Wednesday, May 16, 2012

Legenda Kolam Puteri Ledang

Salam Alaik..

Adalah diceritakan daripada akaun saksi darjat pertama, bahawa pada suatu masa yang tidaklah terlalu lama dahulu, terdapatlah sekumpulan tiga orang Melayu bertandang ke Kolam Puteri Ledang. Niat hatinya mencari tenang setelah lama berkecamuk mindanya dalam kota yang besar.

Berbekal sebuah kamera kompak, perlatan mandi biasa dan lain-lain, melangkah kaki mereka di kawasan Kolam Puteri, yang mengikut kata orang lama, tempat bermainnya puteri idaman Sultan Melaka dahulu. Setiap batu dan konkrit dilangkah laju. Kudrat orang muda ditarah habis-habisan, habis peluh merenjis seluruh badan. Sampai jualah di tingkat yang paling tinggi untuk orang banyak.


Diletak barang mereka, tidaklah berhajat untuk mandi lagi. Sekadar melepas lelah menyusur jalan-jalan kecil tadi. Dikeluarkan rokok dan dinyalakannya, dan dinikmati. Dua batang telah dinyala tanpa mereka sedari.

Makanya dek kerana ramainya orang mandi manda di kolam tertinggi itu, mereka bergerak turun kembali. Hajat bermandi di kolam kedua. Diletakkan barang mereka untuk kali keduanya. Tiba-tiba datang sebuah ilham, agar tidak dinyalakan rokok ketiga, kelak mudah ditimpa bahaya. Tidaklah dihirau mainan kata jiwa. Selamba dicucuh rokok ketiga dengan bangga.

Galak mereka bermandi manda bertiga. Tidaklah diganggu oleh orang banyak. Kerana tahulah orang banyak bahawa kolam kedua banyak cerita. Bila gelincir sang matahari, mereka bertiga mahu pulang kembali. Mencucuh rokok ke sekian kali. Tidaklah mereka hiraukan lagi. Maka datanglah ilham semula. Agar tidak dimainkan kata jiwa. Kelak merana tidaklah suka.

Sampai di gerbang Kolam Puteri. Dicampak puntung rokok, dipijak sekali. Pulanglah mereka ke kota sendiri. Hanya kenangan bermandi dibawa pergi. Ilham tidaklah dikenang lagi.

Setelah tiga hari datanglah sebuah berita. Kisah pengembara yang datang bertiga. Katanya masing-masing jatuh demam. Makan tak lalu, tak larat nak kemam. Datang batuk, dihamburnya darah. tidaklah mereka semua kebah. Terus terfikir ilham jiwa yang pernah menyapa. Lalu sesal kerana tidak mengikut kata.

Tidaklah sampai sebulan dua. Telah datang khabar berita. Telah meninggal mereka bertiga. Maka cerita diturun sebagai amaran. Agar tidak melanggar perintah larangan. Kolam Puteri bukan mainan.


...

...

...

Setelah bertahun berita dikhabarkan. Tidaklah seorang mencari kebenaran. Hanya menurut perintah larangan. Setelah disiasat dengan mendalam. Rupanya ketiga mereka ada sakit yang dalam. Paru-paru mereka telah lama membarah. Jangkitan kencing tikus pula menambah. Maka matilah mereka dalam keadaan parah, dan bukan kerana sumpah.

Sekian...



P/s: Ini ialah fiksyen sahaja. Takde kaitan dengan yang hidup atau telah meninggal dunia.

No comments: