Thursday, July 12, 2012

Ultimatum

Salam 'alaik..

P/s: Ini ialah sebuah cerpen.

"Salam 'alaikum. Mohon Encik Mamat datang ke pejabat sekarang," kedengaran suara wanita lunak berada di hujung gagang telefon Mamat. Mukanya yang baru bangun tidur bertukar kepada ekspresi pelik. "Apa kejadah kena datang ke pejabat hari cuti nie? Kata nak bagi aku cuti sebulan," bisik hatinya. Selepas gagang telefon diletakkan, dia bergerak ke bilik air dan terus mandi. Jam menunjukkan pukul 8 pagi, isterinya dah lama bergerak ke Hospital Jerantut untuk shift pagi. Tinggal dia seorang di rumah.

Kereta Perodua Viva yang baru dia beli hasil duit Skim Piramid Lakzer memecut laju merentasi Lebuhraya Pantai Timur. Ada kurang lebih sejam lagi sebelum tiba di Kuantan. Sepanjang perjalanan Mamat mengunyah kuaci Chacheer yang dibelinya di R&R Temerloh. Hasratnya untuk mengurangkan rokok boleh dilaksanakan jika mulutnya sibuk mengunyah. Tidak hairanlah berat badannya bertambah 6 kilogram dalam masa 4 bulan..

Mamat memarkir keretanya di hadapan pejabat. Parkir persendirian milik 'Kelab Bola Sepak Renjer Taman Permaisuri' itu tidak perlukan kupon Parkir MPK. Dia sudah 2 tahun bekerja sebagai pengurus pasukan yang terkenal di Pahang itu. Tetapi kontraknya akan tamat seminggu lagi bersama pasukan itu. Dia tidaklah sehebat mana, cuma mampu mengekalkan pasukan Renjer dalam Liga Super dalam dua tahun itu. Tahun pertama hanya dinombor ke 10, dan musim ini, Renjer mendapat nombor ke-9. Tidak banyak berubah.

Bosnya, Dato' Farouk Hassan duduk dalam pejabat sambil membelek-belek beberapa dokumen. Jarang sekali dapat jumpa Dato' Farouk dalam pejabat kerana dia sibuk menguruskan perniagaannya dalam sektor pembalakan dan perlombongan bijih besi di Pahang. Menjadi antara orang berkabel besar di Pahang, memang banyak membuka rezeki bagi dia.

"Salam Dato'," sapa Mamat selepas mengetuk pintu bertulis 'PENGERUSI' yang terbuka.
"Salam Mat. Meh duduk."
"Kenapa Dato' seru saya pagi-pagi nie?"
"Kontrak kamu akan tamat minggu depan, kan?"
"Ye Dato'. Kenapa?"
"Kamu taknak sambung ke?"
"Orang tak offer. Takkan nak hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pulak," balas Mamat, tergelak kecil.
"Baiklah, saya offer kamu kontrak 5 tahun untuk Renjer. Guane?"
"Eh, lama sangat tue Dato'. Saya kalau boleh nak sambung setahun, setahun. 5 tahun tu panjang komitmennya."
"Kamu tak sayang ke kelab kamu nie?" Dato' Farouk bernada sinis.
"Bukan macam tue Dato'. Saya tak berani nak janji sampai 5 tahun. Lagipun saya tak yakin untuk mampu bawak Renjer lebih tinggi."
"Kamu nak lagi jadi  pengurus Renjer?"
"Tentulah Dato'. Saya suka jadi pengurus. Cuma biarlah macam Pep Guardinola, sambung setiap tahun."
"Saya hendak keputusan yang jitu lagi tepat.  Saya offer kamu kontrak 5 tahun untuk menguruskan Renjer. Kalau kamu nak, kata nak. Kalau kamu taknak, tiada offer lain!" tegas Dato' Farouk.
"Bagi saya 48 jam untuk fikir, boleh tak Dato'?"
"Baiklah, saya bagi kamu sampai Sabtu jam 11 pagi. Dah, kamu boleh balik Jerantut."

Usai pertemuan dengan Dato' Farouk, Mamat pergi ke Teluk Cempedak. Dia menelefon isterinya untuk memberitahu bahawa dia akan pulang lewat hari ini. Dia duduk bersila di pantai Teluk Cempedak seorang diri. Tidak ramai di pantai itu kerana semua sibuk bekerja atau menonton SUKMA Pahang yang sedang giat berlangsung. Dia termenung seorang.

"Gila apa Farouk! Bagi ultimatum sama ada nak sambung 5 tahun atau kontrak tamat. Apa ingat aku senang-senang je nak tentukan hidup aku 5 tahun? Aku pun tak tentu lagi misi dan visi aku untuk tahun depan. Aku pun tak tentu lagi boleh bagi komitmen untuk dua tahun depan. Bisnes MLM aku pun baru nak berkembang. Mana mungkin aku boleh menguruskan pasukan dan mencari downline serentak? Ini gila!" Mamat bermonolog dalaman. Kopi dalam gelas kertas itu masih tidak disentuh walaupun rokok dah 3 batang dihisap.

"Biasanya yang bagi ultimatum ialah pengurus kepada pengerusi. Bukan pengerusi bagi kat pengurus. Ini suatu perkara yang pelik. Kenapalah Farouk beria sangat nak aku jadi pengurus? Nak kata takda pengurus lain, tipu pulak. Shebbon Singh dulu pernah mintak jadi pengurus."

"Aku dah la tak bawak apa-apa kemajuan kepada Renjer. Malah aku beli 4 orang pemain baru, semua tak guna. Duk panaskan bangku penonton je. Kenapalah aku? Why always me?"

Mamat meneruskan monolognya.. Bukan tidak ada teman, namun di saat genting ini dia lebih suka berbicara sendirian, tidak mahu melempiaskan kebingungannya kepada orang lain.

"Bagi aku 48 jam? Serius? Untuk keputusan 5 tahun? You gotta be kidding me!" Mamat terus mengomel sendirian. Kopinya sudah sejuk. Rokoknya hampir habis walhal baru dibelinya semalam. Jelas keadaan meruncing seperti ini meningkatkan keinginannya kepada nikotin.

Dato' Farouk memang serius dalam hal berkaitan Renjer. Cuma jarang menunjukkan mukanya di pejabat sahaja. Setiap perlawanan Renjer di pantai timur akan dihadiri olehnya. Namun ultimatum yang diberikan kepada Mamat memang agak zalim. Take it or leave it! 


Mamat sebenarnya bimbang jika dia gagal memberikan 5 tahun kepada Renjer. Memang dia tak rugi apa-apa kalau dia ditamatkan kontrak dalam 5 tahun itu jika dia membawa jatuh Renjer, malah dia mendapat imbuhan yang banyak. Namun apa perasaan penyokong Renjer? Dia tidak mahu mengecewakan Dato' Farouk.

Mamat keliru. Bersetuju dengan kontrak 5 tahun yang dia sendiri tidak pasti sama ada mampu diberikan komitmen, atau hilang aktiviti kesukaannya iaitu mengurus pasukan bola sepak?

Siapa boleh bantu Mamat?

No comments: