Thursday, February 18, 2016

Perjalanan Itu

Salam Alaik..



Terima kasih kerana menemaniku.

Perjalanan itu sangat jauh. Hendak pula ketika sendirian bergerak keluar dari kampung halaman.. Hati ini memang kalau boleh tidak mahu lagi bergerak keluar, namun hakikatnya harus juga ditempuhi perasaan itu kerana tanggungjawab keluarga dan diri bukan hanya sekadar di rumah, namn jauh di perantauan mencari rezeki..

Lima marhalah jauhnya. Saat didendangkan lagu-lagu retro yang sentiasa menjadi halwa telinga ketika memandu, tidak kira jauh atau dekat; fikiran melayang memikirkan memori-memori yang tercipta saat lagu-lagu itu mula diminati. 79 lagu semuanya, dalam format mp3 didendangkan sambil mulut terkumat-kamit mengikut rentak dan irama.

Perjalanan itu dimulakan dengan perlahan. Dibiarkan sahaja kereta memotong di kiri dan kanan. Jangkaan masa tiba di destinasi masih awal sungguhpun dengan kelajuan siput. Jikalau sampai awal pun, tidak ada perkara berfaedah pun yang akan dilakukan. Baiklah menikmati perjalanan ini walaupun dalam suasana suram.

Sudah sampai di persimpangan luar sedikit daripada Kuala Lipis, terperasan sebuah kereta biru berjenama luar negara menyusur perlahan. Barangkali baru berangkat daripada kota raya. Barangkali dia juga berat hati meninggalkan kota rayanya menuju ke ke mana sahaja destinasinya.

Bila dia mengelak lubang, aku pun mengelak lubang. Bila dia memotong aku juga memotong. Aku mengikut sahaja dia selagi perjalanan kami masih sama. Bila dia perlahan, aku juga perlahan. Bila dia laju, aku juga laju. Bersama mengharungi perjalanan ini, walaupun mungkin telinganya dan teingaku mendengar perkara yang berbeza.

Sampai di Gua Musang, aku lihat dia mengambil susur ke kiri. Maka aku juga menyusur ke kiri. Perut ini sungguhpun tidak lapar, tapi masih punyai ruang untuk diisi. Ayam goreng yang 'panas dan berempah' menjadi sasaran. Kereta biru itu tidak lagi kelihatan semasa aku membelok masuk memarkir keretaku. Barangkali kisah kita sampai di sini sahaja.

Setelah meregangkan perut dan meregangkan otot, tulang belakangku dipatahkan sedikit mengeluarkan angin di celah-celahnya. Aku duduk dan mengeluh panjang. Perjalanan ini masih jauh, dan aku masih belum punyai perasaan untuk kembali bertugas. AKu mula memandu. Perlahan seperti biasa, menikmati keindahan bukit batu kapur dan jalan-jalan berliku.

Beberapa kilometer selepas itu hujan mulai turun. Mula dengan renyai-renyai yang menyajikan pelangi, kemudian diikuti dengan lebat selebat-lebatnya. Di hadapanku tidak ada kereta lain, dan di elakangu juga kosong. Hanya hujan yang menemaniku dan menutup pandanganku. Hari itu sudah hampir maghrib.

Saat aku melayan lagu 'Hoist The colour High', aku, melalui cermin pandang belakang ternampak susuk biru keluar daripada rintik hujan. Oh, aku kenal ini. Yang menemaniku daripada Lipis tadi. Hati tetiba gembira tanpa sebab yang munasabah. Siapa kereta ini? Kenapa aku harus gembira?

Dia mengekoriku. Bila aku laju, dia pun laju. Bila aku perlahan mengikut rentak laguku, dia juga perlahan.Dan perjalananku ini kembali berteman, walaupun secara tidak langsung. Aku rasa seperti berbual dengannya, melali gerak dan gaya pandu. Jika sebelum Gua Musang dia banyak 'bercakap', pasca Gua Musang aku pula yang 'lead the way;.

Kisah cinta kami berterusan selama berpuluh minit. Tidak dia memotongku, dan tidak aku memberinya memotong. Persisnya dia tahu aku memerlukan teman dalam perjalanan ini, atau setidaknya dia juga perlukan teman untuk 'berbual'. Kami bersama-sama menempuh gelap malam.

Perjalanan berteman itu aku teruskan. Sehinggalah tiba di sebuah persimpangan di Kuala Krai. Aku berheni di lampu trafik menunggu isyarat hijau. Dari belakang, dia mengelipkan lampu tingginya dua kali lantas memberikan isyarat ke kiri. Aku memandang melalui cermin pandang belakang. Dia membelok ke kiri. Mata aku terus mengekorinya. Apabila dia sudah masuk ke jalan itu, dia nyalakan 'hazard light' sebanyak dua kelip.

Aku tersenyum.

Dan lantas aku sedih.

Perjalanan yang berbaki sejam itu aku harus lalui sendirian, kembali.

Sebagai seorang perantau yang sepi. Ditemani lagu-lagu memori.

Terima kasih kerana menemaniku, kereta biru itu. Terima kasih walau kita tidak kenal nama. Terima kasih kerana menjadi peneman sejauh ratusan kilometer itu.

Dan aku teruskan perjalanan, sambil tersenyum sinis.Dalam sinis di mulut, ada sadis di dalam hati.

HABIS.

No comments: