Sunday, June 13, 2010

Lena~

Salam ALaik...

Angin malam bertiup lesu, membawa kedinginan hujan menghembus ke dalam bilik. Langsir kuning menari-nari umpama lambaian sang permaisuri bunian yang memanggil puteranya. Bulan sabit yang kecil tidak mampu ditutupi oleh awan hitam yang bertompok-tompok. Sedang bintang yang banyak menyorok sepi mendiamkan diri.

Kipas ligat berpusing, berubah laju, dan kekadang perlahan. Tapi hasilnya sudah cukup membekukan hujung kaki yang terbuka luas. Selimut tebal berwarna merah jambu gagal menawan hati yang hitam dirundum syahdu. Tilam nipis terbaring sendiri di kiri katil yang penuh serabut dengan baju dan buku. Bantal berpaten petak-petak hijau dan oren ala-ala Scottish Skirt berada setia di kepala tatkala Tedi membulat di perut yang kecil. Yang-masih-tiada-nama sepi di dalam loker besi, tidak mampu menggugat si Tedi. Telefon genggam setia di sisi, sunyi senyap tidak berbunyi.

Mulut yang tertutup rapat membisu tanpa bicara. Telinga yang luas jelas mampu mendengar lagu radio dari tanah tumpah darahnya yang Panas tapi jelas bunyi itu hanya sampai di gegendangnya sahaja. Mata yang terbuka dan tertutup berkelip-kelip melayang dalam gelap bilik diterangi lampu dari tetikus yang memancar halus biru. Hidung yang penyek statik tanpa bauan yang indah dan hanya setia menemani peparu yang kembang-kempis. Hanya otak yang ligat, mengatasi segala stimulus, berfikir tentang sesuatu. 150 ribu kali atau lebih, soalan yang sama sentiasa bermain di dalamnya. Dan setiap jawapan yang timbul saling membunuh dua konklusi yang kontra: Positif dan Negatif.

Dan persoalan itu kekal dengan jawapan yang sama, mungkin sehingga 160 ribu kali lagi, tanpa jawapan yang konkrit. Sehinggalah otak terlena di alam mimpi, menanti esok yang penuh misteri.

6 comments:

deus X machina said...

World cup oi world cup

Webmaster@Echam said...

Bangunlah woiiiii... dah nak start game dh ni... tido plak aokkk ni...

Wan Perlis said...

wow
bermadah

Cikgu Jang .. said...

madah sempene worldcup ke rodong?...

Mr. Shcomey™ said...

aduhh..sakit gigi aku baca. haha

aku dr amin said...

bermadah cinta ke ni ^_^