Sunday, August 28, 2016

3 Bulan Sudah

Salam Alaik...

Tanggal 28 Mei yang lepas, aku telah menerima aqad untuk menjadikan dia sebagai isteriku. Dan hari ini, genap 3 bulan kami sebagai pasangan, partner-in-crime, best friend forever dsb.

Kebanyakan masa dalam 3 bulan ini kami habiskan sebagai Pasangan Jarak Jauh (PJJ), namun kami tidak pernah melebihi 2 minggu tidak berjumpa. Sama ada aku ke Kuantan, atau dia ke KB. Jarak 345km bukanlah penghalang, namun hanya masa yang terbatas dek kerana dia pun berkerjaya.

Perhubungan ini bukanlah tipikal bagi kebanyakan orang lain di zaman teknologi sekarang ini. Kami mula kenal sejak TADIKA KEMAS tahun 1995/96 sehingga ke sekolah rendah sebelum kami berpisah sebentar sebab dia melompat darjah. Selepas itu terus kami mendiam sampailah ketika aku 'add' dia dalam FB circa 2009.

Sejujurnya aku keluarga aku berhubung rapat je dengan keluarga dia, melalui arwah ayah aku yang kawan baik dengan abah dia. Namun aku je yang hanya contact dia setahun sekali ucap selamat hari raya itupun melalui facebook.

... (redacted in view of long story)

tadaaa, 28 Mei aku pun bernikah dengan dia..

3 bulan kebelakanagan ini ialah 3 bulan yang indah bersulam sedih.  Indah kerana adanya dia, dan sedih bila dia berada jauh dari aku.. Namun, bulan-bulan yang mendatang akan lebih mencabar. KPI untuk berjumpa sekurang-kurang 2 minggu sekali agak susah untuk dicapai memandangkan dia akan menyambung study.

Nak tulis panjang lagi, tapi aku tak mampu dah memikirkan masa hadapan..

Apa-apapun, kalau dia baca ni (dia jarang baca blog aku), terima kasih atas segalanya. Terlalu banyak untuk berterima kasih. Dan maafkan atas salah silap, dan semoga kita sentiasa bahagia mengharungi hidup ini bersama. Setahun lebih lagi, insyaAllah untuk kita ber-PJJ..

Our next meet-up? Wallahu a'lam..





Sunday, August 21, 2016

WhatsApp dan Respon Stat

Penggunaan WhatsApp sebagai satu medium komunikasi rasmi sebagaimana yang diamalkan dalam pekerjaan merupakan satu perkara yang secara umumnya bagus. Kemas kini terbaru tentang perkerjaan dapat dibaca apabila di rumah, atau arahan-arahan boleh diberikan kepada mereka yang berkerja lewat. Namun harus difahami bahawa tidak semua peka dengan WhatsApp 24 jam sehari.

Ada yang menyalahguna WhatsApp dan menganggap WhatsApp seperti 'panggilan' dan mengharapkan respon pantas atau 'stat'. Dan jika tidak diberi respon 'stat' maka dimakinya dan mengamuk di dalam WhatsApp.

Kak (atau abang), kalau nak respon 'stat', telefon la. Apa kau ingat mata ini lekat kat telefon? Kalau sedang berhadapan dengan pelanggan, atau sedang melakukan prosedur aseptik; apakah tidak kurang ajar dan tidak 'appropriate' untuk mengeluarkan telefon untuk membaca kata nista tatkala 'arahan' itu tidak dilayan?

Masing-masing dah matang. Jangan meroyan kalau orang respon 5-10 minit lambat. Penyudahnya langsung menyampah untuk membalas mesej itu. Sedangkan bos besar pun tidak begitu, malah jika respon lewat 4 jam (mesej 3am, respon 7am), bos besar tetap berterima kasih. Apakah kau lagi besar dari bos besar?

Ini hanyalah kes terpencil. Sebahagian besar sangatlah dedikasi, memahami, baik dan sopan. Namun ada kes terpencil sahaja yang suka mengocakkan air yang tenang.

Jadilah senior yang dihormati. Kami nak respon pun senang hati. Kalau nak jadi senior yang bitchy, maafkan kami kalau angkat kaki.

P.s: Pos ini sebenarnya untuk Facebook, tapi memandangkan agak panjang, jadi aku jadikan entri blog sahaja. Pos ini sebenarnya ditulis beberapa bulan yang lalu, cuma perlu masa yang sesuai untuk dimuat naik.

Friday, June 10, 2016

Sajak: Ucapan Kasih

Salam Alaik

P/s: Ini ialah sebuah puisi



Thank you, love.

Sunday, June 5, 2016

Hati Nan Berbunga

Salam Alaik..
P/s: ini ialah sebuah puisi

Hati Nan Berbunga

Bagai bulan jatuh ke riba
Bagai mentari setelah hujan
Bagai bunga kembang nan mekar
Hati menari-nari menunjuk rasa
Senyum menembus jiwa

Awan nan putih di balik langit
Pelangi membentang di petang dingin
Hadirnya puteri dari kayangan
Jiwa ini diberi riang
Mata berkilau bak berlian

Makna hidup kembali ada
Setiap aksi perlu dikaji
Bagai pendaki menjejak puncak
Bagai nelayan mengangkat habuan
Rasa gembira memenuhi diri
Untung sungguh tidak terkata

Terima kasih
Kerana mengucap ya
kerana bersabar
Terima kasih atas segalanya

Dalam gembira bersulam rindu
Hati ini ingin berlari
Mengejar sang bidadari
Jauh di mata dekat di hati


...........

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga amalan kita diterima oleh Allah.

Thursday, March 24, 2016

Puisi: Pada Masa Aku

Salam Alaik

P/s: Ini ialah sebuah puisi.


Thursday, February 18, 2016

Perjalanan Itu

Salam Alaik..



Terima kasih kerana menemaniku.

Perjalanan itu sangat jauh. Hendak pula ketika sendirian bergerak keluar dari kampung halaman.. Hati ini memang kalau boleh tidak mahu lagi bergerak keluar, namun hakikatnya harus juga ditempuhi perasaan itu kerana tanggungjawab keluarga dan diri bukan hanya sekadar di rumah, namn jauh di perantauan mencari rezeki..

Lima marhalah jauhnya. Saat didendangkan lagu-lagu retro yang sentiasa menjadi halwa telinga ketika memandu, tidak kira jauh atau dekat; fikiran melayang memikirkan memori-memori yang tercipta saat lagu-lagu itu mula diminati. 79 lagu semuanya, dalam format mp3 didendangkan sambil mulut terkumat-kamit mengikut rentak dan irama.

Perjalanan itu dimulakan dengan perlahan. Dibiarkan sahaja kereta memotong di kiri dan kanan. Jangkaan masa tiba di destinasi masih awal sungguhpun dengan kelajuan siput. Jikalau sampai awal pun, tidak ada perkara berfaedah pun yang akan dilakukan. Baiklah menikmati perjalanan ini walaupun dalam suasana suram.

Sudah sampai di persimpangan luar sedikit daripada Kuala Lipis, terperasan sebuah kereta biru berjenama luar negara menyusur perlahan. Barangkali baru berangkat daripada kota raya. Barangkali dia juga berat hati meninggalkan kota rayanya menuju ke ke mana sahaja destinasinya.

Bila dia mengelak lubang, aku pun mengelak lubang. Bila dia memotong aku juga memotong. Aku mengikut sahaja dia selagi perjalanan kami masih sama. Bila dia perlahan, aku juga perlahan. Bila dia laju, aku juga laju. Bersama mengharungi perjalanan ini, walaupun mungkin telinganya dan teingaku mendengar perkara yang berbeza.

Sampai di Gua Musang, aku lihat dia mengambil susur ke kiri. Maka aku juga menyusur ke kiri. Perut ini sungguhpun tidak lapar, tapi masih punyai ruang untuk diisi. Ayam goreng yang 'panas dan berempah' menjadi sasaran. Kereta biru itu tidak lagi kelihatan semasa aku membelok masuk memarkir keretaku. Barangkali kisah kita sampai di sini sahaja.

Setelah meregangkan perut dan meregangkan otot, tulang belakangku dipatahkan sedikit mengeluarkan angin di celah-celahnya. Aku duduk dan mengeluh panjang. Perjalanan ini masih jauh, dan aku masih belum punyai perasaan untuk kembali bertugas. AKu mula memandu. Perlahan seperti biasa, menikmati keindahan bukit batu kapur dan jalan-jalan berliku.

Beberapa kilometer selepas itu hujan mulai turun. Mula dengan renyai-renyai yang menyajikan pelangi, kemudian diikuti dengan lebat selebat-lebatnya. Di hadapanku tidak ada kereta lain, dan di elakangu juga kosong. Hanya hujan yang menemaniku dan menutup pandanganku. Hari itu sudah hampir maghrib.

Saat aku melayan lagu 'Hoist The colour High', aku, melalui cermin pandang belakang ternampak susuk biru keluar daripada rintik hujan. Oh, aku kenal ini. Yang menemaniku daripada Lipis tadi. Hati tetiba gembira tanpa sebab yang munasabah. Siapa kereta ini? Kenapa aku harus gembira?

Dia mengekoriku. Bila aku laju, dia pun laju. Bila aku perlahan mengikut rentak laguku, dia juga perlahan.Dan perjalananku ini kembali berteman, walaupun secara tidak langsung. Aku rasa seperti berbual dengannya, melali gerak dan gaya pandu. Jika sebelum Gua Musang dia banyak 'bercakap', pasca Gua Musang aku pula yang 'lead the way;.

Kisah cinta kami berterusan selama berpuluh minit. Tidak dia memotongku, dan tidak aku memberinya memotong. Persisnya dia tahu aku memerlukan teman dalam perjalanan ini, atau setidaknya dia juga perlukan teman untuk 'berbual'. Kami bersama-sama menempuh gelap malam.

Perjalanan berteman itu aku teruskan. Sehinggalah tiba di sebuah persimpangan di Kuala Krai. Aku berheni di lampu trafik menunggu isyarat hijau. Dari belakang, dia mengelipkan lampu tingginya dua kali lantas memberikan isyarat ke kiri. Aku memandang melalui cermin pandang belakang. Dia membelok ke kiri. Mata aku terus mengekorinya. Apabila dia sudah masuk ke jalan itu, dia nyalakan 'hazard light' sebanyak dua kelip.

Aku tersenyum.

Dan lantas aku sedih.

Perjalanan yang berbaki sejam itu aku harus lalui sendirian, kembali.

Sebagai seorang perantau yang sepi. Ditemani lagu-lagu memori.

Terima kasih kerana menemaniku, kereta biru itu. Terima kasih walau kita tidak kenal nama. Terima kasih kerana menjadi peneman sejauh ratusan kilometer itu.

Dan aku teruskan perjalanan, sambil tersenyum sinis.Dalam sinis di mulut, ada sadis di dalam hati.

HABIS.