko yang masih berasap dan dua cawan kosong.. Zack mendekati isterinya dan mengucup pipi Scha dan meletakkan bungkusan nasi kerabu daging tadi di atas meja.. Mereka bersarapan sambil dihembus bayu Laut China Selatan.. 

Hari ini hari Jumaat, hari cuti, manakala Scha yang bekerja sebagai seorang jururawat akan masuk kerja pada pukul 9 pagi.. Zack akan menghantar Scha pergi ke Hospital.. Tidak pernah dia membiarkan Scha pergi ke hospital sendiri, melainkan ketika itu dia terpaksa bertugas di luar kawasan..

Selepas menghantar Scha ke hospital, dia langsung pulang ke rumah.. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan di waktu cuti seperti itu tanpa isterinya.. Dia hanya pergi ke pantai dan melihat ragam manusia dan anak muda.. Sedang dia melihat sepasang anak muda yang sedang berjalan-jalan di gigi air, fikirannya melayang.

***

7 tahun lepas

Zack dan Irene berjalan-jalan di pantai.. Mereka saling berpegangan tangan.. Zack terasa sangat bahagia.. Mereka menghabiskan pagi mereka di pantai sambil bergurau senda, dan bercerita kisah lama.. Perhubungan mereka selama setahun setengah memang banyak pasang surut.. Tetapi ketika ini, mereka berada di puncak..

Penat berjalan, mereka berhenti dan duduk di atas pasir.. Zack memeluk Irene dari belakang.. Dan terdengar sayup dari jauh azan berkumandang.. Zack pelik, mana mungkin azan dikumandangkan pada pukul 10 pagi? Tapi dia buat tidak peduli sahaja.. Tetapi semakin lama, laungan azan itu semakin hampir.. Dia cuba mencari sumber suara merdu itu sehinggalah dia merasakan azan itu di tepi telinganya sahaja.. Dia memalingkan muka ke arah azan, dan tiba-tiba ombak menghempas mukanya..

***

"Oi, bangun la.. Kata nak subuh berjemaah di al-Azim pagi ni," jerit Hasan kepada Zack sambil Yop memegang cebok kosong.. Zack terpinga-pinga dan rasa macam nak mencarut.. Dia melihat badannya dan katilnya basah kuyup..  Dia merenung Hasan dan Yop dengan penuh tajam.. Azan Subuh daripada surau berdekatan masih berkumandang.. Zack bangun, dan menggeliat.. Dia merenung kembali Yop, dan tanpa sepatah kata pun, dia melayangkan tumbukan padu tepat ke muka Yop.. "Kalau nak kejut, kejut elok-elok," kata Zack dengan tenang ala-ala mafia Itali.. Zack kemudiannya selamba memakai kain pelikat seperti tidak ada apa-apa berlaku.. Hasan terpinga-pinga ketika Yop memegang hidungnya..

Wednesday, May 16, 2012

Legenda Kolam Puteri Ledang

Salam Alaik..

Adalah diceritakan daripada akaun saksi darjat pertama, bahawa pada suatu masa yang tidaklah terlalu lama dahulu, terdapatlah sekumpulan tiga orang Melayu bertandang ke Kolam Puteri Ledang. Niat hatinya mencari tenang setelah lama berkecamuk mindanya dalam kota yang besar.

Berbekal sebuah kamera kompak, perlatan mandi biasa dan lain-lain, melangkah kaki mereka di kawasan Kolam Puteri, yang mengikut kata orang lama, tempat bermainnya puteri idaman Sultan Melaka dahulu. Setiap batu dan konkrit dilangkah laju. Kudrat orang muda ditarah habis-habisan, habis peluh merenjis seluruh badan. Sampai jualah di tingkat yang paling tinggi untuk orang banyak.


Diletak barang mereka, tidaklah berhajat untuk mandi lagi. Sekadar melepas lelah menyusur jalan-jalan kecil tadi. Dikeluarkan rokok dan dinyalakannya, dan dinikmati. Dua batang telah dinyala tanpa mereka sedari.

Makanya dek kerana ramainya orang mandi manda di kolam tertinggi itu, mereka bergerak turun kembali. Hajat bermandi di kolam kedua. Diletakkan barang mereka untuk kali keduanya. Tiba-tiba datang sebuah ilham, agar tidak dinyalakan rokok ketiga, kelak mudah ditimpa bahaya. Tidaklah dihirau mainan kata jiwa. Selamba dicucuh rokok ketiga dengan bangga.

Galak mereka bermandi manda bertiga. Tidaklah diganggu oleh orang banyak. Kerana tahulah orang banyak bahawa kolam kedua banyak cerita. Bila gelincir sang matahari, mereka bertiga mahu pulang kembali. Mencucuh rokok ke sekian kali. Tidaklah mereka hiraukan lagi. Maka datanglah ilham semula. Agar tidak dimainkan kata jiwa. Kelak merana tidaklah suka.

Sampai di gerbang Kolam Puteri. Dicampak puntung rokok, dipijak sekali. Pulanglah mereka ke kota sendiri. Hanya kenangan bermandi dibawa pergi. Ilham tidaklah dikenang lagi.

Setelah tiga hari datanglah sebuah berita. Kisah pengembara yang datang bertiga. Katanya masing-masing jatuh demam. Makan tak lalu, tak larat nak kemam. Datang batuk, dihamburnya darah. tidaklah mereka semua kebah. Terus terfikir ilham jiwa yang pernah menyapa. Lalu sesal kerana tidak mengikut kata.

Tidaklah sampai sebulan dua. Telah datang khabar berita. Telah meninggal mereka bertiga. Maka cerita diturun sebagai amaran. Agar tidak melanggar perintah larangan. Kolam Puteri bukan mainan.


...

...

...

Setelah bertahun berita dikhabarkan. Tidaklah seorang mencari kebenaran. Hanya menurut perintah larangan. Setelah disiasat dengan mendalam. Rupanya ketiga mereka ada sakit yang dalam. Paru-paru mereka telah lama membarah. Jangkitan kencing tikus pula menambah. Maka matilah mereka dalam keadaan parah, dan bukan kerana sumpah.

Sekian...



P/s: Ini ialah fiksyen sahaja. Takde kaitan dengan yang hidup atau telah meninggal dunia.

Monday, May 14, 2012

Ayam

Salam 'alaik...

"Ayam lain yang bertelur, ayam lain yang riuh sekampung"

Terima kasih...

Till next season,

Redzwan A.

Sunday, May 13, 2012

Sempoi

Salam alaik...

P/s: Ini ialah sebuah sajak

Habis masa
menunggu sang bulan
jatuh ke riba

hilang tenaga
menanti untung
datang bergolek

tapi jiwa
tetap tegar
tidak insaf
dan tidak serik

menunggu sesuatu
tidak menjadi

kali kedua
menanam azam
perkara lama
harus berlalu