Wednesday, January 5, 2011

Cerpen: Kau Jangan Nak Cakap Bukan-bukan

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Warung kopi milik Pak Ali petang itu penuh seperti biasa. Kelibat orang lama yang sudah berejam berada di meja sambil bermain catur memang tidak pernah hilang. Dam aji yang pernah dulu mendapat sambutan telah dibuang kerana protes Persatuan Isteri-isteri Semua Orang Pencen (PISOP). Kini catur diangkat menjadi medan pertempuran minda si pesara-pesara tegar kerajaan, menunggu masa diprotes aktivis-aktivis PISOP.

Keheningan petang yang suram seperti biasa akibat pertarungan pemikiran itu pecah seketika tatkala seorang pelajar Sekolah Menengah Parit Dusun, Mamat pulang dengan basikal cabuknya yang berbunyi bising. Di tangannya ada sehelai kertas. Mamat memarkir basikalnya di tepi warung dan dengan selamba masuk dan memesan teh tarik. Orang-orang lama yang bermain catur tersenyum kerana legasi mereka dalam industri melepak di warung Pak Ali telah ada bayang pengganti ketika mereka melepak di kubur.

"Kerteh ape te Mat?" soal Aji Abu yang sudah lama memerhati Mamat.
"Tak nde mende. Cikgu hok toh habeh-habeh membangkang te yang bagi. Die suroh bagi kek deme kek kedei kopi nie le," balas Mamat.
"Mende ke? Keh seme main ceh je rajin. Membace maleh mat."
"Ntoh le. Katenye rege RON97 naik lagi," Mamat membaca
"Ah, pedooh je pembangkang te. Tak ande dalam berita utama pun. Aok jangan gitu," muka Aji Abu serius.
"Ntoh le. Keh bace je," Mamat dengan selamba menjawab kemudian menghirup teh tarik kurang manisnya.
"Ala, mende hok naik te tak ande kesan lalu ke kite. Buat mende nok cakne," kata Pak Karim Bini Lawo.

Dan mereka terus bermain catur. Mamat membayar teh tariknya dan terus bergerak balik. Memikirkan kawannya yang menunggu untuk bermain bola.

Malam itu, set-set pesara yang baru balik dari masjid kembali melepak di Warung Pak Ali. Aktiviti caturan dilakukan secara intensif kerana tidak ada apa yang mampu dilakukan di rumah. Hal dengan bini boleh dilakukan sebelum subuh.

"Ce bukok TV te. Nok jugok tengok mende ape naik. Ron 97 ke mende hok Mamat cakak te," arah Tok Umar, ketua JKKK Kampung Dusun.

Setelah habis buletin utama, berita semasa dan juga Astro Awani, masih lagi tidak kedengaran tentang kenaikan harga apa-apa sekalipun. Dan mereka seperti biasa, mengutuk tindakan aktivis pembangkang yang menyebarkan berita palsu melalui internet.

Pagi itu, mereka melihat akhbar Cahaya Harian yang terbungkang di atas meja warung Pak Ali. Terpampang tajuk yang besar, 'RON97 diselaraskan'. Maka Aji Abu pun berkata, "loh, mende nie ke? Bukan naik pon. Diselaraskan je."

Pastu tetiba Tok Umar datang dengan kereta Nissan 'Sunny'nya. Mungkin baru pulang dari bandar Kebun, mahu mengisi minyak katanya selepas subuh tadi. Dia turun dari keretanya dan dengan muka yang penuh tanda tanya, bertanya kepada warga warung-
"Lorr, RON97 te sejenih petrol ke?, keh isi minyok tadi terkejut popaleyh weyh."

Glosari loghat Pahang:
Pedooh - menipu
Cakne (Cakna) - Ambil tahu
Ce - Cuba
Cakak - Cakap
Te - itu
Popaleyh - Sangat

Cerpen tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau telah meninggal dunia. Terima kasih.

2 comments:

Ezniey said...

suka very much cerpen ni..hahahhaa...kreatif2

Lokman Hakim said...

balee aok punye nyindir.kas suke weh.haha....