Saturday, November 6, 2010

Cerpen: Diari Seorang Lelaki

Salam Alaik...

p/s: Ini sebuah cerpen.

Jam di atas meja belajar berwarna coklat itu berbunyi bising. Hendak dicapai, tangan yang malas itu terlalu berat untuk diangkat menekan punat merah jambu di kepala jam itu. Lalu ditarik selimut tebal yang juga berwarna merah jambu itu meliputi seluruh badannya yang bergetar marah akan jam yang berbunyi bising.

Beberapa minit selepas itu, sinaran mentari menerobos melalui tingkapnya menyuluh tepat ke tubuhnya yang berselimut tebal. Dia lantas menyumpah seranah sang mentari yang hanya menjalankan tugasnya. Dia bangun dengan muka kelat dan masam, menuju ke arah tingkap. Dan sedang ingin menutup tingkap itu, dia ternampak segerombolan manusia sedang melintas di hadapan rumahnya. Mereka berpakaian hitam, bertutup kepala dan membawa pada setiap seseorang sebiji bola berantai yang berasap.

Dia menjadi kaget, lantas berlari deras menuju ke pintu, berhajat untuk bertanya tentang itu kepada rakannya, di tingkat bawah. Ketika dia melepasi pintu dan menghala ke tangga, badannya terasa amat berat dan bergerak perlahan. Langkahnya dirasakan sangat kaku dan keras, berusaha dengan segala kudrat yang ada untuk menuruni anak-anak tangga yang dirasakan bergoyang.

Melepasi tangga, berhadapan dengan tingkap dia melihat perarakan hitam itu berkawat kemas, dan setiap jiran-jirannya keluar rumah berpakaian hitam dan mengikuti perarakan itu. Dia berasa sangat pelik. "Mana mungkin aku tidak tahu jika ada perarakan besar seperti ini," getus hatinya pelik.

Sedang langkahnya masih berat, dan keras, dia menuju ke bilik kawannya. Dia bergerak sangat perlahan, sehinggakan semut yang berarak di sebelahnya lebih laju memawa gula. Sedang dia bergerak perlahan, dia melihat kawannya juga berpakaian hitam, dan keluar menuju ke pintu depan. Dia cuba menjerit memanggil rakannya itu, tetapi suaranya seakan tersangkut di kerongkong, gagal melepasi tekaknya yang kering dipanah matahari.

Dia cuba mengejar, tetapi pergerakannya yang perlahan dan keras itu menghalangnya. Setelah kawannya bergerak keluar dari rumah, dan pintu tertutup rapat, dia terasa bebas kembali untuk bergerak. Dia berlari ke arah pintu dan cuba membuka pintu. Dia gagal. Seperti pintu itu dikunci dari luar. Dia ketakutan dan berlari kembali ke biliknya.

Dia melmpat ke atas katil, dan menutup mukanya dengan selimut merah jambunya. Bergetar ketakutan. Dia panik dengan situasi yang berlaku ke atasnya. Dia bangun kembali, mengambil ubat batuk yang dipreskripsi oleh Doktor Kurt Cobain kepadanya semalam. Menelan sehingga habis separuh ubat batuknya. Dia berjalan ke katilnya semula. Dan tertidur.

Jam di atas meja belajar berwarna coklat miliknya kembali berbunyi bising. Hendak dicapai, tangan yang malas itu terlalu berat untuk diangkat menekan punat merah jambu di kepala jam itu. Lalu ditarik selimut tebal yang juga berwarna merah jambu itu meliputi seluruh badannya yang bergetar marah akan jam yang berbunyi bising. Dia terlupa akan sesuatu.

Beberapa minit selepas itu, sinaran mentari menerobos melalui tingkapnya menyuluh tepat ke tubuhnya yang berselimut tebal. Dia lantas menyumpah seranah sang mentari yang hanya menjalankan tugasnya. Dia bangun dengan muka kelat dan masam, menuju ke arah tingkap. Dan sedang ingin menutup tingkap itu, dia ternampak segerombolan manusia sedang melintas di hadapan rumahnya. Mereka berpakaian hitam, bertutup kepala dan membawa pada setiap seseorang sebiji bola berantai yang berasap.

Dan cerita itu kembali berulang..........

2 comments:

pungkar said...
This comment has been removed by the author.
pungkar said...

dalam makna ni..hehe