Wednesday, January 12, 2011

Cerpen: Perjalanan Seorang Mamat

Salam Alaik...

p/s: Ini ialah sebuah cerpen.

Mamat keluar dari pintu pagar sekolah agamanya yang terletak di sebelah sebuah masjid dengan girang. Dia melompat-lompat gembira kerana dia mempelajari sesuatu yang baru hari ini. Umurnya yang baru menjangkau 8 tahun menunjukkan prestasi yang bagus kerana minatnya dalam ilmu agama. Ustazah Zau'ah yang mengajarnya sentiasa menanam sifat cinta akan ilmu agama kepada anak muridnya. Harapan dalam hati Ustazah Zau'ah mudah, agar anak-anak didiknya kelak menjadi penegak yang ma'ruf dan penentang yang munkar berdasarkan 'ilmu yang sahih.

Sebagai seorang guru agama di sebuah bandar yang agak besar, tugas Ustazah Zau'ah dalam menerapkan semangat menuntut 'ilmu ke dalam jiwa anak-anak tidak susah. Anak-anak muda zaman sekarang dahagakan 'ilmu yang berdalil dan berhujah untuk dicernakan bersama. Sudah jarang sekali anak muda menelan mudah apa yang dikatakan oleh sang guru seperti suatu masa dahulu yang diugut dengan kata-kata, "barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya".

Tugasannya yang payah hanyalah untuk memastikan jenis ilmu yang dicari oleh anak muda itu. Dia perlu pastikan yang anak muda yang dididiknya termasuk Mamat mencari 'ilmu yang sahih dalam bidang agama, bukan dalam bidang lain seperti pornografi, nyanyian yang melalaikan, black metal dan sebagainya. Tugasnya walau nampak mudah sebenarna payah dek kerana kelajuan dunia tanpa sempadan kini boleh menjadi jebak yang serius kepada minda anak muda seperti Mamat.

Mungkin dua tahun lagi Mamat akan menjadi penggemar fesbuk dan duduk di depan fesbuk apabila balik dari sekolah? Mungkin Mamat akan menjadi seorang kaki perempuan dengan ilmu mengkacakkan dri yang dia belajar dengan kawan-kawannya? Atau jika Ustazah Zau'ah berjaya menerapkan budaya menuntut 'ilmu agama yang sahih, maka tidak hairan Mamat 10 tahun yang lagi akan menjadi seorang Salafi, atau paling tidak mengenal tugas sebagai pendakwah dan bergerak bersama geng tabligh. Semuanya perlu usaha, dari Ustazah Zau'ah, Mamat dan paling penting, hidayah Allah S.W.T..

Dalam mengajar anak-anak muda tentang makna 'ilmu yang sahih, Ustazah Zau'ah sering menekankan tentang peri penting disiplin penggunaan pemikiran dalam mentafsir dan menterjemah serta mencerna ilmu dan maklumat. Ustazah Zau'ah melarang penggunaan akal yang melampau dalam menterjemah al-Quran contohnya, kerana perkara itu menghampiri muktazilah.

Mamat ketika itu pelik. Jadi apakah kegunaan akal jika tidak untuk berfikir? Maka Ustazah Zau'ah dengan tenang menjawab, "kita boleh menggunakan akal sehingga tahapnya. Jika ditanya tentang perkara ghaib, mana mungkin kita mampu menggunakan akal? Alangkah dangkalnya mereka yang mentafsir kata-kata Allah yang Maha Benar dengan menggunakan akal ketika mana akal mereka tidak mampu membayangkan sesuatu yang ghaib lantas menuduh orang yang tidak mentafsir seperti mereka sesat dan kafir."

Ustazah Zau'ah menambah, akal itu gunanya untuk menghayati penciptaan, dan mengaplikasikannya dalam hidup sebagai hamba. Bukan digunakan untuk memikirkan bagaimana Allah menciptakan, atau berapa hari, atau sejak bila. Kerana pekara itu tidak mampu difikirkan oleh kita tanpa pedoman wahyu. Adakah kita mampu menyangkal kata-kata Allah bahawa Dia menciptakan langit dan bumi selama 6 hari? Kita hanya perlu terima 6 hari. Tetapi berfikir tentang 'bagaimana', dan berapa lama 6 'hari' itu sudah melangkaui kemampuan akal manusia. Mamat tertunduk sesal. Dia pernah menafikan dalam diam kata-kata Allah itu. Adakah dia lebih mengetahui tentang penciptaan untuk berfikir tentang itu lebih daripada yang Maha Pencipta beritahu dalam kalam-Nya?

Ustazah Zau'ah yang masih berada di pintu pagar sekolah agama melihat anak-anak muda yang berpotensi itu bergerak meninggalkan laman sekolah. Ada yang menaiki basikal, ada yang dijemput oleh ayah mereka dan tidak kurang yang menaiki van yang dipandu oleh Wak Jawa yang mengambil upah mengambil anak-anak dari sekolah dan dihantar ke rumah. Mamat pula, seperti selalu, berjalan kaki kerana rumahnya tidaklah terlalu jauh. Lagipun, ayahnya keluar bekerja. Emaknya tidak mempunyai kenderaan dan lesen. Akak dan dua orang abangnya kini sedang belajar di sekolah berasrama. Hanya tinggal dia seorang, berjalan kaki dengan sabar ke rumah. Masa yang digunakan untuk berjalan kaki itu digunakan sebaiknya untuk melakukan revisi apa yang dipelajarinya di sekolah.

Mamat yang berjalan pulang seorang diri cuba mengingat kembali apa yang dipelajarinya dalam kelas tadi. "Bagus jugak kalau aku guna apa yang dipelajari tadi untuk berkongsi dengan ayahku" - monolog Mamat. Mamat meminati 'ilmu agama sejak dia berumur 6 tahun, ketika belajar di Pusat Asuhan Tunas Agama (PASTA), dan kembali menyambung minatnya sehingga kini di Pusat Asuhan Pucuk Agama (PAPA) dan berazam untuk menyambung pelajaran di peringkat tinggi di Kolej Agama Islam Malaysia (KAIS) sebelum bergerak menuntut ilmu di al-Azhar. Cerita Ustazah Zau'ah dalam kelas tentang pengalamannya menuntut di al-Azhar menggelagakkan semangat Mamat untuk pergi lebih jauh. Pesan Ustazah, "jangan jadikan pengajian agama satu industri" masih terngiang di kepala otak dia. Dia mahu bertanya kepada ayahnya tentang maksud 'industri'.

Ayahnya sering mengarahkan Mamat untuk mengaji dengan usahanya sendiri. Ayahnya pernah berpesan, "jangan kau ikut macam abah; masa dah tua nie la baru nak cari tarekat; baru nak zikir 36'000 kali semalam sambil membayang wajah syeikh sebab ayah tak mampu nak salurkan zikir ayah kepada Allah secara terus. Masa kecik nie la kau kena belajar. Jangan sampai terlewat, takut tak sempat". Ayahnya memberikan semangat yang walaupun nampak macam menghina diri ayahnya sendiri, tapi ayat-ayat yang jujur itulah yang memberi semangat kepada Mamat. Ayahnya bukan satu sumber untuk bertanya tentang Aqidah, Iman, Fiqh atau Ibadah, tapi ayahnya ialah sumber bertanya tentang pengalaman hidup, satu ilmu yang penting dalam menjadikannya sebagai seorang manusia yang kental.

"Sampai rumah, aku nak online dan nak cari tentang hukum, cara dan kelebihan wudhu'. Mungkin Iluvislam.net bagus," fikir Mamat dalam langkahnya yang tinggal lagi 100 meter untuk ke selekoh terakhir sebelum tiba di rumahnya. Pernah dia mendengar kata-kata seorang abang usrah yang menyatakan I luv Islam tidak bagus kerana lambakan kisah cinta dalamnya. Mamat menerima kata-kata itu sebelum dia sendiri membuka I luv Islam dan menelaah satu persatu artikel. "Apakah salah kisah cinta dengan Tuhan? Bukan melampau macam Rabia'tul Adawiyah pun sampai perlu membutakan matanya sendiri," bisik hatinya menafikan kata-kata abang usrahnya yang 10 tahun lebih tua darinya. Mungkin

Pelajaran tentang iman yang diajarkan oleh Ustazah Zau'ah sebentar tadi memang sangat bagus. Kalau tidak ada aral melintang, dia akan belajar tentang beriman dengan Qadha' dan Qadar menjelang lusa kerana esok kelas Wudhu' mengambil tempat. Ustazah Zau'ah sempat memberi pesan agar melakukan carian atau bertanya kepada yang tahu sebelum masuk kelas nanti. Dan kata-katanya, "belajar dengan buku itu baik, belajar dengan internet itu lebih baik, tapi yang paling baik belajar dengan para ilmuan atau ulama dalam bidangnya."

Kata-kata Ustazah Zau'ah terbalik dengan kata-kata Ustaz di Surau Asy-Syakirin bahawa belajar dengan buku umpama belajar dengan syaitan. Mamat bertanya kepada Ustazah Zau'ah tentang itu, maka Ustazah Zau'ah pun memberitahu bahawa kata-kata itu bukan dari nabi Muhammad S.A.W.. Jika bukan dari nabi Muhammad, maka perkataan itu boleh tertolak jika salah. Ustazah sempat memberi contoh, jika belajar dengan buku umpama belajar dengan Syaitan, bagaimana Cat Steven atau Yussuf Islam memeluk Islam dengan tunjuk ajar syaitan kerana pada awalnya Cat Steven hanya belajar tentang Islam dengan pembacaan setelah dihadiahkan al-Quran oleh abangnya? Logik ustazah itu terlekat dalam jiwanya. Cuma, sebagai seorang yang suka mencari ilmu yang sahih, dia akan mengkaji sejauh mana kebenaran kata-kata Ustazah itu, dari perihal belajar dengan buku sehinggalah perihal Cat Steven, kerana baginya kata-kata yang 'bukan dari Nabi S.A.W.' termasuklah Ustazahnya boleh tertolak.

Sambil dia berjalan perlahan, bibirnya mengalunkan lagu 'Thank you Allah' yang dinyanyikan oleh Yussuf Islam dan kanak-kanak lain. Walaupun tidak seharmoni mana, tetapi cukuplah menjadi penghibur jiwa. Alunan Syair Taubat karya Imam al-Ghazali menyambung. Jiwanya meruntun kerana mengenangkan bahawa adakah amalannya sudah cukup sebagai bekalan di hari akhir kelak? Bersediakah untuk dia memikul tanggungjawab setelah dia baligh nanti? Adakah imannya sudah utuh? Kerana dia tahu bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang seperti yang diajarkan oleh Ustazahnya pada kelas tadi.

Dia sampai ke selekoh terakhirnya sebelum tiba di rumah. Perjalanan yang jauh tadi diisi dengan pemikiran dan perbuatan yang baik. Alangkah indahnya jika setiap masa kebaikan memenuhi pemikiran anak muda sekarang, kata Mamat dalam hati sambil melihat dua orang remaja lelaki yang berjumpa dan berpelukan sambil mencium pipi seperti dalam budaya masyarakat Arab. Dia tersenyum sambil menghayati keindahan ukhwah. Sungguh, kanak-kanak seperti Mamat masih belum punyai minda yang tercemar.

Dia melintas jalan sebelum tiba ke rumahnya. Di tengah jalan terdapat sebiji batu yang agak besar. Dia teringat firman Allah, "tidak Kau (Allah) ciptakan sesuatu sia-sia" lantas berfikir bahawa batu itu mungkin menjadi ujian iman kepada orang yang melihatnya. Di dalam akalnya teringat hadis Nabi S.A.W yang diringkaskan oleh Ustazah Zau'ah bahawa serendah darjat Iman ialah membuang halangan dari laluan orang ramai. Dia lantas tunduk dan mengambil batu itu dan disimpan ke dalam kocek. Dia mahu membuangnya di dalam tong sampah kerana mencampakkan batu itu merata-rata akan menghalang laluan yang lain pula.

Ketika masih di tengah jalan itu tanpa Mamat sedari, ada sebuah kereta dengan kelajuan tinggi muncul dari selekoh. Dan segalanya terlambat untuk dielakkan. Sungguh, ketentuan-Nya tidak dapat dihalang sesiapa, walaupun kanak-kanak itu seorang yang baik dan berpotensi tinggi untuk menjadi penegak sunnah yang berjaya seperti Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin, Dr.Wahbah al-Zuhaily, Syeikh Taqiyuddin Ahmad ibnu Taymiyyah; atau menjadi pemikir seperti Ibnu 'Arabiy, Ibnu Sina' atau al-Ghazali. Dan ketika Mamat sedang berjuang untuk hidup setelah dirempuh kereta, ketika itulah seorang Pak Cik yang memandu kereta itu terfikir satu ayat dalam sebuah iklan televisyen oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya lama dahulu, "kanak-kanak bawah 10 tahun tidak mampu menganggar jarak kenderaan dengan tepat." Sambil kepalanya tertunduk sesal kerana melanggar anak muda itu, pak cik itu tertanya, "kenapakah membiarkan kanak-kanak itu berjalan seorang diri?"

Adakah Allah menarik nyawanya kerana bimbang dia akan dilabel sebagai sesat pabila membawa yang haq dan memerangi yang batil? Ini semua di luar kemampuan kita berfikir. Kerana ketentuan-Nya hanya Dia yang tahu. Dia yang merancang segalanya, dan Dia mengetahui segalanya.

Wallahu a'lam.

No comments: