Friday, August 5, 2011

Bila Dunia Sudah Terbalik

Salam Alaik..

Bagaimana metode untuk kita membedakan keterbalikan dunia-raya ini ketika yang terbalik itu merupakan norma hidup yang menjadi paksi pergerakan seharian sebahagian daripada jiwa kita? Bagaimanakah mahu meletakkan paksi kepercayaan kita bahawa segala yang berputar di sekitar dunia yang kita hidup ini merupakan keterbalikan atau negatif daripada yang benar?

Solusinya tampak mudah, lihatlah ke arah yang benar! Dan bagaimana mahu melihat ke arah yang benar tatkala pancaindera kita sendiri yang terdiri daripada mata, telinga dan segalanya menghantar data yang palsu itu sebagai yang betul dan sahih?

Alam sarwajagat kini dibenarkan dengan persepsi dan khabar angin, penipuan dan penyalahgunaan! Apakah sebahagian daripada kita mampu melihatnya? Bagaimana mahu melihat ke arah kebenaran tatkala segala pancanindera dibutakan dan ditulikan dengan kedangkalan kita mencari maklumat dan ilmu di luar kotak kepercayaan kita?

Izinkan saya memberi satu misal, tatkala seorang yang kecil mungkin lima tahun dididik dalam satu suasana yang sangat kondusif dan diterapkan maklumat yang dangkal seperti '1+1=3'; dan sepanjang pemerolehan ilmu itu, dia hanya berguru dengan guru yang mengajarkan '1+1=3' dan tidak pernah walau sekali dalam hidupnya mencari guru yang lain. Bagaimana agaknya tatkala dia berada di alam luar, apakah mudah dia menerima satu fakta daripada yang baru didapatinya bahawa '1+1=2' sebagai satu kebenaran? Itu satu misalan yang sukar untuk difahami, apabila semua daripada kita tidak pernah melalui detik dan saat bahawa '1+1=3' merupakan satu kebenaran..

Biar sahaja saya memberi misalan yang lain.. Apabila anda diasuh semenjak daripada kecil bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga hidung, apakah dengan mudah anda akan menerima pendapat yang lain bahawa perkara itu sebenarnya tidak membatalkan puasa? Tidak! Kita akan cuba sedaya upaya anda untuk menepis segala hujah maklumat baru itu kerana kedalaman kepercayaan anda membutakan dan menulikan pemikiran kita!

Bagaimana pula jika dibesarkan dalam suasana keluarga yang mempunyai pemikiran yang anti-kerajaan, atau dengan kata lain pro-pembangkang? Bilamana diasuh dan disuap segala pemikiran bahawa setiap yang kerajaan lakukan itu salah selama beberapa tahun, tidak hairanlah pabila keluarga itu melahirkan satu anak muda pewaris bangsa yang matanya dibutakan dan telinganya ditulikan daripada kebaikan kerajaan..

Sungguh rugi sesiapa sahaja yang membuang segala nikmat pancaindera tatkala pertarungan pemikiran berlaku! Tidak hairanlah bakal lahirnya satu generasi yang hanya melihat kepada satu paksi, tanpa melihat kepada paksi yang lain..

Jika disuapkan sejak dari kecil bahawa 'Akademi Fantasia' itu indah, dan 'Adik dan Quran' itu bosan, maka tidak langsung dapat ditepis bahawa segala yang berkaitan dengan Akademi Fantasia disanjung megah tatkala 'Adik dan Quran' musnah dan ranap! Apabila Akademi Fantasia sampai ke hujung, maka bercucuran air mata menangisi pemergian satu program yang berakar di dalam jiwa, bukan sekadar biji-biji yang ditabur di atas konkrit dan asfalt! Seperti biasa, 'Adik dan Quran' rebahnya tidak mendapat cerita, dan pemergiannya tidak dirindui kerana dangkalnya satu institusi bernama keluarga! Ini hanya satu misalan, dan bukannya satu realiti kasar!

Bagaimana program yang punyai kredibiliti yang tinggi dalam mendidik pewaris bangsa, yang bakal menaikkan mercu tanda dihapuskan begitu sahaja sedang penyebar khabar palsu dan pengampu yang mencurahkan air liur sebagai bayaran kepada kontrak kewangan menjadi tunjang penyebar fikrah dan harakah? Apakah generasi penipu dan pembodek yang ingin dilahirkan? Jahillah orang yang mendambakan si tukang karut dan melupakan keindahan ilmu yang sebenar! Bangsatlah bangsa yang membuang masa melihat dunia yang mereka ingin lihat tanpa mengalih pandangan walau seketika ketika termampu mencari kebenaran!

Jadi, apakah kaitan tajuk yang tergantung di atas dan isi yang ditulis? Tiada! Tiada kaitan sama sekali melainkan kepada sesiapa yang berfikir tanpa membutakan mata dan menulikan telinga sendiri.. Ya, entri ini memang tiada maksud, dan tiada isi.. Entri ini sekadar menyemakkan mata dengan bahasa yang sukar difahami dan mengarut! Buat apa membacanya sehingga habis apabila segala bait kata-kata tidak difahami? Perlu apa mengorbankan masa yang indah untuk membaca sesuatu yang tidak punya nilai dan melalut?

Isinya mudah: Persepsi itu realiti.

Salam Ramadhan..

p/s: Header aku sebagai satu tribute untuk Papagomo kerana trafik aku banyak daripada blog dia.. Hahahaha.. Aku buat header macam dia tak semestinya aku sependapat dengan dia, ok!!

3 comments:

Fiffy Hazirah said...

sama sperti yang menganggap memegang anjing itu harom, tp bersalam dengan yg bukan muhrim tu x kisah pun.

eh.

Don Balon said...

Itulah demokrasi, yang salah menjadi benar bila ramai yang mengundi.

Moga Allah melindungi kita semua dari kebatilan politik dan segala kebatilan dunia.

aiman said...

Salam alaik saudara penulis.

Dengan mata yang terbuka, telinga yang tidak tuli,lidah yang tidak bisu bersama akal dan hati, persepsi itu lahir dengan tulus dan telus seadanya ia.

Namun, adakalanya persepsi individualistik yang tulus dan telus itu disifatkan skeptikal oleh mata yang memandang walau hakikatnya persepsi individualistik itu menggambarkan realiti yang benar.

~Sekadar cetusan rasa~